Khamis, 22 November 2007

Keberkatan Surah Yaasiin



Segala puji bagi Allah yang maha Pengasih lagi maha Penyayang. Sesungguhnya hanya Allah yang maha mengetahui dari apa yang tidak kita ketahui.

Berikut ini merupakan makna dan keberkatan surah Yaasiin yang manfaat ayatnya untuk keselamatan, kesenangan dan kesejahteraan yang di sampaikan oleh Dr Fatma ElZahraa.

Ø Ayat 1-9 - Untuk keselamatan diri
Ø Ayat 9 - Orang jahat tak nampak kita terutamanya orang kafir.Lindungi rumah dari pencuri,baca dan tiup di tiap-tiap penjuru rumah. Lindungi diri dari dianiaya.
Bagi perlindungan diri dan rumah semasa tidur.Caranya : Baca Ayat 9, Surah Al-Fatihah
Surah 3 Qul (tiga kali setiap surah) dan ayat Qursi.

Ø Ayat 12 - Merupakan Jantung Yaasiin - Rasulullah s.a.w. berharap
ayat ini dihafal oleh setiap mukmin dan mukminat.

Ø Ayat 13-35 - Mengisahkan orang-orang yang mati syahid.
Ø Ayat 22-23 - Untuk menjaga aqidah Memberi hidayah kepada anak.
Ø Ayat 29 - Sebagai amalan untuk mengelakkan diri dari di fitnah dan kejahatan mulut

Ø Ayat 29 - Utk digunakan jika kita rasa orang nak fitnah or aniaya kita. Lebih elok selepas baca di semburkan ke muka orang tersebut.

Ø Ayat 30 - Untuk keinsafan - Supaya dapat dipertemukan dengan Allah s.w.t. (harus sentiasa berada dihati - beramal dengannya).

Ø Ayat 32 - Untuk menginsafkan orang lain supaya menjadi baik.
Caranya: Ingat yang segalanya datang dari Allah s.w.t,Kita umat Muhammad, Kita orang Islam dan sebagainya

Ø Ayat 33-35 - Elok dijadikan amalan bagi sesiapa yang suka bercucuk tanam.InsyaAllah Tanaman akan menjadi subur.

Ø Ayat 36 - Menerangkan yang kehidupan ataupun kejadian di dunia ini dijadikan berpasang-pasangan.Ayat ini elok diamalkan bagi sesiapa yang belum berkahwin supaya di pertemukan jodoh.Caranya: Baca ayat ini dan ditiup 7 kali dalam tangan dan Ya Wadud (3x) dan sapu ke muka pada pagi hari.

Ø Ayat 37 - Adalah untuk menetapkan hati - aqidah diri sendiri... Hati yang kering akan hidup semula.

Ø Ayat 38 - Mengisahkan yang bulan dan matahari pun sujud pada Allah s.w.t. yang satu.

Ø Ayat 39 - Mengisahkan ilmu falak.
Ø Ayat 40 - Merupakan kenyataan Allah s.w.t. yang satu.
Ø Ayat 41 - Mengisahkan Nabi Noh a.s. naik kapal - Elok dibaca sewaktu menaiki kenderaan.

Ø Ayat 44 - Mengisahkan keseronokan hidup di dunia - Dibaca untuk dijauhkan fitnah dalam hidup.

Ø Ayat 45-48 - Merupakan kedegilan orang kafir kepada Allah s.w.t.
Ø Ayat 49 - Menceritakan hari akhirat dan kehidupannya.
*Tiupan pertama - Datang dengan tiba-tiba
*Tiupan ke-dua - Hancur
*Tiupan ke-tiga - Semua orang di hidupkan semula dan hadir di padang Mahsyar.

Ø Ayat 50 - Setiap orang akan dihisab mengikut amalannya.
Ø Ayat 58 - Merupakan salam daripada Allah. Jika rasa sakit kepala, baca dan sapukan ke kepala.Ulang sebanyak 3x.Jika sakit anggota,tak tenang hati dibaca (7 x) dan gosok pada tempat sakit

Ø Ayat 76 - Dibaca untuk mententeramkan diri dari fitnah orang,bila rasa sedih,
sebak atau pun kecewa.Caranya : Sambil pegang dan urut dada, bacalah ayat tersebut.

Ø Ayat 78-79 - Dikhaskan untuk sakit urat, tulang dan badan.
Untuk doa bermula daripada Ayat yang bermaksud: "dia berkata, Siapakah
(yang dapat) menghidupkan tulang belulang padahal telah hancur?" (Ayat 78
dan 79).Bacalah jika sakit tulang, urat atau tulang patah.

Ø Ayat 79 - Katakanlah, Yang akan menghidupkannya ialah yang menciptakannya pertama kali.Dan Dia Maha Mengetahui tentang segala makhluk."

Ø Ayat 82 - Untuk Hajat.Jika berhajat sesuatu, bacalah 100x.
Dibaca pada air dan minum selama 40 hari,boleh menjadi penawar. Jika air
habis ulang bacaan tersebut sehingga 40 hari. Caranya: Sembahyang Tahajjud
(3x) berturut-turut, Baca pada air [100x) Dan berdoa apa sahaja hajat


Wallahualam.

Secara ringkasnya surah Yaasiin ini hendaklah dibaca ketika orang sakit, tengah nazak atau sudah meninggal dunia. Baca disisi mereka dan bukannya di kubur.Seperti makna ayat 12 sebab kenapa kita perlu baca, agar orang yang sakit berada dalam keadaan tenang dan orang yang masih hidup insaf bahawa esok, lusa kita akan menyusul jua.

Yang penting sesuatu itu yang hendak kita lakukan dengan .. innamal aa'maalu binniat.. dan ikhlas melakukannya.

Wallahualam.

Isnin, 10 September 2007

Nikmatnya khusyuk solat

Antara tip untuk khusyuk solat ialah:

1) Ketika solat kita mesti beritahu hati betapa bahayanya sekiranya kita tidak khusyuk. Kerana kalau tidak khusyuk nanti solat tidak punya upaya mengubah perangai dan akhlak buruk yang kita lakukan.

Dalam al-Quran Allah berfirman maksudnya: “Sesungguhnya solat itu boleh mencegah fahsya dan mungkar.” Kalau masih berterusan berdosa kita dalam keadaan bahaya. Dosa ke neraka. Solat tapi tak berubah adalah bahaya.

2) Kita mesti hadirkan tiga rasa iaitu al-tolab (dalam solat kita hendak minta-minta dengan Allah.) Sebab itulah bacaan dalam solat semuanya ada unsur meminta dengan Allah, seterusnya kena ada rasa al-khudhu iaitu rasa hina diri, apabila rukuk rasa hinanya diri lebih-lebih lagi ketika sujud, kemudian kena ada rasa al-takzim (betapa agungnya Allah).

3) Kena ada rasa bertemu dengan al-Rasul terutama ketika membaca tasyahud. Ayat yang kita baca assalaamualaika...seolah kita berada di hadapan nabi.

4) Bacaan tasyahud juga perlu digambarkan seolah kita sedang menghadap Allah.

Bacaan inilah yang dibaca oleh al-Rasul ketika menghadap Allah ketika peristiwa Israk dan Mikraj.

5) Dalam sebuah hadis Allah sangat berbangga apabila mendapati solat hamba-Nya yang khusyuk. Jadi beritahu hati kita betapa kecewanya Allah kalau kita main-main dalam solat.



Antara tip khusyuk solat selepas selesai solat ialah:

1) Kita hendaklah banyak membaca istighfar selepas selesai solat. Minta ampun kepada-Nya segala kelalaian ingatan dan perbuatan.

2) Jangan lupa berdoa lagi supaya Allah beri kekuatan untuk bersolat lebih berkualiti pada solat yang akan datang.

3) Kita juga jangan lupa perkataan salam yang kita baca sebagai penutup solat adalah janji kita mahu jadi orang yang akan menunaikan segala ikrar yang kita ucapkan ketika solat. Salam juga maknanya kita hendak menjadi orang yang selamat dan menyelamatkan.

Cakap kita tidak mengganggu orang, perbuatan kita tidak menyusahkan orang, dengan kita keluarga selamat, syarikat selamat, negara selamat dan selamat dunia akhirat.

4) Barang diingat tanda utama solat yang khusyuk ialah akhlak yang baik. Jika solat banyak tetapi akhlak tidak berubah itu indikator solat tak betul. Semoga kita khusyuk dalam solat.

Solat khusyuk jiwa tenang

Dalam al-Quran ada lebih 25 tempat ayat yang merujuk kepada makna perintah mengerjakan atau mendirikan solat manakala perkataan solat itu sendiri lebih 70 kali disebut, menunjukkan betapa pentingnya ibadat berkenaan.

“Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu berasa tenteram maka dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (An-Nisa': 103)Kesedaran umat Islam semakin meningkat kerana boleh dikatakan semua tahu bersolat, sama ada secara berjemaah atau bersendirian.

Tinggal lagi, kadang-kadang solat yang dilakukan tidak khusyuk, malah terlewat waktu dan tertinggal disebabkan alpa dengan urusan masing-masing dan kurang prihatin terhadap tuntutan agama.

Mungkin disebabkan jahil mengenai hikmah dan keistimewaan solat membuatkan sesetengah pihak memandang ringan tuntutan pelaksanaan ibadat itu, kurang tertarik terhadapnya.Solat sangat dituntut dalam Islam, kerana menjadi tiang agama dan ia membezakan di antara Muslim dan kafir.

Malah, ibadat itu amalan pertama disoal di alam kubur dan sekiranya individu itu dapat menjawab dengan baik persoalan solat, dipermudahkan lagi persoalan lain.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Amal pertama akan dihisab bagi seseorang hamba di hari akhirat ialah solatnya. Jika solatnya baik, maka baiklah segala amalannya yang lain. Dan jika solatnya rosak, maka binasalah segala amalannya yang lain.” (Thabrani)

Banyak keistimewaan mereka yang memelihara solat, umpamanya terasa seperti berada dekat dengan Allah dan disayangi-Nya, malah dipermudahkan segala dihajati walaupun tidak dikabulkan segera.

Orang yang mengerjakan solat bukan saja diberikan ganjaran baik, malah mendapat keberkatan dalam kehidupan, berasa lapang dan jika ada isteri, tidak memberikan masalah, malah anak-anak berkelakuan baik.

Tetapi bagi yang tidak solat hati tidak tenteram, diri berasa seperti berhutang, kerana tidak melaksanakan tuntutan Allah.

Aspek keberkatan ini sesuai dengan penegasan Allah di dalam surah al-Mukminun, ayat 1-2, bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.”

Rasulullah s.a.w apabila ada masalah akan melakukan solat sunat dan ia sangat baik dijadikan contoh bagi umat Islam sebagai amalan penyejuk hati.

Solat sebenarnya ibadat paling agung yang dapat meningkatkan seseorang untuk sentiasa mengingati Allah, sebagaimana dijelaskan dalam surah Thaaha, ayat 14, bermaksud: “Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan Aku, oleh itu sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.”

Ibadat itu juga dapat menghapuskan dosa, sebagaimana difahami dalam satu hadis bermaksud: “Dari Abi Hurairah r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat-solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar.” (Riwayat Muslim)

Solat apabila dilakukan dengan khusyuk juga mencegah orang yang melakukannya daripada kemungkaran.

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Al-Ankabut: 45)

Untuk mendapatkan solat yang khusyuk seseorang itu perlu mengelak daripada hasutan syaitan dan memberikan tumpuan penuh ketika melaksanakan ibadat berkenaan.

Memanglah, apabila solat pasti syaitan datang menggoda kita, tetapi kita jangan layan. Sebab itu, antara kebaikan bagi mendatangkan khusyuk ialah kita mengetahui maksud bacaan kita dalam solat.

Sekiranya perkara buruk masih juga berlaku, menunjukkan solat yang dilakukan individu terbabit tidak dapat mendidik dirinya kerana lazimnya mereka mengerjakan solat dengan baik malu melakukan perkara buruk.

Jika masih berlaku benda buruk yang tidak sepatutnya, individu terbabit kenalah bermuhasabah semula, cuba perbaiki lagi solat, biar ia sebati dengan diri, barulah iman meresap balik dan paling penting kena ada istiqamah.

Solat fardu tidak boleh ditinggalkan, sebaliknya wajib dikerjakan dalam apa keadaan sekalipun, sama ada berdiri dan jika tidak berkuasa dengan cara duduk, berbaring serta isyarat dan hati.

Mereka yang tidak solat, tetapi masih mempunyai kemewahan, harta berlimpah ruah, malah cakap juga besar itu dipanggil istidraj, iaitu dihulurkan juga rezeki oleh Allah tetapi sampai satu masa jika dikehendaki Allah ditarik rezekinya.

Ayat 132, surah Thaaha, bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu, dan (ingatlah!) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”

Lihat kelemahan diri dulu

Kita terlalu banyak memikirkan apa yang berada di luar kita. Ramai orang menginginkan orang lain berubah.
Malah, kadang-kadang kita berkeinginan tetapi tidak kesampaian. Kita mahu negara kita berubah. Kita mahu orang berubah, kita bercita-cita mahu ubah pekerja kita tetapi malangnya anak isteri kita tidak mampu diubah.Kenapa kita tidak mampu mengubah orang lain? Antara sebabnya kita tidak pernah memberi masa bersungguh-sungguh untuk mengubah diri sendiri.

Rahsia mengubah orang ialah dengan mengubah diri sendiri. Betapa besar pun hasrat untuk mengubah orang lain sekiranya tidak dimulakan dengan diri sendiri ia akan menjadi hampa.

Kadangkala hasrat untuk mengubah orang lain akan menjadi bahan ketawa. Orang di sekeliling kita akan menyaksikan cakap tidak serupa bikin yang kita laungkan.

Sebagai perbandingan elok juga kita fikirkan perbandingan ini. Kalau kita hendak membina rumah apalah ertinya kita memikirkan dinding, pintu dan atap sekiranya tapak tidak kita bina.

“Mulakan dengan dirimu,” kata pepatah Arab. Inilah kunci orang yang berjaya. Berani mengejek itu mudah, berani berhujah itu mudah tetapi tidak ramai orang yang berani melihat kekurangan diri sendiri.

Ramai orang berani melihat kekurangan orang tetapi jarang orang berani membincangkan kelemahan diri sendiri.

Sebenarnya mengubah diri dengan penuh sedar adalah juga mengubah orang lain. Walaupun tidak sepatah kata kita ucapkan untuk ubah orang lain, perbuatannya yang berubah itu menjadi ucapan yang sangat bererti bagi orang lain.

Memang pengaruh dari kegigihan mengubah diri tidak akan spontan dirasakan. Tetapi percayalah ia akan membekas dalam minda orang lain.

Makin lama orang akan simpati dan terdorong juga untuk turut sama berubah. Lantas bagaimana kaedah mengubah diri?

Pertama: Mulalah dengan mengubah diri sendiri. Bagaimana mungkin kita mengajak orang berubah sedangkan kita tidak berubah. Jadilah seperti 'ketam mengajar anak berjalan betul' nanti cakap tidak serupa bikin.

Kedua: Mulakan dengan melakukan perkara yang kecil. Perkara yang kecil-kecil jika dilazimi akan membantu dan memudahkan untuk melakukan yang besar-besar. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Perkara yang kecil jika sering diabaikan nanti berjangkit yang besar pun akan mudah diingkari. Banjir besar diawali dengan titik-titik hujan yang kecil.

Ketiga: Mulakan sekarang (Do it now). Jangan bertangguh lagi. Semakin bertangguh semakin melarat. Masalah yang kecil-kecil akan jadi besar jika dibiarkan.

Keempat: Paksa diri dengan sepenuh hati. Nafsu jika tidak dipaksa nanti jadi degil.

Kelima: Belajar menghukum diri sendiri. Kalangan sahabat pernah menghukum diri dengan berpuasa kerana mengumpat.

Keenam: Kena ulang dan ulang dan ulang dan ulang dan ulang kebaikan sehingga sebati dengan diri

Jaga hidayah, petunjuk Allah

Manusia memang cenderung menjaga sesuatu yang dianggap berharga. Sebaliknya kita akan membuang sesuatu yang dianggap tidak berharga. Semakin bernilai sesuatu semakin bersungguh kita menjaganya.

Sesetengah manusia sangat menjaga hartanya kerana dianggap hartanya sangat berharga. Ada pula sentiasa menjaga dan merawat mukanya supaya kelihatan awet muda kerana cantik adalah segalanya.
Ada juga bermati-matian mempertahankan kedudukan kerana itu dianggap bernilai dan kalaulah begini perilaku kita, rupanya kita masih menganggap material (kebendaan) adalah segala-galanya.

Namun, ada juga yang bermati-matian menjaga hidayah dan petunjuk yang Allah anugerahkan. Orang yang seperti ini berkeyakinan hidup ini tidak akan selamat sampai muara ketenangan di akhirat kecuali hanya dengan bekalan taufik dan hidayah Allah.

Taufik dan hidayah sangat penting di dalam diri manusia. Pernah suatu ketika seorang yang dibutakan matanya dalam permainan diminta supaya berjalan, tiba-tiba menangis.

Dia berasa langkahnya berisiko, mungkin terpelecot, bimbang terhantuk atau jatuh tangga. Begitulah akibatnya sekiranya tidak mendapat panduan.

Orang yang yang berjalan tanpa arah sentiasa berada dalam cemas, takut, bingung. Tidak sedikit orang kaya yang menderita dengan kekayaan. Bagaimana kekayaan yang melimpah semakin membuatnya sengsara.

Pendek kata orang yang jauh daripada petunjuk Allah dan al-Quran, apa pun diberikan Allah kepadanya pasti hanya akan membuatkan dirinya hina.

Harta, pangkat, kedudukan atau penampilan kalau tidak diiringi dengan ketaatan pasti akan menyiksakan.

Kemerdekaan yang kita kecapi sekarang jika tidak diiringi dengan ketaatan kepada Allah membuatkan kita mudah lalai. Negara saja merdeka tetapi jiwa tidak, malah ditawan syaitan.

Sedarlah, syaitan adalah penjajah yang tidak pernah berputus asa. Dalam satu perisytiharan, menurut hadis Rasulullah s.a.w, syaitan pernah berkata: "Demi kebesaran-Mu, aku bersumpah wahai Allah, aku tidak akan berpisah dengan anak Adam selagi nyawanya masih di badan.”

Bayangkan kesungguhan syaitan, isytihar perang dengan manusia. Kalau kita masih main-main, mudah tertipu.

Syaitan ibarat tukang joget atau penari. Dia akan menari ikut muzik. Kalau dondang sayang ada lenggoknya, kalau lagu rock pandailah dia meloncat...maknanya syaitan tahu sasarannya kalau orang alim begini caranya, kalau sesatkan pemuda lain caranya, orang kaya lain pula kaedahnya.

Kita memberikan tumpuan kepada yang nampak di mata, yang besar-besar biasanya menjadi tumpuan, yang kecil tidak berapa dipedulikan. Kita kadang kala lupa sesuatu yang tidak nampak itu sangat berharga.

Iman kecil sahaja, tidak nampak tapi sangat berharga. Jadi dalam hidup ini lihat dan utamakan pandangan Allah.

ShoutMix chat widget