PERKARA pertama yang diharapkan apabila bertentang mata dengan seseorang ialah melihat senyumannya. Senyuman seseorang itu akan menjadi lebih manis jika mempunyai barisan gigi yang sihat dan teratur.
Bagi sesetengah pekerjaan, terutama yang berdepan orang ramai, gigi adalah aset paling utama. Ia bukan saja lambang kecantikan, tetapi juga dijadikan pengukur terhadap keprihatinan seseorang terhadap kebersihan dan penjagaan kesihatan.
Penjagaan gigi yang sempurna (dengan memberus gigi dan lidah) boleh menghindarkan kita daripada penyakit gusi, masalah gigi berlubang, pembentukan plak dan nafas berbau.
Lebih penting, kajian terbaru mendapati kesihatan gigi juga ada kaitan rapat dengan penyakit jantung. Semua orang tahu penyakit jantung adalah pembunuh paling utama di dunia, termasuk di negara kita.
Ramai maklum dan faham faktor risiko ‘tradisional’ seperti amalan pemakanan tidak sihat, kurang bersenam, merokok, tekanan darah tinggi dan kencing manis — yang boleh mendekatkan kita dengan serangan sakit jantung.
Namun sehingga kini faktor tradisional di atas, termasuk faktor genetik, belum dapat dikaitkan sepenuhnya dengan pembentukan arteroskelorosis (pengumpulan plak lemak dalam salur darah yang menyebabkan serangan jantung).
Justeru, penyelidik kini memberi tumpuan kepada kaitan antara masalah gigi dan gusi (periodontal) dengan penyakit koronari jantung.Walaupun secara puratanya lebih 500 spesies bakteria mendiami mulut manusia, hanya satu bahagian kecil boleh menyebabkan penyakit pergigian iaitu gingivitis (gusi menjadi radang, bengkak dan mudah berdarah) serta periodontitis (penyakit pada gusi dan struktur yang menopang gigi).
Banyak kajian klinikal membuktikan kurang penjagaan mulut boleh mendatangkan banyak masalah lain pada badan, sekali gus memburukkan keadaan kesihatan seseorang.
Contohnya, penyakit periodontal boleh memberi sumbangan langsung meningkatkan risiko mendapat serangan jantung kerana bakteria daripada mulut boleh menjangkiti kawasan lain dalam badan dan menyebabkan tindak balas keradangan.
Sistem imun badan akan mengesan kehadiran bakteria ini dan mula bertindak balas untuk menghapuskannya. Tindak balas ini menyebabkan pelbagai kesan keradangan, terutama pada sistem kardiovaskular (jantung) dengan menebalkan dinding salur darah —seperti yang kerap berlaku pada pesakit jantung.
Ada empat hipotesis yang mengaitkan masalah kesihatan gigi dengan penyakit jantung iaitu kesan bakteria pada platelet darah, kesan rangsangan pada pencetus keradangan, tindak balas autoimun dan serangan bakteria pada sel endotelium (lapisan sel tunggal pada jantung).
Kajian ke atas 20,749 orang, dengan 9,760 daripada mereka ada masalah periodontal dan penyakit jantung, mendapati individu yang menghadapi masalah periodontitis mempunyai risiko 24 peratus lebih tinggi mendapat penyakit jantung koronari.
Daripada jumlah itu, 2.1 peratus dijangka boleh menemui maut akibat serangan jantung, manakala lebih tiga peratus disebabkan kencing manis.
Sebenarnya teori yang mengaitkan jangkitan mulut dengan masalah kesihatan badan secara menyeluruh bermula sejak 1891. Banyak kajian mendapati pesakit yang dimasukkan ke unit kecemasan hospital akibat serangan jantung mempunyai penyakit gusi peringkat sederhana dan teruk.
Penyakit gusi, serangan jantung dan kencing manis
Jangkitan yang menyebabkan keradangan sudah lama dikaitkan dengan penyakit jantung. Penyakit gusi adalah penyakit keradangan yang disebabkan tindakan bakteria fakultatif (mempunyai banyak cara untuk hidup) dan anaerobik (bakteria yang boleh hidup dalam keadaan tiada oksigen).
Apabila mempunyai masalah gusi, secara semula jadi badan menghasilkan bahan perantara keradangan dan bahan ini boleh memasuki sistem peredaran darah.
William berkata, bakteria serta bahan yang dihasilkan bakteria berkenaan memasuki salur darah dan akhirnya sampai ke bahagian lain yang jauh ke dalam seperti sel endotelium pada salur darah dan menyebabkan tindak balas keradangan.
Tindak balas keradangan pada dinding salur darah menghasilkan sel monosit (sel darah putih) dan mast (sel besar yang mengandungi bahan hasil keradangan).
Sel ini akan melekat sesama sendiri dan mula mengumpulkan lemak pada dinding salur darah. Akibatnya dinding salur darah menebal dan menyempitkan laluan darah. Keadaan ini jika dibiarkan terusan boleh menyebabkan seseorang individu itu mendapat serangan jantung.
Penjagaan gigi dan gusi penting, terutama kepada individu berpenyakit. Bagi individu yang pernah diserang sakit jantung, penjagaan kesihatan mulut yang baik dapat mengurangkan risiko serangan jantung kali kedua.
Selain sakit jantung, keadaan kesihatan mulut memberi kesan besar terhadap kencing manis, kelahiran bayi pra matang yang tidak cukup berat dan penyakit pulmonari (paru-paru).
Pakar perubatan mengesahkan, pesakit kencing manis ada kecenderungan tinggi untuk mendapat penyakit gusi. Malah bagi individu masih sihat, masalah gusi boleh meningkatkan risiko mendapat kencing manis.
Banyak kajian mendapati kencing manis yang tidak terkawal juga mampu mendatangkan komplikasi penyakit. Ini kerana bakteria anerobik daripada gusi juga boleh menyebabkan keradangan pada sel endotelium pada pankreas.
Keadaan ini akan merosakkan pankreas iaitu organ yang menghasilkan insulin. Apabila perkara ini berlaku, seseorang itu akan mendapat kencing manis — walaupun dia sihat dan bebas daripada faktor risiko menghidap penyakit itu.
Jika paras gula dalam darah tidak dikawal, pesakit kencing manis boleh mengalami masalah gusi dan kehilangan gigi lebih awal berbanding orang lain. Penyakit gusi juga membuatkan kencing manis anda lebih sukar dikawal.
Penjagaan kesihatan mulut juga penting kepada wanita mengandung. Wanita hamil yang ada masalah gusi mempunyai kebarangkalian tujuh kali lebih tinggi untuk bersalin tidak cukup bulan.
Justeru, wanita hamil perlu menjalani pemeriksaan gigi sekerap mungkin sepanjang tempoh kehamilan. Masalah gusi dan gigi yang dialami sebelum hamil boleh menjadi lebih buruk ketika mengandung kerana perubahan hormon.
Bagaimanapun,kekerapan pemeriksaan gigi bergantung kepada keadaan kesihatan mulut setiap wanita. Untuk memastikannya, wanita disaran berbincang dengan doktor gigi bagi mengelak masalah yang mungkin berlaku.
Kajian juga membuktikan rawatan pergigian ketika hamil boleh mengurangkan risiko bersalin tidak cukup bulan sehingga 82 peratus.
Kesihatan mulut adalah insurans kepada kesihatan badan keseluruhan untuk jangka masa panjang. Ramai tidak sedar plak yang terkumpul pada gigi boleh menjadi tempat pembiakan lebih 400 spesies bakteria dan mikro organisma lain.
Malangnya, ramai kurang memberi perhatian kepada penjagaan gigi. Cara paling asas ialah memberus gigi dan lidah serta flos sekurang-kurangnya dua kali sehari. Pilih ubat gigi yang memberikan perlindungan terbaik. Selain itu amalkan pemakanan sihat dan seimbang, berhenti merokok dan kurangkan pengambilan makanan manis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan