Rabu, 14 Mei 2008

Membendung rasa negatif

Emosi kita, sama ada gembira atau sedih, kita yang tentukan. Pilihan di tangan kita. Secara tidak langsung, riak wajah kita juga tampak lebih manis dan tenang.Malah, ada orang menyifatkan kegembiraan itu macam rama-rama cantik, mampu menyenangkan hati sesiapa yang memandang.Walaupun ada kajian menunjukkan kebolehan untuk gembira banyak disumbangkan oleh faktor genetik, ramai penyelidik percaya perasaan positif, khususnya gembira, boleh dipupuk dan dirangsang dengan mengawal serta membendung perasaan negatif seperti pesimis, geram dan marah.

Apabila perasaan negatif dapat dikawal, baru perasaan positif seperti empati (kebolehan meletakkan diri dalam kedudukan atau keadaan orang lain), ketenangan dan kesyukuran boleh dipupuk dan dirangsang.

Perkara paling asas untuk mendapat kegembiraan ini ialah, kita mesti selesa dengan diri sendiri dan menerima kelebihan serta kekurangan diri dengan hati terbuka. Usah jadikan rupa paras atau warna kulit sebagai perbandingan yang menyebabkan kita rendah diri kerana ia anugerah terbaik dan unik Allah kepada setiap insan.Keselesaan ini membuat kita yakin dan tenang; yang menjadi tonggak kepada kesejahteraan fikiran.

Ada kajian menunjukkan individu yang gembira hidup sembilan tahun lebih lama berbanding golongan yang kerap tertekan dan murung. Untuk mendapat hidup bahagia dan gembira, kita kena berusaha mencarinya kerana kegembiraan tidak datang bergolek depan mata.

Antara strategi yang boleh dilakukan untuk gembira ialah:

l. Pilih untuk gembira — Pilihan ini ada di tangan setiap orang dan jadikan ia sebagai sasaran setiap hari. Bagaimanapun, perasaan gembira bukan datang begitu saja kerana sumbernya perlu dicari dan dipelajari.Antaranya ialah belajar kemahiran mengurus diri, kebolehan berinteraksi dengan baik dan perkara yang boleh meningkatkan prestasi kerja. Pilih untuk ada di persekitaran atau berkawan dengan orang yang bersikap positif serta mampu membuat anda gembira.Menurut pensyarah psikologi Universiti Virginia, Profesor Jon Haidt, untuk tenang, seseorang boleh memilih sama ada mahu menjadi pemaaf atau seorang yang selalu bersyukur dan berterima kasih.

2. Pupuk perasaan syukur — Kesyukuran ini perlu hadir dalam hati dan bukan hanya pada kata-kata.
Lumrah manusia sering membandingkan diri sendiri dengan orang yang ada pelbagai kelebihan daripada pelbagai sudut.Memang tidak salah jika ia dijadikan penguat semangat untuk berusaha, tetapi jika ia menjadi punca kesedihan, langkah terbaik ialah menyenaraikan kelebihan dimiliki seperti kasih sayang keluarga, suami, anak, makanan, tempat tinggal mahupun persekitaran.

3. Amalkan sifat pemaaf — Penyelidik berpendapat berfikiran negatif, memendam kemarahan dan sentiasa memikirkan keburukan orang lain memberi kesan buruk terhadap kesihatan mental. Satu-satunya cara untuk mengikis kesan buruk ini ialah memaafkan kesilapan orang lain pada kita. Ini mengurangkan ingatan kita terhadap insiden pahit yang boleh merangsang perasaan marah.Sebaliknya, kaji pendapat orang lain yang mungkin ada benarnya; walaupun kebenaran itu pahit untuk ditelan. Kenang semula perasaan anda apabila mendapat kemaafan daripada orang lain dan kebaikan yang lahir daripadanya. Apabila sudah memaafkan, berusaha melupakan kenangan kurang manis dan elak mengungkitnya semula.

5. Lawan pemikiran negatif — Pemikiran negatif umpama sampah dalam otak. Kita perlu belajar mengenal pasti pemikiran negatif supaya ia boleh dikawal dan dibuang. Contohnya, apabila nampak seseorang yang dikenali, anda mungkin terfikir perkara negatif mengenainya, tetapi ini adalah pemikiran yang boleh merosakkan persahabatan.Yang perlu dilakukan ialah menepis pemikiran negatif tadi dan cari sifat positif yang dimiliki rakan berkenaan. Tidak kira berapa benci atau meluat pun kita pada seseorang, pastinya dia sebagai manusia ciptaan Tuhan (yang sama seperti kita) mempunyai kebaikan dan kelebihan tersendiri.

6. Tambah sahabat — Antara penawar kesedihan ialah mempunyai sahabat baik yang sentiasa mengambil berat mengenai anda. Kajian di Australia mendapati, warga emas berusia 70 tahun ke atas yang ada ramai sahabat hidup lebih lama dan gembira.Sesetengah pakar psikologi percaya senario kehidupan sekarang yang bersifat individualistik antara punca peningkatan kes kemurungan dan tekanan yang berlaku di seluruh dunia. Ketiadaan kawan untuk meluahkan masalah menyebabkan ramai buntu fikiran hingga sanggup melakukan pelbagai tindakan nekad, termasuk membunuh diri.

7. Kegembiraan ada di keliling kita dan biasanya ia datang dalam bentuk kecil — Contoh paling mudah ialah menghadiahkan senyuman kepada orang lain, termasuk yang tidak dikenali, tanpa mengharapkan balasan. Pergerakan yang menggunakan beberapa otot di muka ini ada ‘khasiat’ kerana ia secara automatik membuat anda senang hati.

8. Sentiasa berbuat baik — Tidak kira sekecil mana pun bantuan yang diberi, ia boleh membuatkan si penerima dan pemberi bantuan gembira. Jika tekanan boleh merangsang penyakit, penyelidik percaya kegembiraan memiliki ‘kuasa’ yang boleh melindungi kita daripada masalah kesihatan. Orang yang gembira berasa lebih yakin dengan keupayaan diri dan ia diakui menjadi ‘vitamin’ kepada sistem imun badan yang boleh mempercepatkan kadar penyembuhan.Ini sebabnya di kebanyakan hospital, terutama di luar negara, ada kumpulan sokongan bagi pelbagai masalah kesihatan. Kumpulan sokongan ini membabitkan pesakit, bekas pesakit, ahli keluarga, rakan dan kakitangan perubatan yang berfungsi memberi semangat kepada pesakit melawan penyakit dihidapi.Ia penting supaya pesakit kuat semangat dan percaya mereka boleh sembuh. Semangat dan kepercayaan ini sebenarnya ada pengaruh besar kepada pesakit kerana ia membuatkan badan memberi tindak balas lebih baik terhadap ubat.

9. Sertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan — Pilih aktiviti yang sesuai dengan minat anda, tetapi lebih baik jika ia turut memberi manfaat kepada orang lain dan persekitaran. Contohnya menyertai badan kebajikan, menjadi sukarelawan sama ada untuk membantu mangsa bencana mahupun memulihara alam sekitar.Melalui cara ini kita bukan saja menambah kenalan, tetapi turut belajar banyak perkara baru. Tanpa anda sedari, proses belajar perkara baru dan bagaimana berdepan halangan boleh membantu minda menjadi lebih cerdas.Malah, banyak kajian menunjukkan aktiviti yang mencabar minda ini boleh melindungi kita daripada pelbagai penyakit kemerosotan ingatan seperti dementia dan Alzheimer.

10. Wang bukan segala-galanya — Memang betul wang boleh merangsang kegembiraan, tetapi bukan semua kegembiraan boleh dibeli dengan wang. Walaupun kajian menunjukkan penduduk di negara kaya lebih gembira berbanding penduduk negara miskin, tetapi apabila sudah memiliki rumah, makanan, pakaian dan segala keperluan lain, mempunyai banyak wang tidak membuatkan seseorang jadi lebih gembira, kata penyelidik Universiti Princeton, Profesor Daniel Kahneman.

11.Jangan lokek dengan pujian — Masyarakat kita memang lokek memberi pujian, terutama pada anak dan ahli keluarga, sedangkan ia boleh merangsang banyak perkara baik, kata Pakar Psikiatri Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Dr Nor Hamidah Mohd Salleh.Pujian ke atas perkara kecil, terutama keupayaan orang lain — contohnya apabila anak mengemas alat permainannya — bukan saja boleh memberi kesan positif kepada individu yang dipuji, tetapi turut membuatkan anda berasa senang hati. Bagaimanapun, pujian biar ikhlas dan kena pada tempatnya.Pekerja berasa lebih gembira dan bersemangat apabila mendapat pujian daripada ketua atau majikan. Pujian seringkas ‘bagus atau baik’ sudah memadai. Ia tanda penghargaan yang boleh merangsang semangat pekerja untuk berusaha lebih baik dan bersungguh-sungguh.

12. Belajar terima setiap dugaan dengan hati terbuka — Ia membolehkan kita berfikir dengan tenang dan dapat membuat keputusan lebih baik. Ketenangan ini bagaimanapun perlu dipelajari dan diamal. Memang ia tidak mudah, tetapi tiada yang mustahil sebelum dicuba.l Dekatkan diri dengan agama. Tidak kira apa juga fahaman yang anda anuti, kepercayaan terhadap Tuhan memang diakui meningkatkan keyakinan dan ketenangan fikiran seseorang.Ketua Jabatan Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Dr Muhamad Husaain Habil, pernah berkata antara ubat paling mujarab untuk menghilangkan tekanan fikiran ialah sembahyang dan mendekatkan diri dengan Tuhan. Jadi apabila setiap kali berasa susah hati atau sedih, ingat bahawa kita ada Allah yang sentiasa mendengar keluhan dan rintihan hamba-Nya.

13. Bersenam — Senaman bukan saja baik untuk badan, tetapi menjadi ubat anti kemurungan yang sangat berkesan bagi jangka pendek dan panjang. Apabila bersenam, kita lebih segar dan tenang. Kajian membuktikan senaman mampu mengurangkan kemurungan pada semua peringkat umur dan kesannya lebih baik jika individu bermasalah turut mendapatkan rawatan perubatan.Bahkan, ada penyelidik mendapati senaman boleh menjadi sebahagian ‘rawatan’ penting untuk pelbagai jenis masalah seperti keresahan, rasa rendah diri, isu berat badan dan ketagihan. Ia juga mampu meningkatkan fungsi mental dan fizikal; selain membuka peluang berinteraksi dan bersosial dengan orang lain yang turut bersenam bersama.

Empat penyakit 'serangkai'.

Kencing manis, tekanan darah tinggi, kegagalan buah pinggang dan sakit jantung — empat penyakit yang saling berkait rapat. Biasanya jika seseorang ada kencing manis, dia berisiko tinggi mengalami tiga penyakit lain, terutama jika gagal mengawal paras gula dalam darah.

Dianggarkan di seluruh dunia ada kira-kira 250 juta pesakit kencing manis dan catatan menunjukkan kebanyakannya meninggal dunia akibat komplikasi penyakit. Punca utama kematian di kalangan pesakit kencing manis ialah masalah jantung dan kegagalan buah pinggang.

Di Malaysia, jumlah pesakit kencing manis kini mencecah 1.2 juta orang dengan catatan 650,000 kes baru setiap tahun. Kebanyakan pesakit tidak sedar mereka menghidap penyakit kronik ini hinggalah mengalami pelbagai gejala yang menjejaskan kualiti hidup.Pakar perubatan percaya kebanyakan pesakit menghidap kencing manis beberapa tahun sebelum penyakit dikesan. Yang membimbangkan, lebih lama seseorang itu menghidap kencing manis, lebih tinggi risiko untuk mendapat komplikasi penyakit.

Kencing manis adalah penyakit zaman moden paling nyata dan menjadi punca kematian kelima tertinggi di dunia. Dianggarkan satu kematian berlaku dalam setiap 10 saat akibat kencing manis.

Komplikasi kencing manis boleh dibahagi kepada dua iaitu:

l. Mikrovaskular (membabitkan kerosakan salur kecil) seperti kerosakan mata dipanggil retinopati diabetes yang mengakibatkan pesakit hilang penglihatan, kegagalan buah pinggang, kerosakan saraf kaki dan meningkatkan risiko kaki dipotong.

2. Makrovaskular (membabitkan salur darah besar) lebih mudah berlaku pada kadar empat kali lebih tinggi berbanding komplikasi mikrovaskular.

Kencing manis boleh meningkatkan risiko penyakit jantung, strok, penyakit vaskular periferal (PVD iaitu salur darah besar pada kaki). Pecahan komplikasi kencing manis:
1. 55 peratus kematian kerana komplikasi jantung
2. 13 peratus kes kematian kerana paras gula tidak terkawal
3. 13 peratus kes kematian kerana kanser
4. 19 peratus kes kematian kerana lain-lain penyakit.

Perkara pertama perlu dilakukan untuk mengelak komplikasi ialah mengawal paras gula dan tekanan darah. Bagaimanapun, pesakit kencing manis yang turut mengalami masalah tekanan darah tinggi sukar mencapai paras gula dan tekanan darah yang disasarkan (selamat).Namun, komplikasi kematian akibat kencing manis boleh dibendung.

Ini didapati daripada kajian klinikal terbesar, ADVANCE anjuran syarikat farmaseutikal Servier yang membabitkan pesakit kencing manis di seluruh dunia.Kajian dilakukan untuk menjawab beberapa isu yang belum diselesaikan berkaitan kawalan tekanan darah dan pengurusan glukos dalam diabetes mellitus, iaitu jenis kencing manis yang dihidapi pesakit dewasa.

Antara keputusan dalam cabang yang mengkaji penurunan tekanan darah menunjukkan gabungan komposisi tetap ubat perindopril dan indapamide iaitu rawatan untuk hipertensi (tekanan darah tinggi), dapat meningkatkan kelangsungan hidup dan mengurangkan masalah jantung dan buah pinggang dalam pesakit kencing manis.Gabungan ubat yang diberi mencatat pengurangan ketara terhadap jumlah kematian keseluruhan (sehingga 14 peratus) dan risiko kematian akibat penyakit jantung (sehingga 18 peratus).Dalam perkataan mudah, dalam tempoh lima tahun kajian, satu kematian dapat dielakkan untuk setiap 79 orang pesakit yang dirawat dengan gabungan rawatan perindoril dan indapamide.

Selain itu, risiko berlaku kejadian membabitkan jantung berkurang sebanyak 14 peratus dan 21 peratus bagi kejadian penyakit buah pinggang.

Ini bermakna, satu kejadian koronari dapat dielak untuk setiap 75 pesakit yang diberi rawatan ini.Kajian ADVANCE dilakukan secara rawak di pelbagai pusat membabitkan 11,140 pesakit kencing manis di 215 pusat dari 20 negara di Asia (termasuk Malaysia), Australasia, Eropah dan Amerika Utara; iaitu negara yang mengalami masalah kencing manis serius.Di negara kita, kajian dilakukan di lima pusat iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Hospital Besar Ipoh, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Hospital Besar Pulau Pinang.Pemilihan pesakit untuk kajian ini dibuat berdasarkan beberapa kriteria, iaitu berumur melebihi 55 tahun dan ada sejarah komplikasi penyakit makro dan mikro vaskular dalam tempoh tahun sebelum menyertai ujian, menunjukkan tanda faktor risiko lain serta menghidap hipertensi atau tekanan darah normal.Kajian itu membabitkan empat cabang untuk menyelidik fungsi jantung dan mata selepas gabungan medikasi, keberkesanan kos dan kualiti kehidupan dan faktor genetik.

Ahad, 11 Mei 2008

Bersolat dapat membina ketahanan diri.

Solat fardu adalah satu ibadat yang wajib dilaksanakan individu Muslim, baik ketika waktu lapang mahupun sibuk dengan urusan, solat tetap kena dikerjakan setiap hari.Melaksanakan solat ialah melakukannya menurut sebagaimana yang diperintahkan dan ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w, bermula dari takbir, bacaan, perbuatan hingga ke akhir salam dengan hati penuh keikhlasan dan takwa.

Orang beriman mesti mendirikan solat kerana solat itu tuntutan iman, manakala iman adalah sifat jiwa dan nur batinnya. Jadi, orang yang mendirikan solat adalah orang beriman dan golongan ini sudah pasti berhak menjadi hamba Allah yang patuh kepada perintah-Nya menurut erti kata sebenar.

Mendirikan solat menurut tertib sempurna adalah suatu bisikan dan munajat kepada Tuhan yang dapat mendidik fikiran, hati dan jiwa ke arah kesucian dan kemuliaan.Selain itu, dengan ibadat berkenaan berupaya membimbing akhlak dan gerak geri kehidupan ke jalan yang sejahtera, terpelihara dari segala anasir yang membawa kerosakan serta terhindar daripada melakukan sebarang tindakan di luar batas kesopanan.

Dalam Islam, solat juga adalah alat pendidikan dan dengan sebab itu kejahatan yang merosakkan masyarakat dan menimbulkan kekacauan akan dapat dicegah oleh tenaga jiwa yang terdidik melalui ibadat berkenaan.Muslim yang taat mengerjakan solat sepanjang hidup, lagi mengerti betapa besar kepentingan solat itu kepadanya dan faham pula segala hikmah dan rahsia bacaannya akan mendapat kekuatan dari dalam dirinya sehingga mampu menghadapi segala macam fitnah dan pancaroba.

"Sesungguhnya manusia itu dijadikan (bersifat) loba mengeluh apabila kesusahan menimpa dia dan kikir apabila keuntungan mengenai dia, kecuali orang-orang yang solat, yang berkekalan atas solat mereka." (al-Ma'arij:19-23)

Ibadat solat juga adalah pembersih segala bentuk kesalahan Muslim setiap hari. Dengan pembersihan itu akan hati sentiasa suci. Hati yang suci akan memancarkan segala sumber kebaikan dan kehalusan budi pekerti pada setiap individu Muslim.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Bagaimana pendapat kamu jika sekiranya ada sebatang sungai di pintu rumah seorang daripada kamu, lalu dia mandi di situ setiap hari sebanyak lima kali. Adakah masih tertinggal sesuatu daripada dakinya? Mereka berkata: Tidak tertinggal lagi sesuatu daripada dakinya. Baginda bersabda: Maka yang demikian itulah bandingan solat lima waktu, Allah menghapuskan dengannya segala kesalahan."

Pendek kata, solat adalah satu rukun Islam yang besar faedahnya, malah banyak pula hubungkaitnya dengan kesucian hidup di dunia ini.

Justeru, tidak wajar sekiranya ibadat berkenaan diabaikan, malah dilakukan secara sambil lewa, kerana faedahnya cukup besar dalam menjamin kesejahteraan Muslim.

Sekiranya diperhatikan dalam al-Quran banyak ayat perintah supaya mendirikan solat dan dalam masa yang sama melarang keras sikap cuai, lalai dan meninggalkannya.Tetapi sejauh mana umat Islam mengerti terhadap perintah itu? Janganlah perintah tinggal perintah, kerana jika demikian tidak tersingkaplah kejayaan dan kecemerlangan yang akan menjamin kesejahteraan umat Islam di dunia dan akhirat.

Dalam hadis ada menerangkan mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja atau dengan kesedaran bererti menyediakan satu pintu kekufuran dan akan dimasukinya pada bila-bila masa.

Kewajipan melaksanakan solat bukanlah satu tugas yang berat, malah ringan serta mudah disempurnakan dalam beberapa minit saja. Seorang Muslim yang melaksanakan kewajipan ini akan mudahlah kelak baginya menunaikan kewajipan hidup yang lain. Tetapi ia mudah bagi mereka yang celik mata hatinya, bagaimana pula mereka yang tetap berasa berat, malas, terbeban?

Rasulullah s.a.w sangat mengambil berat mengenai solat. Waktu baginda mengirimkan Muaz ke Yaman baginda berpesan dengan sabdanya (maksud):

"Wahai Muaz, sesungguhnya sepenting-penting urusan engkau di sisi aku ialah solat."

Menurut riwayat, Saidina Umar al-Khattab pernah mengirimkan surat kepada setiap hakim (penguasa) negeri di dalam kekuasaannya, dengan katanya:

"Sesungguhnya dari sepenting-penting urusan kamu di sisiku ialah solat. Sesiapa yang memelihara solatnya dia memelihara agamanya dan sesiapa yang mensia-siakannya dan dia lebih lagi mensia-siakan kepada apa yang selainnya. Dan tidak ada bahagian dalam Islam bagi mereka yang meninggalkan solat."

Membentengi diri dari syaitan

Hidup tidak sunyi daripada ujian dan bahaya. Dalam pelbagai bahaya, yang paling bahaya ialah bahaya syaitan.

Sebab itulah benteng pertama yang diajar Allah ialah "saya berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam."

Bahaya penyakit fizikal seperti jangkitan kuman atau virus, binatang buas, bencana tanah runtuh dan gempa bumi hanya akan membawa akibat fizikal seperti kecacatan, kesakitan, kerugian dan kematian. Tetapi, akibat dan bahaya syaitan akan membawa kecacatan rohani, ketempangan sosial dan kedangkalan sistem politik yang akhirnya membawa diri ke 'neraka sementara' di dunia sebelum neraka kekal di akhirat nanti.

Jika hendak melawan syaitan sepatutnya kita mengetahui karakter dan strategi serta selok-belok, modus operandi dan organisasinya. Patut juga diketahui ialah kelemahan dan pantang larang syaitan, iblis dan konco-konconya.

Siapa musuh iblis dan syaitan?Mereka ialah Rasulullah s.a.w, orang beriman yang pengasih dan penyayang, suka memberikan nasihat, bertaubat, berakhlak mulia, bersedekah, memberikan manfaat kepada orang lain, sentiasa berwuduk, tidak melakukan dosa, solat khusyuk, pemerintah yang adil, orang kaya yang rendah hati, peniaga yang jujur dan amanah, istiqamah membaca al-Quran dan orang yang bangun bersolat malam ketika orang lain sedang tidur.

Sementara sahabat syaitan dan iblis pula ialah orang kaya yang sombong, peminum arak, hakim yang tidak adil, peniaga yang tidak jujur, orang yang tidak membayar zakat, orang yang meringankan solat, orang yang makan harta anak yatim, orang yang beramal kerana nama, orang yang penghasut dan pendengki serta orang yang membuang masa dan melakukan perbuatan sia-sia.

Pintu hati manusia yang dimasuki oleh iblis:
* Putus asa dan kecewa
* Memandang remeh pada dosa kecil
* Panjang angan-angan dan suka puji-pujian
* Memandang rendah orang lain
* Tidak takut murka Allah
* Tidak boleh mengawal marah
* Ujub, sombong, riak dan buruk sangka terhadap orang lain
* Terlalu cinta dunia
* Bakhil dan kedekutRumah yang tidak dimasuki iblis ialah rumah yang penghuninya saling bermaafan, dalam keadaan berzikir, selalu menjauhi dosa, merendah diri kepada Allah, soleh dan solehah, berbakti kepada ibu bapa, berwuduk dan bersolat serta sentiasa membaca al-Quran.

Ada beberapa jenis senjata untuk melawan syaitan, iaitu membaca Bismillah, banyak berzikir, beristighfar, membaca "la ila ha illa anta subhanaka inni kuntu minazzolimin", membaca doa pagi dan petang, bersugi dan gosok gigi, solat berjemaah, berwuduk sebelum tidur, menutup aurat, membaca doa masuk tandas, banyak berselawat kepada nabi, bertaubat banyak-banyak dan banyak membaca al-Quran.

Pentingnya makanan Halal untuk kesihatan

Makanan yang baik, lagi halal memberikan kesihatan kepada tubuh badan, sebaliknya makanan yang tidak berkhasiat boleh menyebabkan penyakit.

Islam mementingkan aspek khasiat dan kebersihan supaya yang dimakan benar-benar membawa manfaat, bukannya kemudaratan.

Dalam hadis diceritakan Muslim, Nabi Muhammad s.a.w bersabda, maksudnya:

“Wahai orang beriman, makanlah barang yang bersih daripada apa yang kami kurniakan kepada kamu.”

Justeru, sudah menjadi tanggungjawab orang Islam memastikan makanan yang dimakan setiap hari berkhasiat dan tidak tercemar untuk kesihatan dan tumbesaran tubuh badan.

Satu lagi aspek yang sangat diberikan perhatian dalam Islam ialah dari sudut halal atau haram. Islam menekankan aspek ini kerana melalui hukum halal haram membolehkan umatnya mengenal batasan, berdisiplin dan menjadi umat terbaik.

Dalam hadis diceritakan Tirmidzi, Nabi bersabda, maksudnya:

“Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya.”

Makanan yang haram seperti haiwan yang tidak disembelih mengikut syarak, bahan yang bercampur najis atau sumbernya daripada aktiviti tidak halal dibimbangi menyebabkan bahaya besar kepada mereka yang memakannya, iaitu:

* Mempengaruhi jiwa pemakannya sehingga gemar melakukan kejahatan daripada kebaikan, sehinggakan berasa benci kepada aktiviti kebajikan.
* Doa tidak dimakbulkan Allah.
* Mendapat seksa neraka Allah pada hari akhirat kelak.

Begitupun, makanan yang bersih, berkhasiat malah halal sekiranya tidak menepati aturan pemakanan secara seimbang boleh mengundang padah, mengakibat bermacam-macam penyakit dan akhirnya diri yang merana.Menyedari perkara ini Islam tidak terlupa memberikan penekanan kepada gaya pemakanan, iaitu pemakanan secara seimbang dan tidak keterlaluan.

Nabi Muhammad s.a.w menunjukkan contoh dalam perkara ini dan baginda begitu menekankan soal pemakanan kepada sahabatnya. Baginda bersabda:

"Pada diri setiap insan itu hendaklah diisi dengan keperluan sesuai dan sama pada setiap masa".

Ini supaya apa saja bentuk makanan yang memasuki perut tidak terhenti dengan kelazatan dan kenikmatan yang dirasai, malah memberikan tenaga dan semangat kepada orang Islam untuk melakukan ibadat.

Dalam hubungan ini baginda s.a.w ada menyarankan umatnya supaya perut diisi dengan satu pertiga air, satu pertiga makanan dan satu pertiga lagi dengan udara.Menyedari risiko pemakanan berlebihan mendatangkan penyakit, Islam dari awal lagi melarang amalan berlebih-lebihan.

Amalan yang digalakkan adalah bersederhana, malah dalam sebarang aktiviti umat Islam dianjurkan mengamalkan prinsip sederhana.Kebanyakan penyakit bermula daripada salah memilih makanan termasuk makan secara melampaui batas. Pakar kesihatan turut mengakui hakikat ini.

Dalam satu hadis Nabi s.a.w bersabda, maksudnya:

“Perut adalah sumber penyakit dan berpantang adalah sebaik-baik ubat. Biasakanlah setiap tubuh dengan apa yang lazimnya.”

Justeru, makanlah sekadarnya sebagaimana yang disarankan oleh nabi iaitu makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang. Maksud tersirat di sini ialah bersederhana dalam pemakanan.Orang Islam yang prihatin dengan kebersihan dan kesucian makanannya setiap hari pasti lahir dari dalam dirinya cahaya keimanan yang dapat membantunya menjaga kebersihan diri secara keseluruhan, baik tubuh badan, pakaian, kenderaan atau tempat tinggal.

Nyata, Islam tidak hanya membincangkan persoalan ibadat khusus, seperti solat, puasa, zakat dan haji, malah sebagai agama yang sempurna perbincangannya adalah menyeluruh, membabitkan semua disiplin kehidupan manusia, termasuklah ilmu kesihatan.

Curi tulang adalah perbuatan tidak amanah

Tiga perkara yang boleh menyebabkan kerugian dan kekecohan dalam sesebuah organisasi mahupun sebuah negara ialah:

1.Kurang tanggungjawab terhadap tugas yang diamanahkan.
2.Suka membuang masa dan bersembang serta bercakap perkara sia-sia.
3.Suka melengahkan tugas yang dipertanggungjawab.


Sikap suka meninggalkan tugas sehingga menyusahkan orang lain adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab.Malah, ia juga boleh dikategorikan sebagai khianat atau ‘curi tulang’ iaitu sikap orang malas yang sentiasa mengharapkan habuan dan pertolongan orang lain.

Golongan begini mensia-siakan amanah yang diberikan dan masa yang diperuntukkan kepadanya. Kesannya apabila kesuntukan masa orang lain yang terpaksa memberikan bantuan.Bukankah itu menyusahkan orang lain, malah jika tidak diberikan bantuan, dipersalahkan pula atas alasan tidak memberikan kerjasama. Ini mengakibatkan perselisihan, kekecohan dan kemarahan.

Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Dilaknat Allah sesiapa yang menyusahkan orang-orang beriman atau membuat kecoh terhadapnya.”

Sikap terbabit juga mengakibatkan satu-satu operasi menjadi lemah. Pengabaian tanggungjawab golongan yang suka menangguhkan kerja sehingga satu pun tidak terlaksana boleh juga dianggap satu sikap suka membuli, kerana kesudahannya orang lain yang menjadi mangsa.

Tabiat buruk itu sepatutnya dijauhi bukan saja bagi memastikan operasi sesebuah organisasi atau negara berjalan lancar, malah mengelakkan daripada menanggung dosa yang berterusan.

“Sesungguhnya kami memberi tangguh kepada mereka hanyalah supaya bertambah-tambah dosa mereka dan bagi mereka azab yang menghinakan.” (Ali-Imran: 178)

Allah membiarkan golongan ini berterusan mengumpul dosa kerana mereka menyangka perbuatan mereka itu betul dan tidak akan menerima pembalasan di akhirat nanti, sebagaimana firman-Nya pada ayat 36 surah al-Qiaamah, bermaksud:

“Patutkah manusia menyangka bahawa ia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan?)”

Ini bererti mereka yang suka membuli dengan mengharapkan tenaga orang lain hanya mampu berbangga, bermegah dan gembira di dunia.Di akhirat, mereka dihina dan muflis akibat berhutang kepada orang dikhianatinya di dunia dahulu akibat tipu daya mereka sendiri.

ShoutMix chat widget