Jumaat, 18 Mei 2007

Fakta Kesihatan:Khasiat minyak ikan kod


Kajian Sejarah
Sejak turun temurun minyak ikan kod dipercayai boleh digunakan sebagai ubat, walaupun rasanya teruk dan berbau busuk, kerana ia melalui proses pereputan secara semula jadi dan berwarna hampir kehitaman.

Pada abad ke-18, minyak ikan kod melalui proses pemanasan dengan wap yang menghasilkan warna lebih pudar. Walaupun minyaknya lebih berkualiti, rasanya masih tidak sedap dan ia digunakan untuk merawat kanak-kanak yang mengalami penyakit riket.

Menjelang abad ke-19, The British Cod Liver Oil Producers (Hull) Ltd mengambil pendekatan berbeza. Mereka melakukan kaedah mengukus cerek mengandungi minyak ikan kod. Kemudian mereka menyedari beberapa syarikat menangkap ikan menggunakan pukat tunda yang beroperasi di Hull, England menggunakan teknik merebus di laut.

Teknik itu menghasilkan minyak berwarna coklat keemasan, rendah kandungan asidnya dan rasa lembut.

Kenneth McLennan yang pernah bertugas dengan Lever Brothers mencadangkan minyak ikan kod boleh diperoleh dalam bentuk lebih kecil dan mewujudkan jenama dikenali sebagai ‘Seven

Minyak ikan untuk sendi sihat
Orang Eskimo jarang mengalami artritis reumatoid kerana mereka banyak makan ikan. Orang Jepun juga mengamalkan diet yang mengutamakan ikan. Itu sebabnya kes artritis (sakit sendi) di dua negara itu jauh lebih rendah berbanding negara lain.

Kajian menunjukkan bagi pesakit yang mengalami artritis reumatoid ringan, pengambilan minyak ikan kod boleh mengurangkan keperluan ubat anti-keradangan bukan steroid (NSAIDs).

Minyak ikan kod yang kaya dengan asid lemak Omega-3 penting untuk orang dewasa yang mengalami artritis dan masalah lain yang berkaitan tulang. Penggunaan asid lemak Omega-3 boleh mengurangkan pengeluaran bahan kimia yang menyebabkan keradangan sendi.

Bagi pesakit arthritis, keradangan adalah seperti pisau bercerancang kerana enzim boleh menyebabkan masalah serius. Keadaan ini berbeza pada orang sihat kerana enzim tidak aktif. Di samping mengurangkan pengeluaran bahan kimia yang menyebabkan keradangan, asid lemak Omega-3 boleh merendahkan risiko kerosakan rawan.

Osteoartritis
Artritis adalah jenis paling biasa di kalangan penyakit lemah sendi. Satu bentuk artritis paling biasa ialah osteoartritis. Osteoartritis adalah penyakit sendi degeneratif yang boleh menyerang semua orang.

Penyakit ini hasil daripada proses ‘haus dan lusuh’ sendi, biasanya ia membabitkan orang tua, namun ada juga orang muda menderita penyakit sama. Ia lebih ketara pada sendi yang mengalami pelbagai tekanan dan ‘penderaan’ seperti sendi kaki iaitu lutut dan buku lali.

Artritis reumatoid
Artritis reumatoid adalah penyakit sistem imun yang menyakitkan, menyebabkan pesakit berasa tidak selesa dan mengalami bengkak pada sendi, saraf, otot, tendon, pembuluh darah dan tisu perantara di dalam badan.

Artritis reumatoid boleh menyerang individu tanpa mengira peringkat umur, tetapi kebanyakannya membabitkan kumpulan usia antara 25 hingga 40 tahun. Ratusan ribu penduduk di United Kingdom, termasuk kanak-kanak, mengalami masalah ini.

Bagi sesetengah orang, arthritis reumatoid hanya menyerang sekali seumur hidup. Namun ada yang menghadapi serangan penyakit sepanjang hayat kerana ia penyakit bersifat progresif dan jangka panjang, merebak dari satu sendi ke sendi lain dan boleh menyebabkan kecacatan tangan serta kaki.

Tiada ulasan:

Follow by Email


ShoutMix chat widget