Selasa, 10 Julai 2007

Berzikir penenang jiwa insan

Dunia ada beberapa musim, musim panas, sejuk, gugur dan bunga. Di negara kita ada dua musim sahaja iaitu musim hujan dan panas. Itu tanda keagungan Allah.Mereka yang berfikir dan menggunakan akal sahaja dapat menangkap ‘buah tangan’ ciptaan Allah itu. Manusia pun ada musim. Ada ‘musim’ kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua. Ada musim senang, susah, derita, kaya, miskin, dimuliakan dan dihina.

Sebelum datang musim itu perlu buat persiapan. Sekarang negara kita buat persiapan musim banjir. Setiap negeri dikerah menyediakan tempat, dana dan sukarelawan menghadapi sebarang kemungkinan. Hidup dengan episodnya mesti dipersiapkan.

Alangkah indahnya hidup ini jika kita mengetahui apa patut dilakukan terhadap perkara yang akan dilalui.Jika tahu apa yang patut kita buat tentu kita akan tenang. Kita tak gelabah, keluh kesah, mati akal, kaget dan ragu-ragu, maklumlah dah bersedia. Tetapi kalau tak bersedia sering takut. Takut tak jadi, kehilangan, kerugian dan seribu ketakutan. Jika dililit dengan ketakutan bila nak tenang dan bahagia.

Sesungguhnya aset utama menghadapi musim kehidupan ialah ketenangan batin. Sebab jika hati tenang, mudah kita lalui aktiviti kehidupan sama ada duniawi ataupun ukhrawi.Cara nak tenangkan hati diajar Allah dalam al-Quran dan terbukti sangat berkesan. Tonik paling berkesan itu ialah berzikir.

Firman Allah yang bermaksud: “Ingatlah, dengan mengingati Allah jiwa kamu akan tenang.”

Ingat Allah hati akan tenang dan tenteram. Jarang ingat Allah hati akan kering dan gersang serta tandus.

Iman bertambah bila banyak ingati Allah. Apabila bertambah iman, hati makin kuat, tidak takut dengan ancaman, tidak gentar dengan musibah dan kekurangan, tidak cemburu dengan kekayaan orang lain, bekerja bukan untuk diri tapi untuk majukan organisasi, tidak akan rasuah kerana tahu pemberi bukannya manusia tapi Allah.

Berzikir bukan hanya menyebut nama Allah tapi bersolat, baca al-Quran, melakukan makruf, meninggalkan mungkar, berbakti dan berkhidmat, mematuhi dan menyantuni, menerima ketentuan dengan reda malah berzikir yang ampuh harus diiringi sabar dan syukur barulah mendapat ketenangan hakiki.

Menghadapi cabaran hidup, zikir akan memberi kita dua perkara iaitu niat yang betul dan ikhtiar yang padu dan tak jemu-jemu. Kesan ketenangan berzikir ialah apabila kita berada pada musim kaya, kita banyak bersedekah, musim dipuji kita warnai dengan syukur dan tak lupa diri, musim dihina kita sabar dan bermuhasabah, musim menjadi pemimpin, kita berlaku adil, musim menjadi pengikut, kita taat.Orang yang berzikir akan sentiasa bersangka baik terhadap ketentuan Allah. Jika bersedia dengan membesarkan Allah, jiwa akan besar. Apabila jiwa besar, dunia dan segala musimnya menjadi damai dan harmonis.
Dipetik dari tazkirah -Ustaz Mohd Zawawi Yusoh-

Tiada ulasan:


ShoutMix chat widget