Ahad, 27 Mei 2007

Allah Sentiasa menerima doa hambanya

Bahagian Pertama..

Insan hendaklah bersangka baik dengan Allah. Meyakini bahawa Allah senantiasa melimpah ruahkan rahmatNya. Mendampingkan diri kepada Allah menerusi jendela perbuatan dan amalan yang diredhai. Apabila Allah redha kepadanya, maka dia akan merasakan betapa Allah itu hampir dan tidak jauh darinya.

Sebenarnya, insan itulah yang selalu menjauhkan dari Allah. Apabila dia ditimpa cubaan dia bertanya di mana Allah?!!. Sikap dan akhlak insan terhadap Allah selalu menyebabkan insan hilang pedoman, merasa diri dipencilkan dan tiada tempat yang ingin mendengar rintihannya. Sedangkan tempat untuk mengadu dan merintih senantiasa terbuka di sisi Allah.

Kadang-kala seseorang insan rela ke sana-sini memohon bantuan bagi sesuatu pekerjaan dan urusannya dari makhluk sehingga terlupa untuk memohon bantuan dan bertawakkal kepada Allah. Bersusah payah insan berjumpa orang lain demi mengadu rasa hati dan derita sehingga dia lupa untuk mengadu kepada Allah yang senantiasa mendengar rintihan hamba dengan penuh rahmat.

Ini semua kerana insan merasakan Allah itu jauh darinya dan dia lupakan firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud:

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya engkau (Wahai Muhammmad) tentangKu, (maka jawablah) sesungguhnya Aku ini hampir, Aku menjawab seruan sesiapa yang berdo`a kepadaKu apabila dia berdo`a. Maka hendaklah dia menyahut seruan (menunaikan perintahKu) dan beriman kepadaKu mudah-mudah mereka selalu berada di atas petunjuk”

Ya! Allah itu hampir dan amat sudi untuk segala do`a yang diangkat kepadaNya. Justeru itu sangat menghairankan bila adanya insan yang meninggalkan do`a kepada Allah yang hampir kepadaNya lalu mendapatkan makhluk-makhluk yang tidak terdaya untuk mengadu segala rasa hati dan dukacita. Padahal kita tahu bahawa sikap makhluk apabila terlalu banyak diminta maka bertambah rasa bosannya sedangkan Allah pula lagi banyak kita mengadu dan meminta bertambah pula kasih dan sayangNya.

Allah tidak jauh daripada setiap hamba. Yang menjadikan Allah itu jauh daripada kita ialah diri kita sendiri. Hati yang tidak merasai kewujudan dan rahmat Allah serta kefahaman yang tidak betul terhadap agama selalu menjauhkan perasaan manusia daripada Allah.

Sesiapa yang hatinya bersih akan menangislah dia apabila membaca ayat di atas. Betapa Allah dengan penuh kasih sayang meminta kepada RasulNya agar memberitahu bahawa Dia sangat hampir kapada mereka serta mendengar do`a dan rintihan mereka.

Kita diajar di dalam Islam agar senantiasa bergantung kepada Allah nescaya kita dapati Allah senantiasa bersama kita. Sabda Nabi s.a.w kepada Ibnu `Abbas ketika itu dia masih kecil:
Maksudnya: Wahai anak kecil! Sesungguhnya aku ingin mengajarmu beberapa kalimat, iaitu, jagalah Allah (jagalah perintahNya) nescaya Allah menjagamu. Jagalah Allah (jaga perintahNya) nescaya engkau dapati Dia berada di hadapanmu (menunaikan keperluanmu). Apabila engkau memohon pohonlah daripada Allah. Apabila engkau meminta pertolongan minta tolonglah daripada Allah.
(Riwayat al-Tirmizi hadith ke-2516, katanya hadith ini hasan sahih)

Apabila seseorang menjaga agamanya, memelihara tanggungjawabnya sebagaimana dititah perintahkan Allah kepadanya, maka dia akan merasa betapa Allah bersama dengannya semua urusannya.

Firman Allah dalam Surah al-Ghafir ayat 60 yang bermaksudnya: "Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdo`alah kepadaKu nescaya Aku menjawab untuk kamu"

Mungkin akan ada yang bertanya: "Allah telah memberitahu bahawa Dia pasti menerima do`a sesiapa yang berdo`a kepadaNya namun mengapa masih ada insan yang berdo`a tetapi kesan do`anya tidak dapat dilihat secara zahir?". Untuk itu, maka para `ulama telah menjawab persoalan ini, antaranya, apa yang dijelaskan oleh al-Imam al-Qurtubi dalam al-Jami’ li Ahkam al-Quran bahawa perkataan ajib dan astajib (aku memperkenankan do`a) bukanlah bererti semestinya setiap do`a itu ditunaikan secara mutlak atau terperinci seperti yang dipohon.. Bahkan do`a seseorang mungkin dimakbulkan melalui salah satu dari tiga cara seperti yang disebutkan oleh baginda Nabi s.a.w. dalam hadith Abi Sa`id al-Khudri di bawah:
Maksudnya: "Tidak ada seorang muslim pun yang berdo`a dengan sesuatu do`a yang tidak ada di dalamnya dosa atau memutuskan kekeluargaan, melainkan Allah akan beri salah satu dari 3 perkara; sama ada disegerakan untuknya (dimakbulkan di dunia), ataupun disimpan untuknya pada hari akhirat (diberi balasan baik pada akhirat), ataupun diselamat dia dari keburukan yang seumpamanya."

Kata al-Imam al-Syaukani dalam Tuhfah az-Zakirin : Hadith ini riwayatkan oleh al-Imam Ahmad, al-Bazzar, Abu Ya'la, kata al-Munziri: Sanadnya sahih (m.s. 65, cetakan. Lubnan)

Tiada ulasan:


ShoutMix chat widget