Ahad, 11 Mei 2008

Pentingnya makanan Halal untuk kesihatan

Makanan yang baik, lagi halal memberikan kesihatan kepada tubuh badan, sebaliknya makanan yang tidak berkhasiat boleh menyebabkan penyakit.

Islam mementingkan aspek khasiat dan kebersihan supaya yang dimakan benar-benar membawa manfaat, bukannya kemudaratan.

Dalam hadis diceritakan Muslim, Nabi Muhammad s.a.w bersabda, maksudnya:

“Wahai orang beriman, makanlah barang yang bersih daripada apa yang kami kurniakan kepada kamu.”

Justeru, sudah menjadi tanggungjawab orang Islam memastikan makanan yang dimakan setiap hari berkhasiat dan tidak tercemar untuk kesihatan dan tumbesaran tubuh badan.

Satu lagi aspek yang sangat diberikan perhatian dalam Islam ialah dari sudut halal atau haram. Islam menekankan aspek ini kerana melalui hukum halal haram membolehkan umatnya mengenal batasan, berdisiplin dan menjadi umat terbaik.

Dalam hadis diceritakan Tirmidzi, Nabi bersabda, maksudnya:

“Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya.”

Makanan yang haram seperti haiwan yang tidak disembelih mengikut syarak, bahan yang bercampur najis atau sumbernya daripada aktiviti tidak halal dibimbangi menyebabkan bahaya besar kepada mereka yang memakannya, iaitu:

* Mempengaruhi jiwa pemakannya sehingga gemar melakukan kejahatan daripada kebaikan, sehinggakan berasa benci kepada aktiviti kebajikan.
* Doa tidak dimakbulkan Allah.
* Mendapat seksa neraka Allah pada hari akhirat kelak.

Begitupun, makanan yang bersih, berkhasiat malah halal sekiranya tidak menepati aturan pemakanan secara seimbang boleh mengundang padah, mengakibat bermacam-macam penyakit dan akhirnya diri yang merana.Menyedari perkara ini Islam tidak terlupa memberikan penekanan kepada gaya pemakanan, iaitu pemakanan secara seimbang dan tidak keterlaluan.

Nabi Muhammad s.a.w menunjukkan contoh dalam perkara ini dan baginda begitu menekankan soal pemakanan kepada sahabatnya. Baginda bersabda:

"Pada diri setiap insan itu hendaklah diisi dengan keperluan sesuai dan sama pada setiap masa".

Ini supaya apa saja bentuk makanan yang memasuki perut tidak terhenti dengan kelazatan dan kenikmatan yang dirasai, malah memberikan tenaga dan semangat kepada orang Islam untuk melakukan ibadat.

Dalam hubungan ini baginda s.a.w ada menyarankan umatnya supaya perut diisi dengan satu pertiga air, satu pertiga makanan dan satu pertiga lagi dengan udara.Menyedari risiko pemakanan berlebihan mendatangkan penyakit, Islam dari awal lagi melarang amalan berlebih-lebihan.

Amalan yang digalakkan adalah bersederhana, malah dalam sebarang aktiviti umat Islam dianjurkan mengamalkan prinsip sederhana.Kebanyakan penyakit bermula daripada salah memilih makanan termasuk makan secara melampaui batas. Pakar kesihatan turut mengakui hakikat ini.

Dalam satu hadis Nabi s.a.w bersabda, maksudnya:

“Perut adalah sumber penyakit dan berpantang adalah sebaik-baik ubat. Biasakanlah setiap tubuh dengan apa yang lazimnya.”

Justeru, makanlah sekadarnya sebagaimana yang disarankan oleh nabi iaitu makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang. Maksud tersirat di sini ialah bersederhana dalam pemakanan.Orang Islam yang prihatin dengan kebersihan dan kesucian makanannya setiap hari pasti lahir dari dalam dirinya cahaya keimanan yang dapat membantunya menjaga kebersihan diri secara keseluruhan, baik tubuh badan, pakaian, kenderaan atau tempat tinggal.

Nyata, Islam tidak hanya membincangkan persoalan ibadat khusus, seperti solat, puasa, zakat dan haji, malah sebagai agama yang sempurna perbincangannya adalah menyeluruh, membabitkan semua disiplin kehidupan manusia, termasuklah ilmu kesihatan.

Tiada ulasan:


ShoutMix chat widget