Ahad, 8 Jun 2008

Hargailah nikmat kesihatan

KESIHATAN adalah nikmat yang sangat berharga. Badan kita adalah milik Allah. Wajib kita menjaga amanah ini. Sebarang kegiatan yang menjejaskan kesihatan disifatkan al-Quran sebagai mencampakkan diri ke dalam kebinasaan.

Ramai yang tidak menghargai nikmat ini. Buktinya ramai yang kita lihat terbabit dalam penyalahgunaan dadah, ketagihan rokok dan alkohol serta lumba haram yang membawa kecacatan dan sebagainya.

Hidup tidak selesai di sini sahaja, malah akan ditanya kesihatan kita bagaimana digunakan untuk kebaikan atau sebaliknya.

Badan sihat bukan hendak digunakan untuk menyamun, merompak, memeras dan meragut. Badan saja besar, main bola boleh berjam-jam, tetapi solat beberapa detik tidak larat. Berjaga malam dan berkaraoke sampai pagi mudah saja tetapi untuk solat Subuh hanya dua rakaat terus lentuk.

Ingat! akhirat nanti akan ditanya. Sementara badan masih sihat, masih belum terlewat untuk semua memperbaiki diri menjadi lebih baik dari segenap segi, sama ada berhubung dengan kerjaya, pelajaran atau hubungan sesama manusia, lebih-lebih lagi hubungan dengan Tuhan.

Biarpun rasa diri masih muda belia dan masih banyak waktu, perlu diingat kematian tidak menunggu hari tua baru menjemput. Setiap hari ramai yang masih muda remaja pergi meninggalkan dunia.

Ini bukan bererti kita perlu melupakan kenikmatan dunia. Dunia adalah kurniaan Ilahi, mana-mana yang tidak bercanggah dengan agama, tidak melalaikan dan tidak memudaratkan, ambillah. Dalam masa yang sama jadilah hamba Allah yang komited dengan agama.

Alangkah bagusnya jika seorang yang hebat personalitinya, kerjayanya, pelajarannya, mantap akhlak dan amalan agamanya.

Jika menjadi remaja, jadilah remaja yang hebat. Remaja hebat ialah yang cemerlang dunia dan akhiratnya.
Bolehkah anda menjadi seorang pelajar yang cemerlang dalam pelajaran, pada masa sama menjaga akhlak dan pekerti sebagai Muslim, taat dan hormat ibu bapa dan guru, disenangi rakan, malah menjaga amalan ibadat, tidak meninggalkan solat yang wajib juga belajar melakukan amalan sunat.

Tiada yang mustahil bagi sesiapapun jika dia berazam dan berusaha sebaik mungkin merealisasikannya.
Jangan diingat waktu remaja adalah masa untuk mengejar segala yang seronok saja. Berhati-hati kerana kadangkala dunia hanya menipu. Nampak seronok tapi akhirnya ramai yang kecundang di dunia, apa lagi di akhirat.

Pada masa kini, banyak kes remaja yang meluahkan rasa penyesalan kerana terpedaya dengan keseronokan dunia. Masa seronok rasa diri paling bahagia di dunia, lama-lama baru tahu tidak ke mana seronok itu. Jika masa dapat diundur mahu saja memulakan langkah baru. Mungkin ini boleh dijadikan panduan buat remaja semua.

Begitulah, sebagai seorang ayah kepada anak yang sedang menuju alam remaja, supaya anak-anak semua membesar sebagai remaja yang baik, ada karisma sebagai seorang Muslim cemerlang, menjadi penawar hati kepada ibu bapa serta dapat menjadi penghuni syurga di alam yang abadi nanti.

Tiada ulasan:


ShoutMix chat widget