Isnin, 10 September 2007

Nikmatnya khusyuk solat

Antara tip untuk khusyuk solat ialah:

1) Ketika solat kita mesti beritahu hati betapa bahayanya sekiranya kita tidak khusyuk. Kerana kalau tidak khusyuk nanti solat tidak punya upaya mengubah perangai dan akhlak buruk yang kita lakukan.

Dalam al-Quran Allah berfirman maksudnya: “Sesungguhnya solat itu boleh mencegah fahsya dan mungkar.” Kalau masih berterusan berdosa kita dalam keadaan bahaya. Dosa ke neraka. Solat tapi tak berubah adalah bahaya.

2) Kita mesti hadirkan tiga rasa iaitu al-tolab (dalam solat kita hendak minta-minta dengan Allah.) Sebab itulah bacaan dalam solat semuanya ada unsur meminta dengan Allah, seterusnya kena ada rasa al-khudhu iaitu rasa hina diri, apabila rukuk rasa hinanya diri lebih-lebih lagi ketika sujud, kemudian kena ada rasa al-takzim (betapa agungnya Allah).

3) Kena ada rasa bertemu dengan al-Rasul terutama ketika membaca tasyahud. Ayat yang kita baca assalaamualaika...seolah kita berada di hadapan nabi.

4) Bacaan tasyahud juga perlu digambarkan seolah kita sedang menghadap Allah.

Bacaan inilah yang dibaca oleh al-Rasul ketika menghadap Allah ketika peristiwa Israk dan Mikraj.

5) Dalam sebuah hadis Allah sangat berbangga apabila mendapati solat hamba-Nya yang khusyuk. Jadi beritahu hati kita betapa kecewanya Allah kalau kita main-main dalam solat.



Antara tip khusyuk solat selepas selesai solat ialah:

1) Kita hendaklah banyak membaca istighfar selepas selesai solat. Minta ampun kepada-Nya segala kelalaian ingatan dan perbuatan.

2) Jangan lupa berdoa lagi supaya Allah beri kekuatan untuk bersolat lebih berkualiti pada solat yang akan datang.

3) Kita juga jangan lupa perkataan salam yang kita baca sebagai penutup solat adalah janji kita mahu jadi orang yang akan menunaikan segala ikrar yang kita ucapkan ketika solat. Salam juga maknanya kita hendak menjadi orang yang selamat dan menyelamatkan.

Cakap kita tidak mengganggu orang, perbuatan kita tidak menyusahkan orang, dengan kita keluarga selamat, syarikat selamat, negara selamat dan selamat dunia akhirat.

4) Barang diingat tanda utama solat yang khusyuk ialah akhlak yang baik. Jika solat banyak tetapi akhlak tidak berubah itu indikator solat tak betul. Semoga kita khusyuk dalam solat.

Solat khusyuk jiwa tenang

Dalam al-Quran ada lebih 25 tempat ayat yang merujuk kepada makna perintah mengerjakan atau mendirikan solat manakala perkataan solat itu sendiri lebih 70 kali disebut, menunjukkan betapa pentingnya ibadat berkenaan.

“Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu berasa tenteram maka dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (An-Nisa': 103)Kesedaran umat Islam semakin meningkat kerana boleh dikatakan semua tahu bersolat, sama ada secara berjemaah atau bersendirian.

Tinggal lagi, kadang-kadang solat yang dilakukan tidak khusyuk, malah terlewat waktu dan tertinggal disebabkan alpa dengan urusan masing-masing dan kurang prihatin terhadap tuntutan agama.

Mungkin disebabkan jahil mengenai hikmah dan keistimewaan solat membuatkan sesetengah pihak memandang ringan tuntutan pelaksanaan ibadat itu, kurang tertarik terhadapnya.Solat sangat dituntut dalam Islam, kerana menjadi tiang agama dan ia membezakan di antara Muslim dan kafir.

Malah, ibadat itu amalan pertama disoal di alam kubur dan sekiranya individu itu dapat menjawab dengan baik persoalan solat, dipermudahkan lagi persoalan lain.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Amal pertama akan dihisab bagi seseorang hamba di hari akhirat ialah solatnya. Jika solatnya baik, maka baiklah segala amalannya yang lain. Dan jika solatnya rosak, maka binasalah segala amalannya yang lain.” (Thabrani)

Banyak keistimewaan mereka yang memelihara solat, umpamanya terasa seperti berada dekat dengan Allah dan disayangi-Nya, malah dipermudahkan segala dihajati walaupun tidak dikabulkan segera.

Orang yang mengerjakan solat bukan saja diberikan ganjaran baik, malah mendapat keberkatan dalam kehidupan, berasa lapang dan jika ada isteri, tidak memberikan masalah, malah anak-anak berkelakuan baik.

Tetapi bagi yang tidak solat hati tidak tenteram, diri berasa seperti berhutang, kerana tidak melaksanakan tuntutan Allah.

Aspek keberkatan ini sesuai dengan penegasan Allah di dalam surah al-Mukminun, ayat 1-2, bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.”

Rasulullah s.a.w apabila ada masalah akan melakukan solat sunat dan ia sangat baik dijadikan contoh bagi umat Islam sebagai amalan penyejuk hati.

Solat sebenarnya ibadat paling agung yang dapat meningkatkan seseorang untuk sentiasa mengingati Allah, sebagaimana dijelaskan dalam surah Thaaha, ayat 14, bermaksud: “Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan Aku, oleh itu sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.”

Ibadat itu juga dapat menghapuskan dosa, sebagaimana difahami dalam satu hadis bermaksud: “Dari Abi Hurairah r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat-solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar.” (Riwayat Muslim)

Solat apabila dilakukan dengan khusyuk juga mencegah orang yang melakukannya daripada kemungkaran.

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Al-Ankabut: 45)

Untuk mendapatkan solat yang khusyuk seseorang itu perlu mengelak daripada hasutan syaitan dan memberikan tumpuan penuh ketika melaksanakan ibadat berkenaan.

Memanglah, apabila solat pasti syaitan datang menggoda kita, tetapi kita jangan layan. Sebab itu, antara kebaikan bagi mendatangkan khusyuk ialah kita mengetahui maksud bacaan kita dalam solat.

Sekiranya perkara buruk masih juga berlaku, menunjukkan solat yang dilakukan individu terbabit tidak dapat mendidik dirinya kerana lazimnya mereka mengerjakan solat dengan baik malu melakukan perkara buruk.

Jika masih berlaku benda buruk yang tidak sepatutnya, individu terbabit kenalah bermuhasabah semula, cuba perbaiki lagi solat, biar ia sebati dengan diri, barulah iman meresap balik dan paling penting kena ada istiqamah.

Solat fardu tidak boleh ditinggalkan, sebaliknya wajib dikerjakan dalam apa keadaan sekalipun, sama ada berdiri dan jika tidak berkuasa dengan cara duduk, berbaring serta isyarat dan hati.

Mereka yang tidak solat, tetapi masih mempunyai kemewahan, harta berlimpah ruah, malah cakap juga besar itu dipanggil istidraj, iaitu dihulurkan juga rezeki oleh Allah tetapi sampai satu masa jika dikehendaki Allah ditarik rezekinya.

Ayat 132, surah Thaaha, bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu, dan (ingatlah!) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”

Lihat kelemahan diri dulu

Kita terlalu banyak memikirkan apa yang berada di luar kita. Ramai orang menginginkan orang lain berubah.
Malah, kadang-kadang kita berkeinginan tetapi tidak kesampaian. Kita mahu negara kita berubah. Kita mahu orang berubah, kita bercita-cita mahu ubah pekerja kita tetapi malangnya anak isteri kita tidak mampu diubah.Kenapa kita tidak mampu mengubah orang lain? Antara sebabnya kita tidak pernah memberi masa bersungguh-sungguh untuk mengubah diri sendiri.

Rahsia mengubah orang ialah dengan mengubah diri sendiri. Betapa besar pun hasrat untuk mengubah orang lain sekiranya tidak dimulakan dengan diri sendiri ia akan menjadi hampa.

Kadangkala hasrat untuk mengubah orang lain akan menjadi bahan ketawa. Orang di sekeliling kita akan menyaksikan cakap tidak serupa bikin yang kita laungkan.

Sebagai perbandingan elok juga kita fikirkan perbandingan ini. Kalau kita hendak membina rumah apalah ertinya kita memikirkan dinding, pintu dan atap sekiranya tapak tidak kita bina.

“Mulakan dengan dirimu,” kata pepatah Arab. Inilah kunci orang yang berjaya. Berani mengejek itu mudah, berani berhujah itu mudah tetapi tidak ramai orang yang berani melihat kekurangan diri sendiri.

Ramai orang berani melihat kekurangan orang tetapi jarang orang berani membincangkan kelemahan diri sendiri.

Sebenarnya mengubah diri dengan penuh sedar adalah juga mengubah orang lain. Walaupun tidak sepatah kata kita ucapkan untuk ubah orang lain, perbuatannya yang berubah itu menjadi ucapan yang sangat bererti bagi orang lain.

Memang pengaruh dari kegigihan mengubah diri tidak akan spontan dirasakan. Tetapi percayalah ia akan membekas dalam minda orang lain.

Makin lama orang akan simpati dan terdorong juga untuk turut sama berubah. Lantas bagaimana kaedah mengubah diri?

Pertama: Mulalah dengan mengubah diri sendiri. Bagaimana mungkin kita mengajak orang berubah sedangkan kita tidak berubah. Jadilah seperti 'ketam mengajar anak berjalan betul' nanti cakap tidak serupa bikin.

Kedua: Mulakan dengan melakukan perkara yang kecil. Perkara yang kecil-kecil jika dilazimi akan membantu dan memudahkan untuk melakukan yang besar-besar. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Perkara yang kecil jika sering diabaikan nanti berjangkit yang besar pun akan mudah diingkari. Banjir besar diawali dengan titik-titik hujan yang kecil.

Ketiga: Mulakan sekarang (Do it now). Jangan bertangguh lagi. Semakin bertangguh semakin melarat. Masalah yang kecil-kecil akan jadi besar jika dibiarkan.

Keempat: Paksa diri dengan sepenuh hati. Nafsu jika tidak dipaksa nanti jadi degil.

Kelima: Belajar menghukum diri sendiri. Kalangan sahabat pernah menghukum diri dengan berpuasa kerana mengumpat.

Keenam: Kena ulang dan ulang dan ulang dan ulang dan ulang kebaikan sehingga sebati dengan diri

Jaga hidayah, petunjuk Allah

Manusia memang cenderung menjaga sesuatu yang dianggap berharga. Sebaliknya kita akan membuang sesuatu yang dianggap tidak berharga. Semakin bernilai sesuatu semakin bersungguh kita menjaganya.

Sesetengah manusia sangat menjaga hartanya kerana dianggap hartanya sangat berharga. Ada pula sentiasa menjaga dan merawat mukanya supaya kelihatan awet muda kerana cantik adalah segalanya.
Ada juga bermati-matian mempertahankan kedudukan kerana itu dianggap bernilai dan kalaulah begini perilaku kita, rupanya kita masih menganggap material (kebendaan) adalah segala-galanya.

Namun, ada juga yang bermati-matian menjaga hidayah dan petunjuk yang Allah anugerahkan. Orang yang seperti ini berkeyakinan hidup ini tidak akan selamat sampai muara ketenangan di akhirat kecuali hanya dengan bekalan taufik dan hidayah Allah.

Taufik dan hidayah sangat penting di dalam diri manusia. Pernah suatu ketika seorang yang dibutakan matanya dalam permainan diminta supaya berjalan, tiba-tiba menangis.

Dia berasa langkahnya berisiko, mungkin terpelecot, bimbang terhantuk atau jatuh tangga. Begitulah akibatnya sekiranya tidak mendapat panduan.

Orang yang yang berjalan tanpa arah sentiasa berada dalam cemas, takut, bingung. Tidak sedikit orang kaya yang menderita dengan kekayaan. Bagaimana kekayaan yang melimpah semakin membuatnya sengsara.

Pendek kata orang yang jauh daripada petunjuk Allah dan al-Quran, apa pun diberikan Allah kepadanya pasti hanya akan membuatkan dirinya hina.

Harta, pangkat, kedudukan atau penampilan kalau tidak diiringi dengan ketaatan pasti akan menyiksakan.

Kemerdekaan yang kita kecapi sekarang jika tidak diiringi dengan ketaatan kepada Allah membuatkan kita mudah lalai. Negara saja merdeka tetapi jiwa tidak, malah ditawan syaitan.

Sedarlah, syaitan adalah penjajah yang tidak pernah berputus asa. Dalam satu perisytiharan, menurut hadis Rasulullah s.a.w, syaitan pernah berkata: "Demi kebesaran-Mu, aku bersumpah wahai Allah, aku tidak akan berpisah dengan anak Adam selagi nyawanya masih di badan.”

Bayangkan kesungguhan syaitan, isytihar perang dengan manusia. Kalau kita masih main-main, mudah tertipu.

Syaitan ibarat tukang joget atau penari. Dia akan menari ikut muzik. Kalau dondang sayang ada lenggoknya, kalau lagu rock pandailah dia meloncat...maknanya syaitan tahu sasarannya kalau orang alim begini caranya, kalau sesatkan pemuda lain caranya, orang kaya lain pula kaedahnya.

Kita memberikan tumpuan kepada yang nampak di mata, yang besar-besar biasanya menjadi tumpuan, yang kecil tidak berapa dipedulikan. Kita kadang kala lupa sesuatu yang tidak nampak itu sangat berharga.

Iman kecil sahaja, tidak nampak tapi sangat berharga. Jadi dalam hidup ini lihat dan utamakan pandangan Allah.

Dahului usaha sebelum bertawakal

Kefahaman adalah syarat utama dalam menuntut ilmu. Bila faham baru dapat ilmu dan apabila hendak beramal kalau tidak faham tidak menepati peraturan.

Ada ramai orang Islam silap faham mengenai tawakal. Mereka yang tidak faham ini sering menyalahkan keadaan apabila gagal atau tidak berjaya dalam satu-satu usaha.

Semua orang disalahkannya sehingga Allah pun turut dipersalahkan. Masyarakat Islam awal mencipta kecemerlangan kerana faham “tawakal” yang betul.

Tawakal maknanya ialah menjadikan Allah sebagai wakil dan berserah kepada-Nya dalam menentukan segala ketentuan. Reda adalah hasil daripada keyakinan jitu terhadap ketentuan Allah.
Tawakal diawali dengan usaha dan kemudian barulah berserah kepada Allah. Tawakal juga mengajar kita budaya berstrategi.
Kalangan Rasul walau pun mereka mendapat pertolongan Allah, mereka tidak pernah terkecuali daripada merancang dan berusaha.

Nabi Muhammad s.a.w. merancang dalam peristiwa hijrah walau pun Allah melindungi baginda, bersembunyi di Gua Thur, menggunakan khidmat dan kepakaran orang walau pun seorang yang kafir kerana beliau tahu jalan sulit ke Madinah.

Dimintanya Saidina Ali tidur di bilik tidurnya. Itu semua usaha yang akhirnya baginda bertawakal dan Allah menentukan kemenangan.

Nabi Yusuf apabila mendapat mimpi raja, baginda mula merancang berjimat dan menyimpan selama tujuh tahun dan apabila datang kemarau selama tujuh tahun akhirnya negeri baginda terselamat daripada kemarau.

Mereka tawakal dan berserah selepas berusaha serta merancang. Begitu juga dengan Zulkarnain dalam menghadapi Yakjud dan Makjud, Allah memerintahkannya membina tembok sebagai menghadapi kejahatan bangsa itu dan mereka bertawakal akhirnya mereka selamat.

Orang sakit memang mesti berserah kepada Allah tetapi sebelum bertawakal mereka sepatutnya terlebih dulu berusaha dan merawat dengan mencari ubat dan berjumpa doktor. Selepas itu berserahlah kepada Allah sebab yang menyembuh ialah Allah.

Kita sering melihat orang berjoging dan bersenam. Jika ditanya, kenapa mereka beriadah, jawapan mereka ialah supaya badan sihat. Itulah makna tawakal iaitu berusaha.

Hari ini ibu bapa sangat mengambil berat pelajaran anak, dicarinya kelas tuisyen dan dipanggilnya guru ke rumah kerana pelajaran adalah aset masa depan anak. Tanpa disedari sebenarnya ibu bapa itu sedang menterjemahkan makna tawakal.

Duduk saja tanpa berusaha adalah adalah fahaman yang dangkal. “Nak buat macam mana cikgu, anak saya memang sudah dilahirkan bodoh.”

Berteriak sana-sini “kenapa umat Islam hari ini lemah” tanpa berbuat sesuatu adalah slogan kosong seperti anjing menyalak bukit.

Satu hari seorang sahabat datang berjumpa Rasul. Apabila baginda bertanya bagaimana kamu datang, beliau menjawab, menaiki unta. Nabi tanya; di mana unta kamu, beliau menjawab saya biarkan tanpa diikat sebab saya bertawakal kepada Allah. Nabi berkata; ikat unta kamu dulu dan barulah bertawakal.

Ikat di sini maknanya berusaha dan berbuat sesuatu supaya unta tidak dapat lari. Orang yang bertawakal sebenarnya sedang beribadat. Itulah namanya ibadat hati. Yakin dengan bantuan Allah selepas bersusah adalah akhlak di kalangan nabi.

Mereka yang bertawakal tidak ego dan lupa diri selepas mendapat apa yang dihajati. Sebab segala yang diperoleh itu adalah pemberian daripada Allah.

Orang yang bertawakal tidak akan berputus asa kerana belum usaha belum tahu. Peribahasa Melayu “hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih” patut ditukar kepada “hendak seribu daya mahu seribu cara.”

Mesti perbanyakkan cara dan bukannya perbanyakkan dalih, jika kita umat Islam mahu mencapai kecemerlangan.

Selasa, 4 September 2007

Damai yang abadi.

"Kita kena sabar sebab sabar itu cantik" ujar ummi perlahan.
"Cantik macam syurga ker ummi?" adik tanya lagi. Ummi senyum.
Adik bangun pagi. Adik kesat mata. Walid yang kejut adik. Adik mengantuk sangat. Adik tarik gebar semula. Tidur balik. Walid geleng kepala bila nampak adik tidur balik. Walid tepuk belakang adik suruh adik mandi. Lepas mandi adik pakai baju baru. Ummi kata hari ini Hari Raya Aidilfitri. Semua orang pakai baju baru. Tapi adik tengok ummi pakai baju buruk, walid pun pakai baju buruk. Ummi cuma senyum bila adik mengajukan soalan itu. Ummi kata cukuplah adik seorang pakai baju baru.
Walid pimpin tangan adik pergi masjid. Kami jalan kaki melalui denai-denai kecil. Sepanjang jalan adik dengar takbir raya. Allahu Akbar Allahu Akbar, La ilaha illallah huallahu akbar, Allahu Akbarwallilla hilham..
Adik khusyuk dengar. Merdu. Adik angkat tangan ketelinga,lagak seperti bilal masjid sambil menjerit takbir raya. Walid cuma ketawa kecil melihat gelagat adik.
Di persimpangan jalan, kami bertemu Pak Cik Nassier jiran adik. Adik pandang walid. Walid ralit berbual dengan Pak Cik Nassier. Adik dengar walid berbual tentang syahid, Yassier Arafat dan lain-lain lagi. Nama negara adik pun walid sebut, Palestin. Tapi adik tidak faham. Adik cuma mendengar. Adik tiba di perkarangan masjid. Masjid itu besar,tersergam indah.Masjid kebanggaan negara adik, Masjidil Aqsa. Walid pernah beritahu adik, Masjidil Aqsa kiblat pertama sebelum Kaabah di Mekah. MasjidilAqsa juga adalah salah satu tempat suci dalam Islam. Nabi Muhammad pun mengalami peristiwa Israk dan Mikraj di masjid ini.
Adik buka kasut dan masuk ke perut masjid. Adik lihat ramai orang. Semuanya duduk dalam saf. Walid tarik adik duduk di penjuru masjid,kemudian walid solat tahiyatul masjid. Adik ikut walid solat raya. Adik berdiri betul-betul dekat dengan walid.Adik pandang walid. Bila walid angkat tahbiratul ihram adik pun angkat. Mulut walid kumat kamit membaca sesuatu. Adik pun ikut sama walaupun adik tak tahu apa yang adik baca. Walid rukuk, adik rukuk. Walid sujud, adik sujud.
Adik membilang anak tangga selepas selesai solat raya dan bersalam-salaman dengan jemaah yang lain. Walid ada di belakang adik.Suasana ketika itu tenang dan damai. Adik suka ketenangan. Adik tarik nafas, hirup dalam-dalam udara pagi.
Tiba-tiba ketenangan itu diragut.Adik nampak ramai orang bertempiaran lari. Adik juga nampak sekumpulan askar yang memegang senjata sedang mara menuju ke arah masjid. Adik dengar bunyi kuat. Bunyi tembakan. Walid dukung adik erat sambil melaungkan takbir Allahu Akbar. Adiktakut. Adik pejam mata. Kaki walid yang kuat berlari tiba-tiba terhenti. Pautan tangan walid longgar dan akhirnya terlerai. Adik rasa seperti sekujur tubuh tumbang dan menghenyak adik. Adik pandang belakang. Mata adik terbeliak. Adik nampak tubuh walid. Kepala walid berdarah. Adik menjerit nama walid. Manik-manik jernih bergentayangan dan gugur satu persatu dari kelopak mata adik. Walid pandang adik. Walid cium pipi adik. Walid suruh adik lari. Adik geleng kepala. Adik pegang tangan walid. Adik hendak duduk di sisi walid. Walid senyum pada adik. Mulut walid lemah menutur kalimah syahadah. Adik goyang tubuh walid. Walid tidak bergerak. Walid kaku. "Waliiiiiiiiiiiiiii iiiiiiiiiiiiiiii id!!!!!!! " Adik kesat air mata. Adik lari kuat-kuat. Adik lari tidak menoleh kiri dan kanan. Sampai di rumah, adik terus menangis. Ummi hairan tengok adik. Adik sebut nama walid berkali-kali. Mayat walid di hantar kerumah tidak lama selepas itu. Adik masih menangis. Adik tengok ummi cium dahi walid. Ummi peluk adik. Beberapa orang jiran cuba tenangkan ummi. Abang yang duduk di penjuru dinding juga menangis. Abang dah besar. Umur abang enam belas tahun. Abang pergi dekat walid, abang peluk dan cium walid. Selepas sembahyang adik nampak orang angkat walid keluar rumah Abang pun ikut sama. Adik tidak ikut. Adik duduk rumah dengan ummi.Adik tanya ummi, mana perginya walid. Diam. Adik tanya lagi sambil menongkat dagu menunggu jawapan daripada mulut ummi. Ummi pandang adik, ummi kata walid pergi ke satu tempat yang sangat cantik. Walid pergi tidak akan kembali lagi. Adik cuma mengangguk."Adik nak ikut walid".
Ummi geleng kepala dan peluk adik. Adik lap airmata di pipi ummi. Adik senyum. Petang itu ramai kawan abang datang. Abang ajak mereka ke belakang rumah. Adik berlari-lari anak ikut abang ke belakang. Abang tekun membuat sesuatu. Sesuatu yang menyerupai senapang. Adik cuma duduk diam dan tengok.Kawan-kawan abang pun khusyuk membuat kerja. Adik menguap berkali-kali. Boring duduk diam tanpa melakukan sebarang kerja. Tidak keletah adik dibuatnya.
Mata adik melilau-lilau mencari barang mainan.Adik nampak benda bulat seperti bola. Adik pergi dekat cuba mencapai benda itu. Adik pegang dan belek. Sedang adik seronok bermain, abang rampas 'bola' adik. Adik masam. Adik tarik muncung empat belas. Adik marah pada abang. Abang tersenyum melihat tingkah laku adik. Dengan lembut abang mencubit pipi montel adik. Abang beritahu adik yang benda itu bom tangan bukannya bola seperti yang disangka adik. Adik diam, kemudian berlari mendapatkan ummi. Merajuk. Adik bangun awal pagi itu. Tidak seperti hari-hari lain, walid tidak ada untuk kejut adik. Apabila teringat walid,mata adik berkaca. Adik tidak mahu menangis. Adik orang lelaki. Orang lelaki tidak boleh menangis, orang lelaki kena kuat dan tabah. Adik nampak abang sedang bersiap-siap. Abang galas beg besar. Semua benda yang abang buat semalam abang bawa. Benda bulat seperti bola pun abang bawa. Kawan-kawan abang semuanya sedang menungu di depan rumah. Abang cium tangan ummi, minta izin untuk pergi. Ummi peluk abang, cium abang berkali-kali. Adik cuma memandang dengan mata terkebil-kebil. Adik garu kepala yang tidak gatal. Abang datang dekat adik. Abang dukung adik,usap kepala adik. "Adik jaga ummi ya" pesan abang. "Abang nak pergi mana" tanya adik seperti orang bodoh. "Abang nak pergi berjuang". Abang mengukir senyuman mengakhiri bicara. Kelibat abang hilang ditelan kabus pagi. Hanya lambaian tangan adik mengiringi pemergian abang.
Lepas abang pergi ummi cerita macam-macam perkara pada adik. Pasal Israel, pasal syurga, pasal jihad dan banyaklagi. Semuanya adik tidak faham. "Isra..Israfil. " terkial-kial adik menyebutperkataan itu dalam pelat yang pekat. "Bukan Israfil. Israfilkan namamalaikat. Malaikat yang tiup sangka kala. Israel." Ummi membetulkansebutan adik. "Is.ra.el" akhirnya adik berjaya menyebutnya juga. Ummi ketawa kecil. Adik ikut ketawa menampakkan sebaris gigi adik yang ronggak. Ummi kata Israel jahat. Israel musuh umat Islam. Israel juga musuh Allah. Israelyang mencetuskan peperangan di bumi Palestin. Israel yang bunuh walid.Adik benci Israel. Adik benci sesiapa yang menjadi musuh Allah. Adik lari keluar rumah. Adik pergi ke jalan besar. Ramai kanak-kanak sebaya adik di situ. Mereka semua baling batu kepada sekumpulan tentera yang bersenjata di seberang jalan. Adik ingat lagi, tentera itulah yang bunuh walid. Merekalah Israel. Adik marah. Adik geram.Adik capai batu, adik baling kuat-kuat. Adik pejam mata. Terbayang dikepala adik peristiwa yang menimpa walid. Adik sertai kawan-kawan adik yang lain; membaling batu. Kadang-kadang kami lari apabila tentera itu menyerang balas. Ada juga kawan-kawan adik kena tembak. Tumbang satu persatu. Adik nampak baju mereka merah berlumuran darah. Adik lari menyorok di sebalik bangunan usang untuk menyelamatkan diri. Adik lari bersama seorang kawan adik.Namanya Jamal. Dia juga sama dengan adik. Walidnya juga pergi ke suatu tempat yang sangat cantik dan tidak akan kembali lagi.
Apabila keadaan semakin reda, adik pulang ke rumah. Adikberjanji dengan Jamal untuk melontarkan batu lagi pada keesokkan harinya. Sesampai di rumah adik berasa sangat lapar. Adik cari roti di dapur.Adik buka almari, adik cari dalam almari tapi tidak jumpa. Perut adikmula berbunyi minta diisi. Adik sudah makan roti petang tadi tapi adik masih berasa lapar lagi. Adik nampak ummi pegang roti. Itu sajalah satu-satunya roti yang tinggal di rumah kami. Ummi tidak makan apa-apa lagi sejak pagi tadi. Adik pergi dekat ummi. Ummi yang baru menyuapkan roti ke mulutnya tersentak. Ummi keluarkan semula roti dari mulutnya dan suapkan kemulut adik. Adik kunyah dengan gelojoh.
"Ummi, kenapa kita hidup susah?" adik tanya pada ummi dengan mulutdipenuhi roti. Ummi pangku adik di ribanya. Ummi mengelus lembutrambut adik.
"Kita kena sabar sebab sabar itu cantik" ujar ummi perlahan. "Cantik macam syurga ke ummi?" adik tanya lagi. Ummi senyum. "Nabi Muhammad pun hidup susah juga. Baginda dilontar batu ketika menyebarkan dakwah di Taif. Malahan kaum Quraisy ramai yang ingin bunuh nabi. Nabi sabar, nabi tak cepat putus asa" sambung ummi lagi. Adik dengar dengan khusyuk. Adik nak jadi baik macam Nabi Muhammad.Nama adik pun Muhammad. Walid yang cadangkan nama itu. Walid hendak adik tabah dan cekal macam Nabi Muhammad. Malam itu adik duduk bersila depan ummi sambil tangan memegangAl-Quran. Adik ikat serban sendiri. Adik lilit serban ikut suka hati adik. Sekejap adik lilit ke kiri, sekejap ke kanan. Kadang-kadangserban itu tutup mata adik. Adik kuak sedikit kain serban ke atas ketika hendak membaca Al-Quran.
"Bismillahirrahmani rrahim.." Adik baca Al-Quran dengan bersungguh-sungguh. Adik baca kitab Allah itu dengan tekun. Ummi duduk depan adik sambil memerhati bacaan adik.Adik hendak jadi macam abang. Umur enam tahun sudah khatam Al-Quran.Adik baru umur tiga tahun. Adik kena baca Quran dengan rajin kalau hendak khatam Al-Quran cepat macam abang. Adik ingat pesanan ummi.Ummi kata Al-Quranlah satu-satunya harta yang paling berharga. Adik ingin baca Al-Quran hari-hari. Adik tidak mahu ponteng baca Al-Quran. Bacaan adik terhenti apabila pintu diketuk dan nama ummi dilaung-laungkan dari luar.
"Syukur ya Huda, anakmu Yassin mati syahid"muncul Mak Cik Fatima didepan rumah.
"Anakmu, anakmu adalah salah seorang pengebom berani mati ya Huda. Tindakannya menyebabkan tujuh orang askar Israel laknatullah terbunuh.Yassin dan tiga orang lagi pejuang Hizbullah mati syahid. Semogasyurga menanti mereka kelak" terang Mak Cik Fatima panjang lebar.
Ummi panjatkan doa pada Allah semoga roh abang ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman. Adik kaget. Nama Israfil.bukan..Israel disebut lagi. Adik benci mendengar nama itu. Kemarahan adik meluap-luap. Ummi beritahu adik abang telah pergi ikut walid. Ummi kata ummi bangga mempunyai anak seperti abang. Adik masuk tidur awal. Adik mimpi satu tempat yang sangat cantik. Adik nampak walid dan abang di sana. Walid dan abang senyum pada adik. Adik cuba kejar mereka tapi semakin adik kejar semakin mereka menghilang.
Keesokkan harinya, adik tunggu Jamal di tepi jalan seperti yangdijanjikan. Lima minit berlalu Jamal tidak muncul-muncul juga. Hampirsetengah jam adik tunggu tapi Jamal tetap tidak muncul. Adik tidak suka orang yang mungkir pada janji.
Adik ingat lagi, salah satu ciri org munafik ialah mungkir apabila berjanji. Adik tidak mahu jadi munafik. Adik tanya kawan-kawan adik yang lain.Rupa-rupanya Jamal juga seperti walid dan abang. Jamal pergi ke satu tempat yang cantik. Tempat yang adik tidak tahu di mana letaknya. Semua orang yang adik sayang pergi ke tempat itu. Mula-mulawalid,kemudian abang dan akhirnya Jamal.
Adik pulang ke rumah awal.Adik terkejut. Terkesima sebentar. Rumah adik dikepung askar Israel.Mereka memang sedang mencari keluarga adik ekoran tindakan berani mati abang mengebom kubu Israel. Tubuh adik yang kecil memudahkan adik menyusup masuk ke dalam rumah.Adik nampak ummi terpelosok di satu sudut. Adik lihat dengan mata adik sendiri, tentera itu tendang ummi. Mereka sepak dan terajang ummi.Tapi ummi masih bersabar. Ummi tidak putus-putus menyebut satu kalimah keramat… Ahad... Ahad. Mata adik merah. Adik menahan marah. Adik tidak suka orang pukul ummi. Adik sayang ummi. Adik benci Israel. Seorang tentera Israel mengacukan pistol kearah ummi. Ummi dengan tenang menghadapinya. Tiada pun segaris garisan gusar terpancar di wajah ummi. Ketika peluru dilepaskan, tiba-tiba... .. "Muhammad!!! !!!!" Ummi menjerit sambil memegang tubuh adik. Badan adik berlumuran darah. Pekat dan merah. Adik raba perut adik. Adik rasa sakit. Sakit yang mencucuk-cucuk. Seketika tadi adik telah korbankan tubuhnya untuk melindungi ummi. Natijahnya peluru itu merobek perut adik yang tidak berdosa. Ummi peluk adik. Ummi menangis semahu-mahunya. Adik cuba senyum pada ummi walaupun perit.
"Ummi. adik rasa mengantuk, adik nak tidur. Adik nak jadi mujahid,adik nak ikut walid dan abang" terketar-ketar suara adik kedengaran dicuping telinga ummi.
Ummi angguk, berusaha sedaya upaya untuk menahan air mata daripada jatuh bercucuran. Adik pejam mata. Adik nampak walid, abang dan Jamal melambai-lambai ke arah adik....

ShoutMix chat widget