Ahad, 29 April 2007

Lima tanda sakit jantung

PEMERGIAN pelakon dan pengacara terkenal, Hani Mohsin Hanafi, 41, akibat serangan jantung memberi kejutan dan seharusnya dijadikan iktibar kepada kita semua, khususnya yang mempunyai sejarah keluarga menghidap sakit jantung.

Ramai terkejut kerana beliau meninggal dunia pada usia muda. Malah, rakan artis yang rapat dengannya juga tidak tahu arwah ada masalah jantung. Sebenarnya inilah perkara biasa berlaku kepada mangsa serangan jantung lain.

Walaupun ramai beranggapan sakit jantung tiada simptom, tetapi ada lima tanda yang perlu diperhatikan:

-Kelesuan (F).

-Aktiviti menjadi terhad (A).

-Dada terasa sesak (C).

-Buku lali bengkak atau edema (E).

-Sesak nafas (S).


FACES adalah cara mudah untuk mengenali tahap kesihatan diri. Walaupun ia bukan penunjuk tepat kepada masalah jantung, tetapi jika semua ciri umum ini ada pada kita, bermakna kita perlu bimbang terhadap tahap kesihatan diri.

Semua 5 tanda mudah dikesan. Yang diperlukan hanya kepekaan terhadap perubahan diri kerana penjagaan kesihatan adalah tanggungjawab kita. Jika ada beberapa tanda, segera menjalani pemeriksaan kerana walaupun bukan disebabkan masalah jantung, ia mungkin menjadi petanda kepada penyakit lain.

Penyakit jantung tidak berlaku secara tiba-tiba. Ia mengambil masa bertahun-tahun untuk terbentuk secara tidak disedari. Sakit jantung adalah satu penyakit yang mempunyai spektrum luas kerana ia berkait dengan masalah lain seperti tekanan darah tinggi, aterotrombosis dan kegagalan jantung.

Namun, paling penting ialah mengawal tekanan darah kerana tekanan tinggi menandakan jantung terpaksa bekerja lebih kuat untuk mengepam darah ke seluruh badan. Apabila jantung dipaksa bekerja lebih kuat daripada sepatutnya, ia menjadi besar dan kurang cekap, akhirnya menyebabkan kegagalan jantung.

Mengikut fakta, penyakit jantung atau kardiovaskular adalah pembunuh utama penduduk di negara ini dan jumlah pesakit tidak pernah berkurang sejak dua dekad lalu.

Berdasarkan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2004, sembilan peratus daripada kemasukan pesakit ke semua hospital adalah disebabkan masalah kegagalan jantung dan edaran darah.

Apabila disebut mengenai sakit jantung, rasanya semua orang tahu. Namun,masih ramai tidak memberi perhatian kepada penyakit ini, termasuk faktor risiko. Malah, masih ramai juga tidak tahu mengenai atherotrombosis yang menyebabkan 28 peratus kematian — jauh lebih tinggi berbanding kanser dan penyakit berjangkit lain.

Masalah tersembunyi Aterotrombosis berlaku apabila darah membeku di atas plak (lapisan lemak di dinding salur darah) pecah. Darah beku ini akan membuat lapisan di atas plak tadi. Pembentukan darah beku secara berterusan boleh menghalang aliran darah. Apabila aliran darah tersekat, ia menyebabkan serangan jantung (jika berlaku pada salur darah ke jantung) atau strok (jika saluran darah ke otak terhalang).

Dr Haizal berkata, faktor ini menjadi masalah asas kepada strok iskemia (aliran darah yang tidak mencukupi ke otak), serangan jantung, serangan iskemia, sindrom koronari akut dan kerosakan pembuluh darah.

Ini sebabnya setiap orang perlu mengamalkan gaya hidup sihat dan mengelak semua faktor risiko yang boleh menyebabkan penyakit jantung. Hanya ada empat faktor risiko yang tidak boleh diubah iaitu jantina (lelaki), peningkatan umur, bangsa dan sejarah keluarga mendapat sakit jantung.

Manakala faktor risiko seperti senarai di bawah boleh diubah dan dikawal iaitu:

-Kencing manis.
-Paras kolesterol tinggi.
-Tekanan darah tinggi.
-Kurang aktiviti fizikal dan bersenam.
-Masalah berat badan berlebihan dan obesiti.
-Pemakanan tidak seimbang.
-Merokok.

Gejala seperti hidung sering berdarah dan sakit kepala adalah petanda tekanan darah terlalu tinggi. Bagaimanapun, jika tekanan tidak terlalu tinggi (tetapi melebihi tahap normal iaitu kurang 140/85 mmHg) ia tidak mempunyai gejala.

Ini sebabnya ramai tidak sedar mereka sebenarnya menghidap tekanan darah tinggi. Jika tidak dikawal ia boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang, mata dan otak. Penurunan sebanyak dua mmHg membawa banyak manfaat kepada pesakit kerana ia dapat mengurangkan tujuh peratus kematian.

Kira-kira 24 peratus rakyat Malaysia berusia 30 tahun ke atas mengalami masalah tekanan darah tinggi, tetapi hanya 18 peratus mendapatkan rawatan dan mengawal tekanan darah mereka. Manakala 13 peratus mengambil ubat tetapi tekanan darah tidak terkawal dan 53 peratus lagi tidak tahu mereka ada masalah ini.

Cara mudah untuk mengawal tekanan darah ialah menjaga pemakanan dengan mengurangkan pengambilan garam (hanya satu camca teh sehari) dan bersenam.

Bagaimanapun, bukan mudah untuk menjaga pemakanan di negara yang mewah dengan sajian enak ini, tetapi semuanya perlu dilakukan demi kesejahteraan diri.

Elak minum ketika makan

PERUT adalah pusat kebanyakan penyakit. Pakar perubatan sependapat mengatakan ubat yang paling mujarab untuk menjaga kesihatan adalah dengan mengawal makan. Malah Nabi Muhammad sendiri pernah bersabda yang bermaksud, “Setiap penyakit disebabkan oleh banyak makanan dan setiap ubat disebabkan oleh sedikit makan.”

Sememangnya terlalu banyak makan boleh mendatangkan pelbagai masalah seperti sakit perut, kembung, sembelit, rasa mual, muntah atau cirit birit. Kesemuanya ini berpunca daripada makan dan tabiat makan kita. Sindrom Usus Rengsa ini menandakan berlaku ketidakseimbangan organisasi dalam usus kita.

Ada 10 simptom yang perlu diingat kerana ia menandakan kita mengalami masalah pencernaan (aktiviti enzim) iaitu:

-Banyak angin (lebih kerap kentut daripada biasa)
-Kembung
-Cepat penat
-Mudah berparut
-Keradangan kulit
-Berat badan bertambah dengan cepat
-Sering sendawa
-Pedih ulu hati
-Makanan tidak hadam
-Keradangan lain


Antara cara yang boleh diamalkan untuk menggalakkan kesihatan saluran pencernaan kita ialah:

Jangan makan terlalu banyak. Walaupun sudah jadi budaya kita untuk makan setiap kali keluar atau berjumpa kawan, kawallah makanan yang masuk ke dalam perut.

Kunyah makanan hingga betul-betul lumat. Kunyah makanan perlahan-lahan (sekurang-kurangnya 30 kali, dan ada hadis yang menyarankan 44 kali kunyah) sebelum makanan ditelan. Ada rahsia di sebalik saranan ini kerana makanan yang dikunyah hancur mengandungi lebih banyak enzim dari air liur dan ia sebenarnya memudahkan proses pencernaan.

Minum sebelum atau selepas makan. Elakkan minum ketika makan kerana ia akan mencairkan enzim pencernaan dalam perut. Proses pencernaan akan berlaku lebih sempurna dalam keadaan perut yang berasid. Jika terpaksa, minumlah dalam tegukan yang kecil tetapi elakkan minuman berkarbonat, soda atau minuman berais kerana menghalang pencernaan. Sebaiknya minum 10 minit sebelum makan atau sekurang-kurangnya sejam selepas makan.

Amalkan jadual ke tandas yang tetap setiap hari. Ia secara tidak langsung memberi laluan kepada badan menyingkirkan bahan toksin secara berkala dan memperbaiki persekitaran usus.

Makan lebih banyak sayur-sayuran mentah (termasuk ulam dan salad) serta buah-buahan kerana ia mengandungi banyak bahan yang boleh melancarkan proses pencernaan.

Minum air secukupnya. Air menjadi bahan pengantara yang terbaik dalam badan. Badan yang tidak cukup air secara automatik akan merangsang fungsi enzim dan mengganggu proses penghadaman. Malah anda lebih sukar ke tandas jika tidak cukup air, walaupun banyak makan sayur-sayuran atau buah-buahan.

Bersenam selalu. Senaman boleh merangsang badan mencapai fungsi sebenar dan menggalakkan proses pencernaan.

Elakkan diri daripada tekanan. Tekanan akan merangsang enzim untuk menjalankan semua fungsi metabolik dan jika ia berterusan, boleh mendatangkan masalah kepada badan.

Makan produk tenusu kultur (contohnya dadih dan keju) atau probiotik kultur tempatan.

Gigi cermin kesihatan

RASULULLAH SAW meninggalkan wasiat kepada menantu baginda, Saidina Ali bin Abu Talib yang bermaksud, “Wahai Ali, sentiasalah engkau bersugi dan mencungkil gigi. Bahawasanya bersugi itu menyucikan mulut, mencerahkan mata dan diredai Allah.

“Mencungkil gigi itu dikasihi malaikat kerana malaikat tidak senang dengan bau mulut kerana sisa-sisa makanan pada celah gigi tidak dicungkil selepas makan.”

Pesanan di atas jelas menyatakan, Islam mementingkan kebersihan mulut dan penjagaan gigi, malangnya masih ramai yang kurang menitikberatkan soal ini.

Kajian mendapati, sembilan daripada 10 rakyat negara ini mengalami masalah gigi berlubang — menandakan tahap kesedaran masyarakat terhadap penjagaan gigi masih rendah.

Kaji selidik yang dijalankan di seluruh Asia pada 2006 menunjukkan, penggunaan berus dan ubat gigi serta cecair kumur di Malaysia jauh lebih rendah berbanding negara Asia lain, termasuk Thailand dan Filipina.

Didapati 33 peratus rakyat negara ini hanya menukar berus gigi mereka tujuh bulan sekali. Kajian itu juga mendapati, secara purata setiap orang hanya menggunakan 265 gram ubat gigi setahun yang bersamaan memberus gigi dua hari sekali.

Soal selidik ke atas orang dewasa pada 2000 mendapati, hanya 25.5 peratus individu berumur 15 tahun ke atas menjalani pemeriksaan gigi dan 46.4 peratus pula berjumpa doktor gigi dalam tempoh dua tahun sebelum kajian itu.

Lebih enam peratus masyarakat kita pula tidak pernah menjalani pemeriksaan atau rawatan gigi langsung.

Namun, senario ini berbeza di kalangan generasi muda. Kajian ke atas 2.9 juta kanak-kanak sekolah rendah dan 1.3 juta pelajar sekolah menengah pada 2005 menunjukkan 38.6 peratus kanak-kanak berumur enam tahun, 57.5 peratus (kanak-kanak 12 tahun) dan 45.6 peratus remaja berusia 16 tahun bebas daripada masalah pereputan gigi.

Kebanyakan orang hanya berjumpa doktor gigi apabila mengalami masalah kesihatan gigi dan biasanya ketika itu kerosakan sudah teruk.

Antara halangan paling besar ialah rasa takut berjumpa doktor gigi. Ramai takut sakit ketika pemeriksaan atau rawatan gigi. Mungkin ramai belum sedar kesihatan gigi sebenarnya memberi kesan terhadap kesihatan badan secara keseluruhan.

Masalah kaviti atau pereputan gigi lebih kerap berlaku pada kanak-kanak, tetapi ia juga boleh dialami orang dewasa. Jika tidak dirawat, kaviti boleh memusnahkan gigi dan membunuh urat saraf di dalam gigi.

Bakteria dalam mulut boleh menjangkiti hujung akar gigi yang menyebabkan gusi bengkak dan bernanah. Perkara ini bukan hanya mengakibatkan sakit gigi dan kesukaran untuk makan, tetapi turut menimbulkan masalah mulut berbau yang boleh menjejaskan keyakinan bersosial.

Kesihatan gigi ditentukan oleh gaya hidup, tabiat pemakanan dan cara seseorang individu itu menjaga giginya.

Secara amnya, setiap orang memerlukan empat alat asas untuk mendapatkan kesihatan gigi yang baik iatu berus gigi, ubat gigi, flos dan cecair kumu

Memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dengan ubat gigi berflourida (lebih baik jika dapat membersihkan gigi setiap kali selepas makan) untuk mengelakkan sisa makanan terlekat di celah gigi dan membentuk plak, perlu dijadikan amalan.

Pada masa sama, pengambilan makanan manis dan minuman beralkohol perlu dikurangkan. Jika dapat berhenti merokok, lebih baik kerana rokok bukan saja tidak baik untuk kesihatan, bahkan ia juga menyebabkan gigi menjadi kuning dan berkarat akibat pengumpulan tar pada permukaan gigi.

Sebenarnya, flourida bukan hanya ada pada ubat gigi, tetapi ia juga wujud dalam air yang kita gunakan setiap hari. Namun, penggunaan alat penapis air yang semakin popular sekarang menyebabkan ramai tidak mendapat manfaat bahan berguna ini. Ia juga dilihat sebagai satu faktor yang menyebabkan peningkatan masalah kaviti di kalangan masyarakat kita.

Masalah gigi tidak hanya membabitkan mulut, tetapi ia turut mempengaruhi kesihatan badan secara menyeluruh. Banyak kajian mendapati kebanyakan individu yang mengalami serangan jantung turut menghadapi masalah kerosakan gigi.

Malah, bagi wanita hamil, kerosakan gigi yang tidak dirawat boleh meningkatkan risiko keguguran. Ini sebabnya setiap wanita hamil kini perlu menjalani pemeriksaan gigi pada awal kehamilan dan mendapatkan rawatan segera jika ada masalah.

Adab membaca al-Quran

WAJIB bagi kita menghalalkan apa yang dihalalkan al-Quran dan mengharamkan apa yang diharamkannya. Diwajibkan pula beradab dengannya dan berakhlak terhadapnya.

Ketika membaca al-Quran, seorang Muslim perlu memperhatikan adab berikut untuk mendapatkan kesempurnaan pahala dalam membacanya.

- Membacanya dalam keadaan sempurna, suci daripada najis dan dengan duduk yang sopan dan tenang. Dianjurkan agar pembaca berada dalam keadaan suci.
Imam Haromain berkata: "Orang yang membaca al-Quran dalam keadaan najis, dia tidak dikatakan mengerjakan hal yang makruh akan tetapi dia meninggalkan sesuatu utama".

- Membacanya dengan perlahan (tartil) dan tidak cepat agar dapat menghayati ayat yang dibaca.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Siapa saja yang membaca al-Quran (khatam) kurang dari tiga hari, bererti dia tidak memahami.” (Hadis Riwayat: Ahmad dan penyusun Kitab Sunan)

Sebahagian kelompok daripada generasi pertama membenci pengkhataman al-Quran sehari semalam berdasarkan hadis di atas. Rasulullah memerintahkan Abdullah Ibnu Umar untuk mengkhatamkan al-Quran setiap satu minggu (tujuh hari) (Muttafaq Alaih). Ini dilakukan Abdullah bin Mas’ud, Uthman bin Affan, Zaid bin Tsabit. Mereka mengkhatamkan al-Quran sekali dalam seminggu.

- Membaca al-Quran secara khusyuk dengan menangis kerana sentuhan pengaruh ayat yang dibaca yang menyentuh jiwa dan perasaan.
Dalam hal ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran dan menangislah, apabila kamu tidak menangis maka usahakan menangis kerana ayat yang engkau baca.” (Hadis Riwayat: Al-Bazzar)

Allah s.w.t juga menjelaskan sebahagian daripada sifat hamba-Nya yang soleh dengan firman-Nya yang bermaksud: “Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk.” (Surah Al-Isra’: Ayat 109)

- Membaguskan suara membacanya, sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: “Hiasilah al-Quran dengan suaramu.” (Hadis Riwayat: Ahmad, Ibnu Majah & Al-Hakim). Dalam hadis lain dijelaskan: “Tidak termasuk umatku orang yang tidak melagukan al-Quran.” (Hadis Riwayat: Al-Bukhari dan Muslim)

Maksud hadis di atas ialah membaca al-Quran dengan susunan bacaan yang jelas dan terang makhroj hurufnya, panjang pendeknya bacaan, tidak sampai keluar daripada ketentuan kaedah Tajwid.

- Membaca al-Quran dimulai dengan isti’adzah. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan bila kamu akan membaca al-Quran, maka mintalah perlindungan kepada Allah daripada (godaan-godaan) syaitan yang terkutuk.” (Surah An-Nahl: Ayat 98)

- Apabila ayat yang dibaca dimulai dari awal surah, selepas isti’adzah terus membaca Basmalah dan apabila tidak di awal surah cukup membaca isti’adzah. Khusus untuk surat At-Taubah, walaupun dibaca mulai awal surat tidak perlu membaca Basmalah. Cukup dengan membaca isti’adzah saja.

- Membaca al-Quran dengan berusaha mengetahui ertinya dan memahami inti daripada ayat yang dibaca dengan beberapa kandungan ilmu yang ada di dalamnya. Firman Allah bermaksud: “Maka apakah mereka tidak memperhatikan al-Quran, ataukah hati mereka terkunci?” (Surah Muhammad: Ayat 24)

- Membaca al-Quran dengan tidak mengganggu orang sedang solat, dan tidak perlu membacanya dengan suara yang terlalu keras atau di tempat yang banyak orang. Bacalah dengan suara atau dalam hati secara khusyuk. Rasulullah bersabda bermaksud: “Orang yang terang-terangan (di tempat orang banyak) membaca al-Quran, sama dengan orang yang terang-terangan dalam sedekah.” (Hadis Riwayat Tirmidzi, Nasa’i, dan Ahmad)

Dalam hadis lain dijelaskan: “Ingatlah bahawa setiap hari dari kamu munajat kepada Rabbnya, maka janganlah salah satu daripada kamu mengganggu yang lain, dan salah satu daripada kamu tidak boleh mengangkat suara atas yang lain di dalam membaca (al-Qur'an).” (Hadis Riwayat: Abu Dawud, Nasa'i, Baihaqi dan Hakim)

Jangan jadikan ibadah yang kita lakukan sia-sia kerana kita tidak mengendahkan sunnah Rasulullah dalam melaksanakan ibadah membaca al-Quran.

Misalnya, membaca dengan suara keras pada larut malam, yang akhirnya mengganggu orang yang istirahat dan solat malam.

- Dengarlah bacaan al-Quran. Jika ada yang membaca al-Quran, maka dengarlah bacaannya itu dengan tenang. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan tatkala dibacakan al-Quran, maka dengarlah dan diamlah, semoga kamu diberi rahmat.” (Surah Al-A’raaf: Ayat 204)

- Membaca dengan saling bergantian. Membaca al-Quran, boleh dilakukan secara bergantian dan yang mendengarnya haruslah dengan khusyuk dan tenang. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidaklah berkumpul suatu kaum di dalam rumah Allah, mereka membaca al-Quran dan saling mempelajarinya kecuali akan turun atas mereka ketenangan dan mereka diliputi oleh rahmat (Allah), malaikat menyertai mereka, dan Allah membanggakan mereka di kalangan (malaikat) yang ada di sisi-Nya.” (Hadis Riwayat: Abu Dawud)

- Melakukan sujud Tilawah (sujud Sajdah) pada saat selesai membaca ayat Sajdah, pada bila-bila masa saja, baik siang ataupun malam, jika pembacanya belum batal daripada wuduk. Tatacara pelaksanaannya dimulai daripada takbir, lalu sujud, kemudian membaca “Subhaana Rabbiyal A’laa”' (Maha Suci Rabb-ku Yang Maha Tinggi), lalu dilanjutkan dengan doa sujud Tilawah. Selepas itu bangkit daripada sujud tanpa takbir dan salam, kerana tidak ada riwayat daripada Nabi s.a.w mengenai hal itu, kecuali jika sujud Tilawah itu dilakukan di tengah-tengah pelaksanaan solat, maka ia bertakbir ketika sujud dan bangkit daripada sujud.

- Berdoa selepas membaca al-Quran. Dalam sebuah riwayat dijelaskan, bahawa sahabat apabila khatam membaca al-Quran, mereka berkumpul untuk berdoa dan mengucapkan: “Semoga rahmat turun atas selesainya membaca al-Quran.”

Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a dijelaskan bahawa apabila dia sudah khatam membaca Al-Quran, dia mengumpulkan keluarganya dan berdoa. (Hadis Riwayat: Abu Dawud)

Setiap orang Islam wajib mengatur hidupnya sesuai dengan tuntutan al-Quran. Ia harus dipelihara kesucian dan kemuliaannya, serta dipelajari dan difahami ayat-ayatnya.

Pelaksanaan ini adalah sebagai tanda kita beriman kepada al-Quran.

Selasa, 24 April 2007

Rahsia ketengangan jiwa

DALAM menjalani kehidupan penuh cabaran dan tekanan, tidak dinafikan bahawa aspek kesihatan memainkan peranan penting bagi memastikan seseorang itu tabah dalam meneruskan kehidupan penuh ranjau dan pancaroba ini.

Kesihatan fizikal sememangnya diperlukan bagi menjamin kelangsungan hidup tetapi selain fizikal, aspek lebih penting bagi manusia melepasi satu persatu dugaan mendatang ialah ketahanan mental.

Kete­nangan jiwa dan kemantapan mental menyebabkan manusia mampu mengatasi segala cabaran malah mampu untuk meneruskan hidup secara positif.

Cara untuk tenangkan hati dan memantapkan minda sudah diajar Allah dalam al-Quran dan terbukti sangat berkesan; tonik paling berkesan itu ialah berzikir. Allah s.w.t berfirman:

“Ingatlah, dengan berzikir (mengingati Allah) jiwa kamu akan tenang".
(Surah Ar-Ra’ad, ayat 28)


Demikianlah indahnya Islam, agama yang tidak hanya tertumpu kepada ibadat kerohanian semata-mata malah menyeluruh (syumul) dalam semua aspek kehidupan. Malah, tips atau petua menjaga kesihatan juga turut disertakan dalam ajaran Islam.

Ingat Allah hati akan tenang, jarang ingat Allah hati akan kering, gersang serta tandus. Apabila banyak mengingati Allah, akan bertambah iman sehingga hati makin kuat, tidak takut ancaman, tidak gentar dengan musibah dan kekurangan, tidak cemburu dengan kelebihan orang lain serta memiliki sikap positif, mengikut segala suruhan-Nya dan meninggalkan larangan Allah.

Petua dan tip kesihatan yang banyak terdapat dalam al-Quran, hadis, sunnah dan kisah sahabat merupakan yang terbaik untuk diamalkan dalam menjalani kehidupan.

Berzikir dapat menguatkan diri kita. Zikir tasbih (subhanallah), tahmid (alhamdulillah) dan takbir (allahhuakbar); masing-masing 33 kali setiap kali, pada setiap hari.

Diceritakan satu kisah di mana puteri Rasulullah SAW, Fatimah berjumpa baginda dan memberitahu, yang dia memerlukan pembantu rumah. Lantas Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Mahukah aku berikan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kalian minta?” dan ba­ginda memberikan petua bacaan tasbih, tahmid dan takbir.

Kalimah ini sebenarnya menguatkan jasad kita.

Konsep berzikir bukan hanya menyebut nama Allah tetapi meliputi amal ibadat lain seperti bersolat, membaca al-Quran, melakukan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya, berbakti dan berkhidmat, mematuhi dan menyantuni, menerima ketentuan dengan reda malah berzikir yang ampuh harus diiringi sabar dan syukur.

Kepentingan amalan kerohanian dalam menjamin kehidupan yang damai dan tenang sememangnya terbukti berkesan dan menjadi amalan wajib ulama muktabar. Imam Nawawi RA misalnya sentiasa mengamalkan zikir dari waktu subuh sehingga duha dan apabila ada pihak bertanya, beliau mengatakan bahawa zikir itu adalah makanan kerohaniannya.

Kesihatan fizikal adalah amat penting, kerana Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Orang mukmin yang kuat (jasmani dan rohaninya) lebih disukai Allah daripada orang mukmin yang lemah.”

Seperti juga petua menjaga kerohanian, Islam turut memberikan tip memantapkan kesihatan fizikal terutama menerusi sunnah Rasulullah seperti ketika berhadapan dengan makanan yang wajar sekali diteladani manusia.

Rasulullah SAW sebagai contoh, baginda makan tidak banyak dan mengamalkan makan apabila benar-benar lapar tetapi berhenti sebelum kenyang. Jika hendak diikutkan logik, pasti tubuh Rasulullah kecil tetapi tubuh baginda besar dan tegap. Ulama mengatakan antara faktornya adalah makanan zikir yang diamalkan Rasulullah menyebabkan tubuh baginda menjadi kuat.

FAKTA
Tip kesihatan cara Rasulullah

Beribadat malam, selalu bangun sebelum subuh: kesegaran udara awal pagi bagus untuk kesihatan malah menjadi terapi penyakit Tibi. Ia turut memperkuatkan minda dan perasaan.

Rasulullah selalu sentiasa rapi dan bersih, setiap Khamis atau Jumaat, baginda mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, menyikat rambut dan berminyak wangi.

Makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang: makanan berlebihan menjadi punca kepada pelbagai penyakit dan melemahkan badan.

Gemar berjalan kaki: Baginda selalu berjalan ke masjid, pasar, medan jihad atau mengunjungi rumah sahabat. Dengan berjalan kaki, keringat akan mengalir, pori-pori tubuh terbuka dan peredaran darah lancar. Ia mampu mencegah penyakit termasuk jantung.

Tidak marah: Dalam sebuah hadis, seseorang berjumpa Rasulullah dan meminta apa-apa nasihat daripada baginda. Baginda berkata ‘jangan marah’, dan apabila diminta lagi nasihat seterusnya, baginda hanya mengulangi ‘jangan marah’. Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan manusia bukanlah terletak pada jasad fizikal semata-mata tapi juga kesihatan jiwa dan mental.

Baginda adalah seorang yang paling sabar, optimis dan gigih: sikap ini akan memberikan impak positif terhadap psikologi manusia.

Antara makanan kegemaran Rasulullah adalah madu: madu terbukti memiliki pelbagai khasiat untuk kesihatan.

Oleh : Utz Mohd Zazawi Yusoh - Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA)

Air buang lemak

Elemen penting untuk membantu meningkatkan metabolisme badan

PERNAHKAH anda kecewa dan hampir putus asa apabila usaha mengurangkan makan dan kesanggupan berlapar masih tidak berjaya menggerakkan jarum alat penimbang seperti diharapkan?

Sebenarnya ramai orang di dunia ini berkongsi pengalaman sama dengan anda. Ini antara cabaran yang dilalui semua orang.

Bezanya, ada orang mempunyai keazaman lebih tinggi untuk mencapai cita-cita mereka, walaupun banyak halangan.

Untuk mengurangkan berat badan, menahan makan saja tidak cukup. Ia perlu disertai dengan senaman dan minum banyak air iaitu sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas sehari.

Air adalah elemen penting untuk membantu meningkatkan metabolisme badan dan mempercepatkan proses pembuangan lemak, kata Ketua Unit Pengurusan Pemakanan dan Reproduktif Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN), Kamarul Faridah Kamarul Zaman.

Untuk kekal sihat dan bertenaga, setiap orang perlu minum sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas sehari. Air penting sebagai bahan ‘pembersih’ kerana ia memudahkan proses penyingkiran bahan buangan daripada badan.

Namun, ramai keliru dengan isyarat ‘lapar’ atau ‘dahaga’. Kekeliruan ini menyebabkan ada orang mencari makanan setiap kali satu daripada isyarat ini diterima otak. Akibatnya berat badan bertambah tanpa disedari.

Masalah ini lebih ketara di kalangan orang tua kerana deria rasa mereka menjadi kurang sensitif. Tidak hairan jika ramai orang tua mengalami masalah kekurangan air dalam badan.

Bagi individu yang turut mengalami kekeliruan ini, langkah terbaik ialah minum air setiap kali anda terasa lapar. Tidak mengapa jika terlebih minum kerana kesan sampingannya hanya kita kerap berulang ke tandas.

Jika terlebih makan, kesannya lebih payah kerana ia merumitkan masalah berat badan berlebihan yang sedia ada. Jangan tunggu hingga terlalu dahaga untuk minum kerana ia sebenarnya menandakan badan kita mengalami masalah kekurangan air (dehidrasi).

Tidak perlu tunggu terasa dahaga untuk minum kerana badan kita memerlukan kira-kira satu liter air sehari untuk berfungsi dengan baik.

Usah risau minum banyak air kerana ia tidak mengandungi kalori. Malah, ia baik untuk buah pinggang yang bertugas menapis darah dan menyingkir bahan toksik daripada badan.

Bagi individu yang mahu menurunkan berat badan, minum setiap kali sebelum makan. Air membuatkan kita terasa cepat kenyang dan ini secara tidak langsung dapat mengelakkan kita makan banyak.

Bagaimanapun, jangan sampai tidak makan kerana apabila terlalu lapar kita terdorong untuk makan lebih banyak melebihi keperluan. Lapar menandakan badan kita kekurangan glukos dan meningkatkan keinginan untuk makan banyak.

Air yang dibincangkan di sini ialah air masak atau mineral iaitu air yang tiada kalori. Pun begitu, ia bukan bermakna anda tidak boleh minum air manis tetapi ia tidak disarankan bagi individu yang mahu menurunkan berat badan.

Jus buah juga antara pilihan baik untuk diambil sebelum makan, tetapi pastikan ia tidak ditambah gula bagi memperbaiki rasanya.

Lebih baik jika serat buah berkenaan dimasukkan bersama kerana ia bukan saja membuat anda berasa lebih cepat kenyang, bahkan melancarkan proses penghadaman.

Jus buah mempunyai banyak manfaat kerana ia mengenyangkan, banyak khasiat dan kaya serat. Kandungan gula semulajadinya memenuhi keinginan anda untuk minum atau makan makanan manis.

Malah, makan buah-buahan juga cara terbaik untuk menurunkan berat badan.

Namun, jangan terlalu gembira jika berat badan turun mendadak walaupun anda sentiasa dahaga dan kerap buang air kecil kerana ini tanda utama penyakit kencing manis.

Biasanya pesakit tidak sedar mereka menghidap kencing manis. Masalah sentiasa dahaga meningkatkan keinginan untuk minum lebih banyak air manis tanpa menyedari ia hanya memburukkan keadaan.

Kencing manis berlaku apabila badan mengalami kekurangan insulin untuk menghadamkan glukosa (gula) untuk dihantar kepada sel.

Sel yang tidak menerima gula akan mati dan ini sebabnya berat badan turun mendadak. Jadi, jika tiga tanda ini ada pada anda, segera jalani pemeriksaan kesihatan bagi mengelak penyakit melarat.

Bagaimana air dapat membantu mengurangkan berat badan? Air tidak mengandungi kalori, justeru ia boleh diambil dalam kuantiti banyak pada bila-bila masa. Ia membantu mengurangkan kuantiti kalori yang diambil setiap hari.

Walaupun ia juga tidak mengandungi khasiat, air penting untuk membolehkan badan berfungsi secara normal dan menjaga kesihatan.

Selain mematuhi jadual makan, mengurangkan jumlah makanan dan minum banyak air, individu yang mahu menurunkan berat badan mesti bersenam. Tiada kaedah singkat dan cepat untuk mendapat berat badan seimbang.

Paling penting ialah kesabaran dan bersenam secara teratur. Tambah waktu senaman antara 10 hingga 15 minit setiap hari dan tukar rutin senaman anda. Dua kaedah ini sebenarnya ‘mencabar’ dan meningkatkan kadar metabolisme untuk membakar lebih banyak kalori.

Penurunan berat badan melalui senaman dan penjagaan makanan adalah kaedah terbaik. Prosesnya perlahan, tetapi berat badan yang hilang tidak kembali jika ia dijadikan amalan sepanjang hayat.

Lapan prinsip pemakanan

SEPERTI irama dan lagu, wanita memang tidak dapat dipisahkan dengan kecantikan — mahu awet muda, mempunyai berat badan unggul atau tampil langsing dan sihat sentiasa.

Bagi wanita bekerjaya terutamanya, golongan ini mengambil berat soal kecantikan, tetapi kebiasaannya terperangkap dalam tingkah laku sendiri sehingga aspek penting yang membawa kepada kecantikan diketepikan begitu saja.

Puncanya? Wanita bekerjaya memang tidak dapat lari daripada dibelenggu kesibukan yang membuatkan mereka terjerumus ke peringkat alpa memberi perhatian terhadap soal pemakanan — aspek paling penting berkaitan soal kecantikan.

Akibat sibuk, corak pemakanan seharian pasti berubah daripada amalan yang biasa dilakukan sehingga tiada masa untuk bersarapan, tetapi makan banyak ketika makan tengah hari dan malam.

Kerana kesibukan juga, ada yang lebih senang membeli saja makanan tanpa memerhatikan sama ada ia cukup berzat atau sebaliknya.

Natijahnya, akan muncul riak wajah murung apabila menyedari wajah tidak lagi halus, badan tidak lagi langsing, manakala kesihatan pula menjadi tidak menentu. Pada masa sama timbul juga tekanan dan keletihan, menyebabkan perasaan tidak tenteram sehingga menjadi pemarah dan ‘mood’ pula berubah-ubah.

Bimbang dengan keadaan seperti itu? Memang perlu ada kebimbangan, kerana ia adalah cabaran wanita bekerjaya, tetapi jika mengamalkan kaedah pemakanan betul, jangan biarkan diri dibelenggu kebimbangan.

Bagi wanita bekerjaya, anda disaran mengamalkan lapan prinsip pemakanan supaya tidak wujud kebimbangan dibelenggu masalah kecantikan.

Prinsip dimaksudkan ialah:

Nikmati pelbagai jenis makanan.

Kekalkan berat badan sihat.

Makan banyak produk bijirin, legum (kekacang), buah-buahan dan sayur-sayuran.

Kurangkan lemak dan kolestrol.

Kurangkan penggunaan garam.

Kurangkan penggunaan gula.

Minum banyak air.

Amalkan penyusuan susu ibu.


Menurut Ketua Penolong Pengarah Pemakanan Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan, Fatimah Salim, lapan prinsip itu memang berkesan membantu wanita bekerjaya memperoleh kecantikan seperti diidamkan.

Meskipun bukan mudah mengamalkan semua prinsip berkenaan, ia lebih berkesan daripada mengambil sebarang produk kecantikan seperti pil yang menjadi ikutan kebanyakan wanita bekerjaya hari ini.

Prinsip pertama, amalan menikmati pelbagai jenis makanan mampu membekalkan kombinasi tenaga dan nutrien berbeza, sekali gus disifatkan cara terbaik mencapai keperluan tenaga dan nutrien.

Paling penting, kepelbagaian makanan diambil perlu menggabungkan semua kumpulan pemakanan dalam Piramid Makanan.

Ada empat paras Piramid Makanan (paras satu)iaitu roti, bijirin, nasi, ubi dan pasta, diikuti buah-buahan dan sayur-sayuran (paras kedua), daging, ikan, ayam, itik, kekacang, susu dan hasil tenusu (paras ketiga) dan lemak, gula, garam dan minyak (paras keempat).

Pengambilan makanan mengikut Piramid Makanan, seelok-eloknya dibahagikan untuk lapan hingga 12 hidangan bagi paras satu, tiga hingga lima hidangan (paras dua) dua hingga tiga hidangan untuk daging, ikan, ayam, itik, kekacang, manakala satu hingga dua hidangan untuk telur, susu, dadih dan keju (paras tiga) dan mengurangkan pengambilan jenis makanan di paras keempat.

Dengan adanya panduan Piramid Makanan, banyak perancangan boleh dibuat.
Sebagai contoh, jika berkunjung ke pasar, pilih saja jenis makanan yang boleh disesuaikan dengan Piramid Makanan dalam tempoh seminggu.

Contoh satu hidangan untuk setiap paras Piramid Makanan:

Satu hidangan bijirin (paras satu) bersamaan dengan 1/2 cawan nasi, satu keping roti, 1/2 cawan bihun/mi/pasta, 1/2 capati bersaiz kecil, satu cawan bubur nasi kosong, satu biji ubi kentang bersaiz sederhana dan tiga biskut tawar.

Satu hidangan sayur-sayuran (paras dua) bersamaan dengan 1/2 cawan sayur berdaun hijau, 1/2 sayuran buah atau berakar dan 1/2 cawan ubi keledek, manakala untuk satu hidangan buah pula bersamaan dengan 1/2 biji jambu bersaiz sederhana, satu potong betik, nenas dan tembikai, sebiji pisang, oren, lai dan epal bersaiz sederhana, 1/4 cawan buah kering (tanpa gula) dan 1/2 cawan jus.

Satu hidangan ikan, daging dan ayam (paras tiga) bersamaan dengan satu ketul peha ayam, satu ekor ikan kembung bersaiz sederhana, dua ketul daging tanpa lemak sebesar kotak mancis, lima sudu makan ikan bilis, dua tauhu keras, dua biji telur, satu cawan kekacang kering dan dua keping tempe (seelok-eloknya tidak digoreng dengan minyak), manakala satu hidangan susu dan hasil tenusu bersamaan dengan satu gelas susu (200 mililiter), satu cawan dadih dan satu keping keju.

Untuk paras keempat pula tiada perincian khusus kerana semua jenis makanan di paras ini perlu dikurangkan ke amaun lebih kecil.


Dalam pada ghairah mempelbagaikan jenis makanan mengikut Piramid Makanan, kesederhanaan dalam mengambil jenis makanan yang diperlukan sangat penting untuk diamalkan.

Semua jenis makanan yang diambil perlu mengikut keperluan. Tiada gunanya jika makan pelbagai makanan mengikut Piramid Makanan tetapi tidak mengamalkan kesederhanaan.

Prinsip kedua, pengekalan berat badan sihat dapat dilaksanakan jika prinsip pertama diamalkan dengan konsisten dan bersungguh-sungguh.

Pengambilan makanan dan aktiviti fizikal yang lazim dilakukan juga perlu seimbang.
Seseorang wanita tidak boleh terlalu kurus atau terlalu gemuk kerana kedua-duanya meningkatkan risiko masalah kesihatan.Penting untuk mengenal pasti sama ada berat badan anda dikategorikan sebagai berat badan sihat atau sebaliknya.

Untuk mengenal pasti kategori berat badan, Indeks Jisim Tubuh atau Body Mass Index (BMI) boleh digunakan. BMI boleh diperolehi dengan pengiraan seperti Berat(kg) / Tinggi x Tinggi(m). Sebagai contoh berat badan anda 62kg dan ketinggian anda 1.62m (162cm). Bermakna 62 / 2.6244 ( 1.62 x 1.62m), anda akan dapati nilai BMI ialah 23.62. Berat badan yang normal nilai BMI antara 18 hingga 25.

Bagi menentukan kedudukan lemak terkumpul di sekitar kawasan pinggang dan perut pula, kaedah Ukur Lilit Pinggang boleh dijadikan sebagai panduan. Ukur lilit pinggang melebihi 32 inci atau 80 sentimeter (sm) adalah tidak sihat. Bagi yang mempunyai BMI normal, mereka masih berisiko untuk dikategorikan sebagai tidak sihat jika ukur lilit pinggangnya melebihi ukur lilit pinggul.

Untuk mengukur ukur lilit pinggul, letakkan pita pengukur di bahagian pinggul yang paling lebar dan kemudian bahagikan ukur lilit pinggang dengan ukur lilit pinggul bagi mendapatkan nisbah pinggang kepada pinggul (NPP). NPP melebihi 0.85 dikenal pasti tidak sihat.

Prinsip ketiga pula, produk bijirin, legum (kekacang), sayur-sayuran dan buah-buahan mengandungi karbohidrat kompleks, vitamin, mineral, serat dan komponen lain yang berguna.

Seelok-eloknya pilih bijirin yang tidak diproses kerana ia mengandungi zat besi, fosforus, vitamin B dan serat yang tinggi.

Untuk legum, pilih jenis kacang seperti kacang pis, kacang hijau dan kacang kerana ia mengandungi banyak protein, karbohidrat, serat dan vitamin.

Untuk buah pula, pilih sekurang-kurangnya satu jenis buah atau sayur yang kaya vitamin A, karotenoid dan vitamin C setiap hari. Sebagai contoh, pilih buah-buahan dan sayur seperti jambu batu, betik dan limau, mangga, betik, sayur berdaun hijau gelap, lobak dan tomato.

Prinsip keempat, tidak dinafikan lemak penting untuk tenaga, tetapi pengambilan lemak terlalu tinggi menjejaskan kesihatan. Keseimbangan pengambilan asid lemak tepu, monotak tepu dan politaktepu amat perlu.

Pengambilan secara sederhana lemak itu membantu merendahkan tahap kolestrol dalam darah. Pilihan lebih baik, gunakan minyak kelapa sawit kerana ia mengandungi asid lemak tepu dan tak tepu yang seimbang.

Secara umum, asid lemak tepu membabitkan lemak haiwan, santan, mentega, minyak sapi. Asid lemak monotaktepu pula membabitkan minyak zaitun dan minyak kanola, manakala asid lemak politaktepu membabitkan minyak jagung, kacang soya, bunga matahari dan minyak ikan.

Prinsip kelima membabitkan perkara mengenai pengambilan garam yang mengandungi natrium. Natrium penting untuk kesihatan, tetapi pengambilan terlalu banyak sering dikaitkan dengan masalah darah tinggi. Bagi menggalakkan penggunaan garam secara sederhana, disertakan beberapa petua yang praktikal dan sesuai digunakan:

Pilih makanan segar daripada makanan yang siap dimasak.

Biasakan penggunaan rempah ratus.

Nikmati rasa semula jadi makanan.

Tambahkan sedikit saja garam ketika memasak.

Baca label pada makanan berbungkus atau bertin yang dibeli.


Prinsip keenam, gula dikenal pasti boleh menyebabkan masalah kegemukan dan masalah kesihatan lain.

Untuk mengurangkan gula, beberapa petua boleh digunakan seperti mengurangkan pengambilan gula secara sedikit demi sedikit, pilih buah-buah segar dan buah-buahan dalam tin yang kandungan sirapnya kurang pekat di dalam makanan atau minuman dan amalkan meminum air kosong.

Prinsip ketujuh perlu diberi perhatian kerana air ada pelbagai fungsi penting untuk kesihatan.

Air membantu penghadaman, penyerapan, pengangkutan, perkumuhan, kawalan suhu badan dan pelincir untuk pergerakan bahagian tubuh yang kerap digunakan.

Secara purata, tubuh kehilangan air 1.5 hingga 2.5 liter sehari. Justeru, untuk menampung kehilangan itu, manusia memerlukan enam hingga lapan gelas air sehari.

Jika cuaca panas atau terbabit dengan aktiviti membabitkan kecergasan, jumlah air yang diperlukan lebih daripada itu.

Prinsip kelapan, untuk wanita bekerjaya yang bergelar ibu supaya mengamalkan penyusuan susu ibu kerana ia bukan saja memberi banyak kebaikan kepada bayi, tetapi kesihatan ibu akan sentiasa pada tahap terbaik.

Pegawai Dietetik PPUM, Rokiah Ismail, berkata wanita bekerjaya juga boleh merancang menu yang mahu disediakan dengan menitikberatkan penyediaan hidangan sihat dan mengubah suai resipi tertentu untuk kebaikan diri.

Penyediaan makanan rendah lemak, rendah gula, rendah garam dan tinggi serat membantu dalam memastikan kecantikan wanita bekerjaya itu sentiasa terpelihara.

Untuk menyediakan makanan seperti itu bukan sukar kerana setiap resipi boleh diubahsuai. Dengan mengubah suai resipi akan menjadikan hidangan lebih sihat, berkualiti dan membantu meningkatkan tahap kesihatan.

Pendustaan punca 3 sifat munafik

PADA zaman Rasulullah SAW, pegawai kerajaan diarahkan menyimpan apa saja yang mereka terima sebagai hasil negara dalam Perbendaharaan Awam. Rasulullah SAW turut memberi peringatan, “Wahai manusia! Sekiranya ada di kalangan kamu yang dilantik sebagai wakil pentadbir oleh kami, dan kemudian menyorokkan daripada kami walaupun hanya sebatang jarum, atau lebih, dia sudah berkhianat, dan akan membawanya di Hari Kebangkitan.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Peringatan Rasulullah SAW itu selaras amaran Allah dalam firman bermaksud: “Sesiapa yang berkhianat menggelapkan sesuatu harta (kepunyaan semua), dia akan datang menanggung apa yang dikhianatkan itu pada Hari Kiamat; kemudian akan dibalas tiap-tiap seorang apa yang dikerjakannya, sedang mereka tidak dianiayai.” (Surah Ali-'Imran, ayat 161)

Peringatan itu penting kerana mereka yang diamanahkan untuk memerintah memiliki kuasa besar terhadap cara hasil negara dibelanjakan. Untuk mendokong sifat amanah terhadap kuasa inilah Allah merakamkan dalam al-Quran keperluan menyerahkan kerja kepada seseorang berperibadi kuat (al-qawiyy), iaitu yang berupaya serta berkebolehan (Surah al-Qasas, ayat 26).

Justeru, Rasulullah SAW pernah memberi peringatan bahawa ada tiga tanda orang munafik iaitu apabila dia berbicara, dia berdusta; apabila dia berjanji, dia menyalahi janji; dan apabila dia diamanahkan, dia berkhianat.

Dalam riwayat dirakamkan Imam Muslim, ada pernyataan tegas Rasulullah SAW mengenai golongan munafik iaitu ‘dia turut puasa, sembahyang dan menganggap diri Muslim.’

Keprihatinan akhlak yang menjadi lunas Islam tidak berlawanan dengan apa yang pernah dinyatakan Marcus Tullius Cicero dalam risalahnya De Officiis, “tidak ada perbuatan aniaya yang lebih menonjol daripada perlakuan seseorang hipokrit, yang serentak dengan sifatnya yang khianat, berpura-pura berbuat kebajikan.”

Sesungguhnya, perlakuan aniaya paling membinasakan kepada diri sendiri, masyarakat dan negara berkisar kepada tiga kejahatan itu iaitu berdusta, mungkir janji, dan mengkhianati amanah.

Dunia Islam semasa, sudah lama diperingatkan untuk mengawal kejatuhan moral itu sejak Persidangan Pertama Sedunia mengenai Pendidikan Islam di Makkah, pada April 1977, apabila Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas membentangkan kertas sidang pleno mengenai The Dewesternization of Knowledge.

Beliau juga mengingatkan, walaupun tiga sifat itu kedengarannya seperti tiga perlakuan berbeza, pada hakikatnya ia adalah tiga darjat pendustaan apabila berbicara, berdusta apabila memungkiri janji, berdusta melalui perlakuan pecah amanah dan menyelewengkan kuasa.

Banyak ayat al-Quran dan hadis sahih memperkuatkan lunas Islam ini. Dalam Islam, sifat khianat adalah musuh kepada keimanan yang hakiki dan kesedaran untuk menyerahkan diri hanya kepada Allah Tuhan Yang Maha Esa, tidak kepada yang selain-Nya. Seseorang Mukmin tidak mungkin berakhlak dusta atau pecah amanah.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa tidak memiliki kejujuran, tidak memiliki iman; dan sesiapa yang tidak memelihara janji, bukanlah seorang yang beragama.” (Hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi)

Kesarjanaan Islam mentakrifkan insan sebagai al-hayawan al-natiq. Secara harfiah, insan adalah ‘hidupan berkata-kata,’ bermakna pertalian dengan tutur katanya, seseorang itu akan mencerminkan jiwa dalamannya.

Berkenaan perkara itu, pemikir Perancis, Michel Eyquem de Montaigne pernah menyatakan, “Sebagai manusia, kita terikat hanya dengan apa kita tuturkan.

Oleh kerana persefahaman antara seorang manusia dengan manusia lain boleh dinyatakan melalui tutur kata, sesiapa berdusta dalam tuturbicaranya adalah mengkhianati masyarakat manusia. Tutur kata adalah satu-satunya alat untuk menyampaikan iradat dan fikiran kita; tuturbicara adalah penterjemah jiwa. Dengan berdusta, tiada lagi tali mengikat antara manusia. Pendustaan memutuskan semua perhubungan masyarakat dan meleburkan semua ikatannya.”

Bijak-pandai Melayu mengungkapkan lunas akhlak bersifat alami ini menerusi pepatah ‘kerbau dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji.’

Justeru, manusia khianat pada janji dan ikatan amanah adalah lebih hina daripada kerbau dan lembu, seperti peringatan al-Quran, “Mereka itu seperti binatang, bahkan lebih sesat lagi.” (Surah al-A'raf, ayat 179)

Demi menegaskan kewajipan untuk tidak mengkhianati amanah, Allah memerintahkan orang beriman supaya menyempurnakan ikatan janji amanah yang kukuh. Al-Raghib al-Isfahani menjelaskan, tiga jenis ikatan amanah iaitu perjanjian antara insan dengan Tuhan, janji antara manusia dengan dirinya sendiri dan janji antara seseorang manusia dengan manusia lain yang serasi dengan persyaratan agama.

Misalnya, perjanjian perdagangan antara penjual dengan pembeli, persepakatan masyarakat antara pelbagai kelompok kaum, akad-nikah perkahwinan dan persetiaan antarabangsa.

Perjanjian tersirat yang perlu ditunaikan dengan saksama seperti perjanjian tersirat antara tuan rumah dengan tetamunya, pengembara dengan pengiringnya, majikan dengan pekerjanya dan seterusnya.

Abdullah Yusuf Ali menyatakan, seseorang yang meninggalkan mereka yang berada dalam tanggungjawabnya dan sebaliknya pergi ‘beribadah’ berseorangan di padang pasir adalah seorang bacul yang mengabaikan 'uqud atau tugas wajibnya.

Tambahan pula, “Allah memerintahkan kamu supaya menyerahkan amanah kepada yang berhak.” (Surah al-Nisa', ayat 58).

Ayat al-Quran ini merangkumi segala amanah, sama ada berkaitan harta benda, atau berkaitan dengan akhlak.

Jika ada tugas perlu ditunaikan kepada seseorang yang lain, tugas itu adalah amanah wajib ditegakkan, maka mengerjakannya dengan sempurna dan penuh tanggungjawab adalah perbuatan menyerahkan amanah kepada yang berhak.

INTI PATI

Sifat khianat adalah musuh kepada keimanan yang hakiki.

Tuturkata mencerminkan jiwa dalaman.

Pendustaan memutuskan semua perhubungan masyarakat dan meleburkan semua ikatannya.

Allah memerintahkan orang beriman menyempurnakan janji.

Tiga jenis ikatan amanah adalah perjanjian antara insan dengan Tuhan, janji manusia dengan diri sendiri dan janji manusia dengan manusia lain.


Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Cara mudah urus tekanan

AMALAN gaya hidup sihat yang merangkumi pengambilan makanan seimbang, kerap bersenam, cukup tidur dan mendekatkan diri dengan agama antara cara terbaik untuk menangani tekanan.

Bagaimanapun, kehidupan sukar dimiliki jika tiada kesungguhan untuk melaksanakannya. Tanpa disedari, tekanan menjadi elemen penting dalam hidup semua orang, termasuk kanak-kanak.

Tekanan menjadi pewarna dan perencah kehidupan kerana tanpa tekanan hidup kita jadi hambar. Namun, tekanan yang berlebihan dan tidak diuruskan dengan baik boleh mendatangkan kemudaratan.

Tekanan menyebabkan kita cepat letih, resah, risau, tekanan darah meningkat dan ada yang melegakan perasaan dengan makanan sehingga tidak sedar mereka sebenarnya makan terlalu banyak.

Sebenarnya, ada banyak cara mudah dan sihat untuk menguruskan tekanan seperti:

Mandi air suam untuk merehatkan otot yang tegang.

Baring dan buat senaman pernafasan iaitu dengan menarik nafas dalam-dalam, tahan beberapa saat dan hembuskan nafas perlahan-lahan. Ulang beberapa kali hingga anda tenang.

Jika ada keinginan untuk makan, fikirkan dulu apakah makanan yang anda mahu dan manfaatnya kepada anda. Biasanya dalam keadaan tertekan, kita cenderung memilih makanan berkarbohidrat kerana ia merangsang otak menghasilkan serotonin yang membuatkan kita rasa tenang. Namun dalam keadaan tertekan, biasanya ramai tidak sedar mereka makan banyak.

Untuk meredakan tekanan emosi, anda boleh meluahkan masalah dengan bercakap dengan rakan dipercayai atau menuliskannya dalam buku. Senaman mudah seperti berjalan cepat juga boleh meredakan perasaan.


Ada orang meredakan tekanan dengan membeli-belah. Walaupun kaedah ini berkesan, ia bukan cara sihat kerana anda boleh terdorong untuk membeli barang tidak diperlukan atau berbelanja berlebihan. Cari alternatif lain seperti berbasikal, berjoging, menari atau berenang.

Panduan mengurangkan tekanan:

Makan makanan seimbang. Makanan seimbang membantu badan menangani tekanan dengan baik. Pilih makanan yang kaya vitamin B, C dan zink. Makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran. Hadkan pengambilan minuman mengandungi kafein dan kurangkan merokok.

Belajar teknik berehat seperti cara pernafasan, senaman tai chi, yoga dan meditasi. Mendekatkan diri dengan agama juga boleh menguatkan jiwa dan minda untuk berfikir lebih rasional apabila menghadapi tekanan.

Tetapkan sasaran (terutama dalam pencapaian kerja) dalam had kemampuan anda. Yakinkan diri bahawa anda boleh melakukannya dalam waktu ditetapkan tanpa perlu mengorbankan kepentingan lain, terutama waktu tidur dan rehat.

Luangkan masa untuk bersenam. Senaman sekurang-kurangnya 20 minit sehari memadai untuk merangsang badan menghasilkan endorfin iaitu bahan yang membuatkan kita berasa tenang dan selesa.

Pastikan anda mendapat tidur cukup iaitu di antara enam hingga lapan jam sehari.

Usah takut menolak tugasan yang diberi jika anda memang benar-benar banyak kerja.

Imbangkan waktu anda antara masa untuk bersendirian, bersama keluarga dan rakan. Walaupun sudah berkahwin dan mempunyai anak, anda berhak mempunyai masa untuk bersendiri. Gunakan masa ini sebaik-baiknya.

Usah bawa balik kerja ke rumah atau membawa masalah peribadi ke tempat kerja. Gunakan kebijaksanaan anda untuk mengasingkan dua perkara ini.

Kasih sayang adalah penawar keresahan. Pupuk hubungan baik antara adik beradik, ahli keluarga lain dan rakan kerana mereka boleh menjadi kumpulan sokongan apabila anda mengalami tekanan.

Lakukan sesuatu yang anda suka dan memberi kebaikan contohnya membaca novel, menonton wayang, mendengar muzik, melukis, memasak, berkebun atau membersihkan rumah
.

Berdialog dengan diri sendiri (iaitu dalam fikiran). Dialog positif boleh membantu anda berasa lebih yakin dan mampu menyingkirkan pemikiran negatif. Contohnya katakan pada diri bahawa anda seorang yang tenang, boleh berfikir secara matang dan yakin dengan diri sendiri.

Jika anda terlalu sibuk dan badan mula terasa sakit, ada cara boleh dilakukan untuk merehatkan badan tanpa meninggalkan tempat duduk iaitu:

Angkat bahu dan cuba rapatkan bahu ke telinga. Tahan beberapa saat dan kembali ke kedudukan asal. Ulang 10 kali atau sehingga ketegangan di bahu terasa reda.

Goyang dan pusingkan pergelangan tangan selama 30 saat dan ulang beberapa kali. Ini penting untuk mengelak mengalami kesakitan pada pergelangan tangan akibat terlalu banyak menaip.

Tarik nafas dalam-dalam dan tahan beberapa saat. Lepaskan perlahan-lahan dan ulang lima hingga 10 kali.

Tegangkan seluruh badan — genggam tangan, ketap gigi dan pejamkan mata. Tahan beberapa saat dan rehatkan seluruh badan. Bagaimanapun, lebih baik jika senaman ini dilakukan ketika anda bersendirian, bimbang ditertawakan rakan sekerja.

Gosokkan tapak tangan hingga terasa panas. Letakkan tapak tangan pada mata selama beberapa saat. Kaedah ini boleh merehatkan mata yang letih.

Fungsi ketawa, menangis

Memberi manfaat kepada fizikal dan emosi setiap orang supaya boleh berfungsi dengan baik
SENYUMAN dan ketawa boleh menjadi penawar duka. Kebuntuan fikiran seolah-olah hilang apabila mendengar suara anak ketawa menyambut kepulangan kita dari tempat kerja.

Ketawa dan menangis adalah sebahagian proses semula jadi yang dianugerahkan Allah kepada kita.

Walaupun sesetengah orang menganggap tangisan itu sebagai satu kelemahan, hakikatnya ia ada fungsi penting dalam kehidupan kita.

Apabila kita ketawa atau menangis, badan mengalami perubahan fizikal dan kimia.

Ketawa dan menangis adalah dua elemen penting yang memberi manfaat kepada fizikal dan emosi setiap orang supaya boleh berfungsi dengan baik.

Berbanding ketawa, menangis adalah proses lebih rumit. Air mata boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu:

Air mata basal (untuk melembapkan mata).

Air mata refleks (dihasilkan apabila mata mengalami keradangan seperti apabila mengupas bawang atau terkena habuk).

Air mata emosi (dihasilkan apabila badan bertindak balas terhadap perubahan emosi).

Setiap jenis air mata ini mempunyai komposisi hormon dan bahan kimia berbeza. Saintis mendapati air mata emosi mengandungi paras logam mangan dan hormon prolaktin lebih tinggi.

Apabila kita menangis, dua bahan ini diambil daripada badan dan dikeluarkan melalui air mata. Ia membantu meredakan perasaan. Ini sebabnya kita berasa lebih tenang selepas menangis.

Air mata emosi hanya terhasil apabila berlaku perubahan emosi.

Banyak faktor boleh mengakibatkan emosi seseorang berubah, seperti kesedihan kehilangan orang tersayang.

Apabila emosi berubah, sistem saraf bertindak balas dengan merangsang saraf kranial (saraf dari otak) dan menghantar isyarat kepada kelenjar air mata lakrimal (kelenjar air mata paling besar).

Penyelidik percaya, kelenjar ini mengeluarkan jumlah air mata mengandungi bahan kimia dan hormon tertentu untuk menstabilkan semula perasaan seseorang apabila menghadapi tekanan emosi.

Bagi wanita, tangisan dianggap perkara biasa tetapi bagi lelaki, ada yang menganggap ia sebagai satu tanda kelemahan.

Sebenarnya, menangis bukan perkara memalukan atau lambang kelemahan.

Individu yang tidak menangis, terutama apabila mengalami tragedi seperti kematian atau putus cinta, sebenarnya lebih menderita secara fizikal kerana tidak dapat meluahkan keperitan yang dialami melalui tangisan.

Jadi jika anda sedih, tiada salahnya untuk menangis kerana ia antara proses semula jadi untuk mententeramkan semula perasaan dan fikiran.

Jika menangis boleh meredakan perasaan, ketawa pula dianggap sebagai ubat terbaik dalam merawat apa jua masalah.

Pendapat ini ada benarnya kerana badan secara semula jadi berehat apabila kita ketawa.

Diafragma, abdomen, saluran pernafasan, muka, kaki dan bahagian belakang badan secara tidak langsung ‘digerakkan’ serentak untuk bekerja.

Pergerakan ini yang dianggap senaman untuk bahagian tengah badan sebenarnya turut membakar kalori.

Saintis mendapati, ketawa sebanyak 100 kali mempunyai manfaat sama dengan bersenam 10 hingga 15 minit. Ketawa membantu merangsang proses pemulihan dengan merendahkan tekanan darah dan melancarkan aliran darah.

Apabila kita ketawa, badan menghasilkan sel-T iaitu sel darah putih dan sejenis protein yang penting dalam sistem pertahanan badan. Ketawa juga didapati boleh mengurangkan penghasilan hormon tekanan.

Ini sebabnya orang yang menghidap penyakit perlu mendapatkan bantuan kaunseling atau kumpulan sokongan untuk menguatkan semangat kerana kesedihan hanya memburukkan keadaan penyakit mereka.

Kajian mendapati apabila kita ketawa, satu gelombang elektrik terhasil dan mengalir dalam otak.

Banyak bahagian otak, termasuk bahagian yang mengawal emosi, daya intelek dan pergerakan, saling berhubung ketika kita ketawa.

Semua ini dikatakan memberi manfaat kerana ia boleh menguatkan badan.

Ketawa bukan saja boleh meredakan tekanan, tetapi menghilangkan rasa marah.

Antara manfaat ketawa yang lain ialah:

Merendahkan tekanan darah.

Merangsang mood.

Meningkatkan daya ketahanan badan.

Memperbaiki fungsi otak.

Melindungi jantung.

Merapatkan hubungan dengan orang lain.

Melegakan perasaan.

Membuatkan kita berasa selesa.


Malah, ketawa juga boleh meningkatkan keupayaan badan melawan penyakit seperti tekanan darah tinggi, strok, artritis, ulser dan mengelakkan risiko mendapat serangan jantung.

Kajian mendapati seseorang itu berisiko diserang sakit jantung jika sentiasa dalam keadaan tertekan, resah, gelisah dan marah.

Bahkan, ada juga kajian mendapati ketawa boleh melancarkan sistem pencernaan dan penyerapan nutrien daripada makanan.

Namun paling penting ialah ketawa boleh mengekalkan kesihatan mental. Apabila kita berfikiran tenang dan melihat masalah daripada sudut positif, ia juga boleh dijadikan bahan ketawa.

Ketawa pada diri sendiri juga boleh mengubah persepsi kita terhadap masalah dihadapi. Mungkin anda tidak sedar, ketawa sebenarnya membolehkan kita menangani masalah atau tekanan dengan lebih baik.

Isnin, 23 April 2007

Tanggapan salah asma

PADA pendapat anda, bolehkah penghidap asma bergiat aktif dalam sukan? Boleh, tidak atau tidak pasti? Jawapannya, boleh. Semua pesakit asma boleh menjalani kehidupan aktif dengan syarat keadaan penyakit mereka terkawal. Dalam keadaan ini, pesakit bukan saja boleh bermain badminton atau berenang hatta menyertai jogaton!
Malah, dalam keadaan penyakit yang terkawal, pesakit asma juga boleh menikmati semua makanan kegemaran mereka, termasuk aiskrim dan minuman berais yang biasanya menyebabkan orang berasa ‘semput’. Hakikat ini diakui Presiden Persatuan Torasik Malaysia, Profesor Dr Liam Chong Kin.

Namun, masih ramai mempunyai tanggapan salah mengenai pesakit asma atau lelah sehingga ada yang tidak pernah menyertai aktiviti sukan. Kurang kesedaran dan pengetahuan mengenai penyakit secara tidak langsung menafikan hak pesakit asma untuk bergiat cergas.

Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan Kedua 1996 mendapati insiden asma masyarakat kita ialah 4.2 peratus, tetapi kadarnya lebih tinggi di kalangan kanak-kanak berumur kurang 15 tahun (4.5 peratus berbanding 4.2 peratus bagi orang dewasa).

Di seluruh dunia, dianggarkan ada kira-kira 300 juta pesakit asma dan jumlah ini dijangka meningkat 50 peratus setiap dekad.

Ia dianggap penyakit kronik paling lazim di dunia yang menyebabkan 180,000 kematian setiap tahun.

Katanya, ini perkara menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku kerana kematian boleh dielakkan melalui penjagaan kesihatan dan pengurusan asma yang baik seperti disarankan Inisiatif Global Untuk Asma (GINA).

Hari Asma Sedunia disambut setiap hari Selasa pertama bulan Mei. Tahun ini ia jatuh pada Selasa depan dengan tema ‘Keperluan Asma Yang Tidak Dipenuhi’. Asma adalah penyakit yang ada kaitan rapat dengan keturunan dan persekitaran.

Bilangan pesakit asma di kawasan bandar juga jauh lebih tinggi berikutan masalah pencemaran udara, habuk, kawasan perumahan yang rapat, sistem pengudaraan di rumah tidak baik kerana tingkap sentiasa tertutup untuk mengelakkan habuk.

Namun paling utama ialah kehadiran hama rumah yang menjadikan sel kulit mati sebagai makanan. Hampir 80 peratus pesakit asma di negara ini alah terhadap hama rumah dan najis hama. Ini sebabnya pesakit asma tidak digalakkan membentang permaidani di rumah kerana ia menjadi tempat pembiakan utama hama. Jika terpaksa, pastikan permaidani itu dibersihkan menggunakan mesin vakum sekerap mungkin,” katanya.

Jika anda mempunyai sejarah keluarga menghidap asma (walaupun anda sihat), tiba masanya anda mengambil tahu mengenai penyakit ini. Antara tanda yang perlu diperhatikan ialah:

l Batuk pada waktu malam.

l Sukar bernafas.

l Nafas berbunyi berdehit (lebih teruk pada waktu malam atau ketika bersenam).

l Kerap mengalami masalah sinus rinitis (kerap bersin; hidung dan mata menjadi berair, merah dan terasa gatal).

Gejala di atas berbeza dari semasa ke semasa, tetapi ia biasanya lebih teruk pada malam dan awal pagi. Malah, tahap serangannya juga berbeza antara pesakit, ada yang teruk hingga tidak dapat menjalankan aktiviti harian, tetapi ada juga yang hanya mengalami masalah kecil.

Asma adalah masalah yang dikaitkan dengan keradangan saluran pernafasan yang membabitkan hidung, tekak dan membran mata. Saluran pernafasan pesakit asma sensitif terhadap bahan pencetus alahan yang dipanggil alergen, menyebabkan ia bengkak, radang, otot di sekeliling saluran ini menegang dan lebih banyak mukus (lendir) dihasilkan sehingga menyekat kemasukan udara ke paru-paru; akibatnya pesakit sukar bernafas.

Antara alergen yang boleh menyebabkan serangan asma ialah:
• Hama rumah.
• Habuk.
• Pencemaran udara.
• Perubahan cuaca.
• Makanan (kacang, makanan dan minuman sejuk).
• Asap (termasuk asap rokok).
• Senaman.
• Bulu haiwan peliharaan
• Perubahan emosi yang mendadak.
• Kesan sampingan ubat seperti aspirin atau untuk sakit sendi.

Jika anda mempunyai gejala seperti disenaraikan di atas tetapi masih tidak pasti, segera berjumpa doktor supaya diagnosis boleh dijalankan. Ia lebih penting bagi wanita yang merancang untuk mengandung atau mengandung kerana asma boleh diturunkan kepada anak. Malah, asma yang tidak terkawal boleh membahayakan kesihatan.

Menurut Dr Liam, satu pertiga daripada wanita asma yang mengandung tidak mengalami masalah, satu pertiga mendapat serangan asma yang teruk dan satu pertiga lagi mungkin boleh menemui maut. Malah lebih membimbangkan, asma yang tidak terkawal ini akan membahayakan bayi dalam kandungan.

Bagaimanapun, pesakit tidak perlu risau kerana ubat yang diambil bagi meredakan serangan asma tidak mendatangkan kesan sampingan kepada bayi. Sebaliknya jika dibiarkan, asma tidak terkawal boleh merencat pertumbuhan bayi.

Walaupun asma penyakit keturunan, ada beberapa cara boleh diambil bagi mengurangkankan peluang anak mewarisinya iaitu dengan berhenti merokok (sama ada ibu mahupun bapa) kerana perokok pasif (iaitu menghidu asap rokok orang lain) juga mengalami kesan hampir sama dengan perokok aktif.

Apabila bayi lahir, pastikan persekitarannya bebas daripada asap rokok dan semua punca alergen. Ini termasuk kerap menggantikan cadar tilam (dan dibasuh dengan air panas), tidak memberikannya patung mainan berbulu dan paling penting, memberikan susu ibu.

“Seboleh-bolehnya elak memberi susu formula dibuat daripada susu lembu kerana ia mengandungi protein asing yang boleh meningkatkan risiko bayi mendapat serangan asma. Selain itu elakkan memberi kacang, kekacang dan telur kerana ia turut mengandungi banyak protein,” katanya.

Asma juga boleh menyerang individu dewasa (yang mempunyai sejarah keluarga) walaupun ketika kecil dia tidak pernah mengalami masalah asma, terutama jika individu berkenaan tinggal dalam persekitaran tercemar dan tidak sihat.

Justeru, beliau menyarankan semua pesakit sentiasa patuh kepada jadual pengambilan ubat kerana sehingga kini tiada ubat yang boleh menyembuhkan asma. Pesakit yang aktif bersenam juga dinasihatkan sentiasa membawa ubat seperti antikeradangan (glukkokortikosteroid, alat berwarna biru yang disedut di hidung) dan ubat pelega simptom.

Jadi, jika asma terkawal, anda boleh menyertai pelbagai jenis sukan. Ini yang mahu dibuktikan Majlis Asma Malaysia (ACM) bersama Persatuan Torasik Malaysia yang mengadakan jogaton sempena sambutan Hari Asma Sedunia 2006.

Jogaton percuma sembilan kategori ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat semuda tujuh tahun yang akan diadakan pada Ahad ini, 7 Mei 2006 di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

Mereka yang ingin menyertai jogaton boleh mendaftar melalui laman web www.asthma.acm.com.my atau hubungi talian 03-27152843 untuk keterangan lanjut.

Untuk sambutan sama, GINA turut menawarkan hadiah 5,000 euro (RM23,000) kepada mana-mana negara yang berjaya mengumpul mata melalui kuiz mudah mengenai asma.

Bagi membantu pesakit asma kita mendapat bantuan ini, anda boleh layari laman web www.asthmamusic.com yang bermula dari 2 hingga 31 Mei depan.

30 otot bergerak ketika makan

Ramai orang yang diet bermati-matian dan sanggup berlapar kerana mahu kurus. Makan itu satu nikmat yang perlu disyukuri dan digunakan secara berpada-pada.
Malah, orang tua-tua juga menasihatkan supaya menikmati makanan selagi ada peluang kerana apabila usia melewati separuh abad, ramai hilang selera makan. Itu jauh lebih baik jika dibandingkan dengan orang yang tidak boleh makan kerana ada masalah menelan.

Kesukaran menelan makanan atau disfagia adalah masalah yang biasa berlaku pada semua peringkat umur, tetapi lebih kerap pada orang tua berumur 60 tahun ke atas, terutama pesakit yang mengalami kecederaan pada sistem saraf seperti strok, Parkinson atau sklerosis multipel.

Namun, masalah kesukaran menelan makanan lebih kerap berlaku pada pesakit strok (30 peratus), bayi pramatang (lahir tidak cukup bulan) dan kanak-kanak menghidap meningitis, palsi serebrum (serebral palsy atau ketidaknormalan perkembangan otak bayi) atau mengalami sumbing lelangit.

Menelan makanan menjadi masalah besar kepada mereka kerana ia menyebabkan kesakitan dan akibatnya pesakit sukar mendapat kalori dan air yang cukup untuk badan.

Bagaimana masalah ini berlaku? Orang yang sihat dianggarkan menelan makanan, minuman dan air liur beberapa ratus kali sehari. Menelan makanan adalah satu proses kompleks membabitkan kira-kira 30 pasang otot dan enam pasang saraf kranial untuk menggerakkan makanan.

Bagi kita yang sihat, ia berlaku tanpa disedari. Proses menelan ada beberapa peringkat, bermula dengan persediaan oral iaitu makanan dikunyah (dipecahkan kepada saiz tertentu dan mencampurkannya dengan air yang bertindak melembut dan melicinkan makanan supaya mudah ditelan).

Pada peringkat kedua, lidah menolak makanan ke belakang mulut untuk memulakan tindak balas menelan. Makanan akan memasuki farinks (tiub berotot yang menyambungkan mulut dengan esofagus; iaitu saluran makanan). Ketika ini larinks (peti suara) akan tertutup rapat dan nafas terhenti untuk mengelakkan makanan atau minuman memasuki paru-paru.

Peringkat ketiga bermula apabila makanan atau cecair memasuki esofagus, laluan yang membawa makanan ke dalam perut. Proses dalam peringkat ini biasanya mengambil masa lapan ke 20 saat, namun ia bergantung kepada tekstur dan kepekatan makanan. Ketika ini pergerakan makanan berlaku di luar kawalan kita.

Pakar Patologi Pertuturan-Bahasa, Joey Pang Mei Ling, berkata disfagia berlaku apabila ada gangguan dalam mana-mana proses menelan.

Otot lidah dan pipi yang lemah akan menyukarkan pergerakan makanan dalam mulut ketika dikunyah. Ini menyebabkan makanan tidak cukup halus untuk ditelan.

Serpihan makanan yang terlalu besar untuk ditelan boleh menutup laluan udara dan menyebabkan seseorang tersedak. Selain itu kesukaran menelan juga berlaku jika tidak berlaku rangsangan menelan, terutama pada pesakit strok atau masalah gangguan sistem saraf.

Selain itu, masalah ini juga boleh disebabkan otot tekak atau esofagus, menyebabkan makanan tidak boleh bergerak ke perut.

Katanya, masalah timbul apabila makanan yang sepatutnya memasuki saluran esofagus tersasar ke dalam laluan udara dan paru-paru. Keadaan ini dikenali sebagai aspirasi. Ia boleh berlaku jika peti suara tidak berfungsi dengan baik dan menyebabkan makanan masuk ke paru-paru.

Kehadiran makanan dalam paru-paru boleh menimbulkan jangkitan yang dipanggil pneumonia aspirasi.

Ramai pesakit tua meninggal dunia akibat masalah pneumonia aspirasi. Makanan yang tersilap masuk ke saluran pernafasan ini boleh dikeluarkan jika pesakit berupaya batuk kuat apabila tersedak atau batuk, tetapi ramai orang tua tidak berupaya berbuat demikian. Malah, ada yang tidak mengesan masalah aspirasi disebabkan sistem deria kurang peka selepas serangan ini, terutama apabila diserang strok.

Ia boleh menjadi masalah serius kerana pesakit ada kecenderungan mengalami kekurangan zat jika ia dibiarkan berlarutan. Jadi keluarga perlu peka dengan keadaan pesakit, terutama orang tua.

Antara tanda kesukaran menelan ialah:
• Makanan terasa tersekat di tekak. Makanan yang tersekat ini akan menghalang kemasukan makanan dan minuman selanjutnya.
• Rasa tidak selesa pada tekak dan dada.
• Berat badan menurun.
• Tidak cukup zat (bagi jangka masa lama) kesukaran bernafas ketika makan.
• Batuk atau tersedak setiap kali makan, minum atau menelan air liur.
• Berat badan menurun.
• Demam dan simptom flu yang kerap berlaku
.

Pun begitu, usah terlalu risau jika masalah ini berlaku pada ahli keluarga anda kerana ada cara untuk membantu mereka. Beritahu perkara ini kepada doktor untuk mendapat rawatan. Jika perlu, pesakit akan dirujuk kepada pakar terapi pertuturan.

Beberapa ujian akan dijalankan kepada pesakit seperti ujian klinikal, FEES (flexible endoscopic examination of swallowing), MBS (modified barrium swallow) atau VFS (video fluoroscopy) — mengikut keadaan seseorang.

Dalam ujian rawatan ini, tahap kepekatan makanan pesakit (dalam bentuk cecair) akan diuji dan ditentukan bagi membolehkan pesakit menelan makanan secara selamat. Jika kaedah ini tidak berjaya, pesakit akan disuap perlahan-lahan dan diberikan makanan yang diubah suai supaya sesuai dengan keadaannya.

Namun, ia juga bukan perkara mudah kerana ada pesakit berasa penat dan tidak lagi boleh menelan selepas disuapkan beberapa sudu makanan.

Selepas pemeriksaan teliti, pakar terapi pertuturan dengan bantuan pakar dietetik akan merancang diet sesuai untuk pesakit disfagia supaya semua keperluan khasiatnya dipenuhi.

Pesakit juga akan diajar cara membuat senaman mulut dan kerongkong untuk menguatkan otot lidah dan farinks kerongkong. Selain itu, pesakit akan diajar beberapa kedudukan kepala yang berbeza (biasanya menundukkan kepala sedikit supaya lebih mudah menelan makanan).

Kata Pang, pilihan terakhir adalah memberi makanan melalui tiub yang dimasukkan melalui hidung atau ditebuk pada perut jika semua kaedah di atas tidak berjaya. Namun, keadaan setiap pesakit tidak sama dan ada yang perlu menggunakan dua kaedah serentak untuk makan.

Ada kaedah terbaru digunakan di beberapa hospital iaitu rangsangan taktil untuk merangsang deria bagi menelan. Dalam kaedah ini, doktor akan menyentuh beberapa bahagian dalam mulut untuk memberi rangsangan.

Malah, rangsangan haba (sejuk atau panas) juga boleh diberikan kepada pesakit, sama ada di muka, mulut dan tekak. Cara lain adalah dengan memberikan rangsangan elektrik ke atas otot yang terbabit dalam proses menelan, tetapi kaedah ini masih dalam peringkat ujian.

Pesakit dan keluarga bebas memilih cara rawatan yang dirasakan sesuai. Apa pun cara dipilih, mereka perlu belajar kaedah memberikan pesakit makan supaya kebajikan dan kesihatan pesakit terjaga.

Kira-kira 70 peratus pesakit disfagia dapat dipulihkan dan tidak perlu bergantung kepada tiub makanan untuk jangka panjang. Peluang pemulihan lebih baik jika pesakit diberi terapi pada peringkat pemulaan. Walaupun kebanyakan keluarga memilih supaya pesakit diberi makan melalui tiub, pesakit juga perlu belajar untuk makan secara normal.

Pesakit yang sudah lama menggunakan tiub untuk makan juga boleh mendapatkan rawatan kerana hampir 70 peratus ada peluang untuk kembali memenelan dengan baik seperti orang lain. Apabila pesakit menunjukkan perubahan, dia perlu dibawa untuk pemeriksaan susulan. Ini membolehkan pakar pemakanan menilai semula kepekatan makanannya.

Khamis, 19 April 2007

Penguasaan ilmu lonjak kecemerlangan umat, bangsa

KECEMERLANGAN Islam yang diasaskan Rasulullah SAW dan sahabatnya berjaya meletakkan umat manusia ketika itu ke puncak yang mulia dan bertamadun tinggi.

Kemudian dituruti pula generasi seterusnya yang memperlihatkan perkembangan Islam terpancar ke merata pelusuk benua tanpa mengira sempadan geografi.

Islam diterima sebagai agama yang memberi petunjuk dan satu sistem yang adil dalam semua aspek kehidupan manusia. Islam bersifat universal telah berkembang sehingga sampai kepada kita di sebelah nusantara ini.

Walau bagaimanapun, kecemerlangan Islam telah mula mundur setelah dicarik robek oleh manusia tamak dan tidak amanah yang berada di puncak kepimpinan negara apabila berlalu proses demi proses pertukaran sistem khalifah negara Islam.

Ia telah diambil kesempatan oleh musuh Islam untuk mengeruhkan lagi suasana dan menjadi gunting dalam lipatan dengan merosakkan pegangan ummah terhadap Islam sehingga ke hari ini.

Sejarah dunia hari ini mengakui bahawa Islam telah melahirkan suatu tamadun besar yang membawa keamanan dan kesejahteraan kepada dunia dan menjadi pendorong kemajuan manusia dalam aspek kerohanian.

Pemikiran, moral dan keduniaan menjadi sumber utama ilmu yang bermanfaat bukan saja kepada Timur tetapi juga Barat yang mendapat darinya sumbangan intelektual dan moral serta idea memajukan kebendaan.

Sebagaimana kita ketahui, pada abad ke-8 hingga ke-12, orang Islam sangat maju. Mereka menguasai ilmu pengetahuan, sains dan teknologi. Zaman kegelapan bagi masyarakat Barat adalah zaman kegemilangan tamadun Islam.

Islam memimpin dunia selama 700 tahun dan Barat berhutang dengan ketamadunan ini. Tamadun Islam yang tinggi ketika itu telah menarik orang Barat untuk menimba ilmu dan kepakaran di negara Islam.

Mereka pulang dengan menyebarkan ilmu berkenaan di negara mereka. Kesedaran ini diakui sendiri sarjana Barat dan di antara bidang yang mereka pelajari dan dapati daripada pusat pengajian Islam adalah matematik, falsafah, kedoktoran, astronomi, farmasi dan lain-lain.

Ilmu itu mereka sebarkan pula ke pusat pengajian tinggi di Barat seperti Itali, kemudian ke Perancis dan setelah itu ke Britain dan Jerman.

Kita membuka lembaran sejarah tamadun Islam bukan untuk mengubat hati disebabkan kemunduran yang menimpa umat Islam sekarang, tetapi bagi memperbaiki dan membangun masa depan ke arah kejayaan serta kecemerlangan.

Sesungguhnya agama kita iaitu Islam sentiasa membawa cara hidup yang menekankan keilmuan. Dengan penguasaan pengetahuan, umat Islam telah berjaya membuka suatu tamadun tinggi yang di contohi masyarakat dunia.

Kebelakangan ini, kita dapat saksikan episod kemunduran menimpa umat Islam di sesetengah negara di seluruh dunia. Umat Islam walaupun berada di dalam sesebuah negara Islam yang kaya masih terpaksa bergantung kepada Barat.

Lebih-lebih lagi bagi negara sedang membangun, tentu tidak boleh lari daripada terdedah kepada tekanan dan penjajahan bentuk moden.

Justeru, kita perlu beriltizam melahirkan cerdik pandai dalam pelbagai disiplin ilmu ke arah meningkatkan martabat umat Islam. Pepatah Arab ada mengatakan: “Ilmu tanpa direalisasikan atau diamalkan, laksana pokok tanpa buah”.

Allah berfirman yang bermaksud: “Bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu kecuali mereka sendiri berusaha mengubah nasib mereka sendiri.” (Surah ar-Ra’ad, ayat 11)

Ini terbukti apabila masyarakat Barat berjaya merubah nasib bangsa mereka dengan memajukan ilmu pengetahuan yang ada di dunia Islam. Hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan dihormati di seluruh dunia adalah agenda menepati ayat yang mengajak kita melakukan reformasi terhadap nasib bangsa.

Menyorot kembali kegemilangan dicapai masyarakat Islam zaman silam, adalah disebabkan mereka benar mempraktikkan ajaran Islam. Malangnya kelemahan kita ialah apabila Islam menuntut kita mencari ilmu, kita pisahkan ilmu antara ilmu agama dan bukan agama.

Apabila Islam membenarkan kita mendapatkan kekayaan dan hakikat memberi itu lebih baik daripada menerima, maka kita memilih kemiskinan dan memandang mulia orang yang meminta-minta daripada orang lain.

Umat Islam zaman silam terpaksa menghadapi pelbagai bentuk halangan dan rintangan bagi mempertahankan dan membela nasib orang Islam. Kita hari ini cuma dikehendaki mempelajari ilmu dan kecekapan serta sanggup berusaha.

Tetapi kita tidak menghargai dan tidak berusaha bersungguh mengekalkannya. Ramai di kalangan kita cuma memilih amalan ibadat untuk diri sendiri dengan tidak memikirkan tanggungjawab kita terhadap seluruh umat Islam yang lain.

Bagi mengembalikan maruah Islam serta mendaulatkan semula kegemilangan Islam, umat Islam bertanggungjawab membuktikan ajaran Islam sebagai ajaran yang syumul.

Kita perlu menghidupkan semula asas ajaran Islam sebenar seperti terkandung dalam al-Quran yang berteraskan prinsip tauhid kepada Allah sebagai punca penyatuan umat manusia di dunia.

Muhammad Iqbal pernah menekankan pentingnya umat Islam menguasai ilmu pengetahuan dan mengikuti arus kemajuan dengan bertunjangkan Islam. Beliau berkata, umat Islam perlu kekal sebagai penganut Islam tetapi pada masa sama mereka perlu moden sejajar perkembangan semasa.

Jika umat Islam mengamalkan sepenuhnya ajaran al-Quran, bermakna mereka mampu mengubahsuai politik dan kehidupan dunia.

Barat digambarkan semakin khuatir dengan kebangkitan Islam yang mendadak sehingga ada media Barat menganggap Islam sebagai ancaman kepada tamadun Barat setelah keruntuhan komunis.

Kita tidak menafikan kenyataan itu dan yakin Islam mampu menguasai abad akan datang jika umatnya berusaha bersungguh-sungguh mengukuhkan keupayaan dalam semua bidang khususnya ekonomi, teknologi dan pengetahuan.

Tanggungjawab kita ialah untuk menyedarkan umat Islam supaya mempersiapkan diri menentukan agenda bagi seluruh ummah dalam usaha mengembalikan kegemilangan peradaban Islam di seluruh dunia.

Sarjana Islam, Dr Syed Husain Nars pernah menyebut kekuatan dan pengetahuan umat Islam dalam pelbagai bidang khususnya agama, teknologi, budaya dan politik dunia menjadi pra syarat penting melayakkan umat Islam menentukan agenda masa depan.

Sebagai umat yang komited kepada agama, sudah pasti kita akan berasa bangga apabila melihat Islam diterima dan diguna pakai ummah sejagat sebagai Addeen (cara hidup).

Hormati ibu bapa amalan berterusan

Rasulullah anggap menderhaka kepada orang tua dosa besar selepas syirik
TANGGUNGJAWAB BERTERUSAN: Islam menganjurkan anak berbuat baik
kepada ibu bapa walaupun selepas mereka tiada.


ISLAM mendidik umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak kita dilahirkan begitu besar dan tidak ternilai.

Pengorbanan ibu bapa dalam melayari bahtera rumah tangga amatlah besar. Merekalah yang bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik anak sejak kecil sehingga dewasa. Mereka juga sanggup mengorbankan kepentingan diri dan mengharungi pelbagai cabaran demi masa depan anak.

Sehubungan itu, anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap ibu bapa. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa mereka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu sudah perintahkan, supaya engkau tidak menyembahkan melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada usia tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar), sekalipun perkataan ‘uuh’ dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku ketika kecil.” (Surah al-Israk ayat 23-24).

FirmanNya lagi yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya sudah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedangkan tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.” (Surah al-Ahqaf ayat 15).

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: Aku pernah bertanya Rasulullah SAW: Apakah amalan paling utama? Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah. Kemudian aku bertanya lagi kepada baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan Baginda. (Riwayat Muslim)

Sebenarnya kewajipan menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa ini tidak terhenti selepas mereka meninggal dunia saja. Bahkan walaupun ibu bapa sudah tiada, anak dikehendaki berdoa supaya mereka mendapat keampunan Allah SWT. Selain itu, anak juga dikehendaki melaksanakan wasiat mereka; membayar hutang mereka (jika ada) dan berbuat baik kepada sahabat mereka. Jelaslah menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah suatu amalan utama dan berterusan sepanjang masa.

Perintah Islam supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa ini berbentuk umum tidak kira, sama ada mereka beragama Islam atau tidak. Cuma bagi ibu bapa bukan beragama Islam, perintah menghormati dan berbuat baik itu dengan bersyarat iaitu selagi ibu bapa tidak menyuruh anaknya yang beragama Islam melakukan perkara mensyirikkan Allah SWT.

Diriwayatkan daripada Sa’id bin Abu Waqqas bahawa Ummu Sa'ad adalah seorang kafir kerana terlalu benci kepada Rasulullah SAW, pada suatu hari Ummu Sa'ad berkata kepada anaknya, “Bukankah Allah menyuruh engkau berbuat baik kepada ibu bapamu? Demi Allah, aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati atau engkau kufur (kepada Nabi Muhammad saw).” (Riwayat Muslim).

Berikutan peristiwa ini, Allah SWT menurunkan ayat 8 daripada surah al-Ankabut yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kamu semua kembali, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang sudah kamu kerjakan.”

Peristiwa di atas dikuatkan lagi dengan wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya dalam al-Quran bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (daripada awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada ibu bapamu dan (ingatlah), kepada Akulah tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (Allah) dengan sesuatu yang engkau – dengan akal fikiranmu – tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaul dengan mereka di dunia dengan cara baik. Dan turutlah jalan orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang salih). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semua, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan.” (Surah Luqman ayat 14-15).

Inilah cara pergaulan dengan ibu bapa dianjurkan Islam. Hormati dan berbuat baik kepada ibu bapa selagi suruhan mereka itu tidak melanggari syariat Islam.

Mengingkari perintah supaya berbuat baik kepada ibu bapa termasuk dalam kategori dosa besar. Jika menyebut ungkapan ‘uuh’ atau ‘aah’ dikira sebagai menyakiti dan menderhaka, apatah lagi jika ada antara anak mencerca, memaki dan memukul ibu bapa mereka.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-'As r.a katanya: Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya?

Rasulullah SAW menjawab dengan bersabda: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya. (Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW menganggap menderhaka kepada ibu bapa sebagai dosa besar selepas syirik. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik ra katanya: Nabi SAW pernah menceritakan tentang dosa besar. Baginda bersabda yang bermaksud: “Menyekutukan Allah, menderhaka kepada ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata palsu.” (Riwayat Muslim)

Selain itu, banyak peristiwa dan kejadian menimpa orang menderhaka ibu bapanya. Satunya ialah peristiwa menimpa Alqamah. Alqamah seorang sahabat yang kuat beribadah kepada Allah SWT, tidak dapat melafazkan kalimah tauhid pada saat kematiannya. Alqamah pernah melakukan perbuatan mengguris hati ibunya akibat terlalu cinta kepada isterinya. Beratnya dosa menyakiti ibu bapa, lidah Alqamah seakan-akan terkunci. Tiada sepatah perkataan pun terkeluar daripada mulutnya. Azab yang menimpa Alqamah berakhir selepas ibunya memaafkan kesalahan yang dilakukannya.

Kesimpulannya, anak yang menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa akan mewujudkan keluarga bahagia. Kestabilan dan kebahagiaan dalam keluarga adalah pemangkin utama ke arah mewujudkan masyarakat penyayang. Seterusnya masyarakat penyayang mewujudkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial dalam negara.

Bertangguh buat amal punca hati ‘menganggur’

HATI yang menganggur lebih berbahaya daripada tubuh badan yang sakit. Seseorang yang memiliki hati pasif, diam dan tiada gerakan ibadat sebenarnya sudah mati sebelum dicabut nyawanya. Kekosongan hati timbul akibat lemahnya semangat manusia untuk bangkit dan melawan keinginan hawa nafsu.

Kita perlukan semangat melupakan kesedihan, bangkit dan berjuang melawan musuh yang nyata iaitu syaitan. Tiada seorang manusia yang tetap tinggi kedudukan imannya. Ada kala dia terjatuh dan tersungkur, kemudian menyesali kelalaian dan kembali bertaubat. Ini digambarkan dalam al-Quran bermaksud:“Dan orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa mereka dan siapakah yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.” Surah Ali Imran: Ayat 135

Hati menganggur, malas dan berputus asa ada ciri-ciri sebagai berikut:

Berlebih-lebihan melakukan perkara mubah. Terlalu banyak berehat, santai dan mengisi kekosongan masa dengan hiburan, makanan, tidur yang panjang, bermain dan bergurau, banyak tertawa, panjang angan-angan dan semua itu berbahaya jika diteruskan dalam kegiatan seharian. Kehidupan serba senang tanpa cabaran dan tekanan membuat manusia lupa diri dan lemah semangat bila ditimpa susah. Berhati-hati jika terus berada dalam zon selesa. Orang mukmin hendaklah sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan paling teruk yang menghalangnya.

Amirul Mukminin Muawiyah bin Abu Sufyan RA yang hidup sebagai Khalifah paling berkuasa selama berpuluh-puluh tahun pernah berkata: “Aku memakai pakaian daripada semua jenis kain, tetapi tidak pernah menemui sehelai pakaian terbaik setanding pakaian takwa. Aku juga sudah merasai semua jenis makanan, tetapi tidak pernah menemui kelazatan seperti kelazatan sabar. Aku memiliki segala jenis kenikmatan, tetapi tiada kenikmatan mampu menandingi kenikmatan duduk mendekatkan diriku kepada Allah SWT.”

Anggota badannya menolak hidayah Allah SWT. Pernahkah anda berasakan suara hati anda menyuruh berbuat baik, melakukan ibadat dan meninggalkan maksiat? Sebenarnya dalam jasad manusia ada yang mempengaruhi hati dan perasaannya, adakah ia unsur malaikat atau unsur syaitan. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tidak ada seorang pun daripada kamu melainkan dia diiringi temannya daripada bangsa jin (syaitan) dan temannya daripada malaikat. Sahabat bertanya: “Pada dirimu juga ya Rasulullah? Sabda baginda: Padaku juga begitu, tetapi Allah Taala menolongku terhadapnya sehingga ia tiada menyuruhku melainkan kebaikan saja.” (Hadis riwayat Muslim)

Hati yang suka menganggur menjadikan syaitan sebagai teman karibnya. Sementara hati yang aktif dan positif gerakannya dipengaruhi hidayah Allah SWT. Sesungguhnya hanya Allah SWT mampu menggerakkan kita berbuat baik. Hidayah-Nya saja menunjuk kita ke arah jalan selamat. Namun, ramai manusia menolak hidayah Allah SWT. Mereka lahir sebagai orang Islam, tetapi tidak mahu belajar agama Islam. Mereka dipilih Allah SWT sebagai hamba-Nya yang beriman, tetapi membiarkan dirinya kecundang oleh bisikan nafsu dan syaitan. Mengapa kita menolak hidayah Allah SWT yang berada di dalam hati kita? Allah Taala berfirman bermaksud: “Mereka mempunyai hati, tetapi tidak digunakan untuk memahami ayat Allah. Mereka mempunyai mata, tetapi tidak digunakan untuk melihat tanda kekuasaan Allah dan mereka mempunyai telinga, tetapi tidak digunakan untuk mendengar ayat Allah. Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai. (Surah Al-A'raf ayat: 179).

Biasanya masa membuat mereka bertangguh menerima hidayah Allah SWT. Sampai bila harus menunggu? Jika tulang rapuh dan mata menjadi rabun, fikiran bercelaru, mengapa menunggu kematian menjemput, padahal setiap hari hidayah Allah SWT itu turun ke hati kita. Suka bergaul dengan ahli kelab penganggur. Persekitaran mempengaruhi keperibadian kita. Jika suka duduk bersama dan mendengar perbualan ahli perniagaan berjaya atau pakar motivasi hebat, kita semestinya terpengaruh dengan kata rangsangan dan galakan untuk lebih berjaya. Namun, jika melepak bersama orang bermentaliti lemah dan kualiti kehidupannya juga rendah, sedikit sebanyak ada pengaruh ditinggalkan dalam karakter diri kita. Lebih baik rajin di dunia dan menganggur di akhirat selama-lamanya daripada memanjangkan angan-angan di sini, namun sengsara tiada penghujungnya di akhirat.

Tulisan Dr Juanda Jaya

Asal usul manusia tersedu

BAHAGIAN yang patut dipersalahkan adalah diafram, otot-otot berbentuk kubah yang terletak di dasar dada. Selalunya, diafram bekerja dengan sempurna.

Apabila anda menarik nafas, ia tertarik ke bawah untuk membantu menarik udara masuk ke dalam paru-paru. Apabila anda menghembuskan nafas, diafram menolak udara keluar daripada paru-paru.

Tetapi, ada ketikanya diafram menjadi terganggu dan apabila ini berlaku, ia membuat pergerakan menarik ke bawah dalam keadaan yang tersentap. Akibatnya, anda menelan udara ke dalam kerongkong secara mengejut. Apabila udara yang berebut-rebut masuk itu melanggar kotak korda suara anda, maka terhasillah bunyi hik, hik.

Dalam satu penyelidikan mengenai sedu yang dianggap munasabah oleh pakar, sekumpulan saintis Perancis mencadangkan wujudnya kaitan di antara sedu dengan evolusi dan fakta yang mengatakan bahawa nenek moyang kita berasal dari laut.

Mereka percaya, ia mungkin menunjukkan sifat atau ciri yang wujud zaman dahulukala di mana leluhur terdahulu mempunyai insang untuk membantu mereka bernafas.

Alasan di sebalik kejadian sedu membingungkan kalangan saintis sejak beratus-ratus tahun lampau kerana ia tidak mendatangkan faedah berguna kepada manusia.

Imbasan ultrasound turut membuktikan bahawa bayi dua bulan di dalam kandungan juga tersedu, sekalipun sebelum munculnya sebarang pergerakan pernafasan. Teorinya, pengecutan menyediakan otot-otot respiratori bayi belum lahir untuk bernafas selepas dilahirkan.

Teori mengenai sedu yang diterbitkan di dalam jurnal BioEssays itu menyatakan, kunci kepada tindak balas sedu terletak pada sekumpulan ikan primitif yang boleh menghirup udara yang kebanyakannya makhluk dua alam.

Pengkaji yang diketuai oleh Christian Straus dari Hospital Pitie-Saltpetriere, Paris itu percaya, litar atau sirkit otak yang mengawal ventilasi/pengudaraan insang telah merentasi dunia mamalia moden, termasuklah manusia.

Mereka turut membariskan banyak persamaan di antara sedu dengan pengudaraan insang di kalangan binatang seperti berudu. Salah satu daripadanya, kedua-duanya menghalang paru-paru daripada mengembung.

Straus and rakan-rakan sepasukannya turut mengesyaki tabiat itu telah disesuaikan untuk satu penggunaan baru – membantu mamalia belajar menyusu kerana siri pergerakan semasa menetek mirip tersedu dengan glotis tertutup rapat bagi mengelakkan susu memasuki paru-paru.

Sedu boleh terjadi disebabkan oleh pelbagai punca seperti menelan terlalu banyak udara, makan secara lahap, berasa bimbang atau teruja, merokok dan mengambil alkohol secara berlebihan. Mujurlah ia lazimnya berakhir dalam masa beberapa minit sahaja.

Adalah tidak benar tanggapan yang mengatakan sedu boleh dihentikan dengan cara menakutkan atau mengejutkan seseorang. Namun, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi melenyapkannya.

Antaranya dengan cara menahan nafas dan mengira perlahan-lahan sehingga angka 10, segera minum segelas air atau makan sesudu teh gula atau madu.

Jika sedu berterusan sekalipun setelah mengambil langkah-langkah tertentu untuk cuba menghentikannya atau anda sering kali mengalaminya dari semasa ke semasa, anda mungkin mahu berunding dengan doktor mengenainya.

Rabu, 18 April 2007

Ujian awal kesan sakit buah pinggang




RAMAI orang beranggapan mereka cukup sihat, walaupun bertahun-tahun tidak menjalani pemeriksaan kesihatan. Malah, tidak kurang juga beranggapan mereka tidak akan berdepan masalah kesihatan, sedangkan setiap orang sebenarnya mempunyai risiko sama untuk mengalaminya kerana kebanyakan penyakit kronik menyerang badan dalam diam.

Sikap suka meletakkan diri dalam keadaan selesa menyebabkan ramai melepaskan peluang menjalani pemeriksaan kesihatan, walaupun ia diberikan secara percuma.

Sikap ini juga menyebabkan ada yang tidak boleh menerima hakikat apabila diberitahu mereka menghidap sesuatu penyakit serius kerana tidak mengalami sebarang gejala.

Namun, itulah sifat penyakit kronik. Kehadirannya tidak dirasai dan pesakit masih boleh menjalankan kegiatan harian tanpa masalah kerana kesan hanya timbul apabila penyakit sampai ke tahap serius.

Fenomena sama turut ditunjukkan dengan masalah kerosakan buah pinggang.Ia mengambil masa bertahun-tahun sebelum menunjukkan kesan kepada kesihatan.Bagaimanapun, anda perlu lebih berhati-hati dan segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan jika anda mengalami tanda seperti:

-Ketidakselesaan atau rasa terbakar ketika membuang air kecil.
-Darah keluar bersama-sama air kencing.
-Perubahan pada kekerapan membuang air kecil.
-Sakit belakang.
-Kerap buang air kecil, terutama pada tengah malam.
-Bengkak pada pergelangan kaki.
-Sembap pada keliling mata yang berlarutan, terutama pada sebelah pagi.


Semua tanda di atas menunjukkan seseorang itu mengalami masalah kerosakan buah pinggang. Biasanya gejala ini dianggap perkara biasa dan sering diketepikan, sedangkan ia petanda penting kepada masalah buah pinggang.

Risiko kegagalan buah pinggang semakin tinggi dengan pertambahan umur.

Setiap tahun dianggarkan 2,400 kes baru kegagalan buah pinggang dilaporkan dan kes baru di kalangan golongan berumur antara 60 hingga 65 tahun menunjukkan peningkatan 25 peratus.

Ketua Jabatan Nefrologi Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr Zaki Morad Mohd Zaher, berkata banyak jenis penyakit buah pinggang boleh dirawat jika ia dikesan awal.

Buah pinggang bertugas menapis darah dan membuang bahan toksik, sisa buangan dan air berlebihan dari badan.

Kegagalan buah pinggang melakukan tugas penting ini boleh menyebabkan pesakit menemui maut jika rawatan penggantian buah pinggang tidak dilakukan. Namun, bukan mudah untuk mendapatkan buah pinggang baru dan kosnya pula sangat mahal; boleh mencecah RM300,000!

Justeru, perkara terbaik ialah menjalani pemeriksaan pengesanan. Ujiannya pula sangat mudah iaitu melalui ujian darah dan air kencing yang mengambil masa beberapa minit saja.

Selain dua ujian mudah ini, beberapa kaedah lain boleh digunakan, iaitu biopsi jarum halus dan ujian bagi tekanan darah tinggi dan kencing manis.

Kaedah terbaik untuk mengelak menanggung kos perubatan tinggi ialah kerap membuat pemeriksaan kesihatan untuk mengesan penyakit pada peringkat awal. Ujian saringan kesihatan ini sangat mudah dan keputusannya boleh diketahui segera.

Semua orang perlu menjalani pemeriksaan kesihatan ini, terutama mereka yang mempunyai sejarah atau ahli keluarga menghidap penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi, kerana mereka berisiko tinggi mendapat masalah kegagalan buah pinggang.

Kencing manis dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal juga antara punca utama kerosakan buah pinggang. Jika ini berlaku, bermakna pesakit terpaksa bergantung kepada mesin dialisis darah sepanjang hayat,” katanya pada pelancaran Saringan Kesihatan Kebangsaan anjuran Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF).

Saringan ini sangat mudah. Tiga parameter diukur iaitu tekanan darah, kandungan glukosa darah dan kandungan protein dalam air kencing. Jika air kencing menunjukkan ada protein, pesakit disaran menjalani ujian susulan untuk pengesahan kerana ia antara petanda awal kegagalan buah pinggang.

Pengerusi NKF, Dr S S Gill, pula berkata orang ramai boleh menjalani pemeriksaan ini di semua 19 pusat dialisis NKF di seluruh negara dengan bayaran serendah RM2 pada setiap Sabtu pertama dan ketiga setiap bulan bermula 19 Febuari depan dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari. Manakala bagi penduduk Pantai Timur, waktu saringan pula pada setiap Jumaat pertama dan ketiga.

Masalah kegagalan buah pinggang yang semakin meningkat di kalangan masyarakat kita dipercayai akibat gaya hidup dan tabiat pemakanan tidak sihat yang boleh menjurus kepada penyakit kencing manis serta tekanan darah tinggi.

Kajian terbaru Universiti Sains Malaysia (USM) 2004 mendapati, rakyat Kelantan paling ramai menghidap kencing manis (78,000 orang) dan kebanyakannya adalah pesakit muda berumur 30 tahun.

Peningkatan sekali ganda sebanyak 13 peratus ini sangat merisaukan berbanding hanya 5.3 peratus 10 tahun lalu.

Kencing manis juga menyebabkan 95.3 peratus pesakit di negeri itu terpaksa kehilangan anggota badan yang kesemuanya berpunca daripada pengambilan gula berlebihan.

Jika anda turut mengamalkan gaya hidup tidak sihat, masih belum terlewat untuk mengubahnya.

Mulakan hidup baru dengan menjalani ujian saringan ini sebelum membuat pemeriksaan berkala sekurang-kurangnya setahun sekali.

Kegagalan buah pinggang juga boleh dicegah dengan mengamalkan:
-Pemakanan seimbang.
-Minum sekurang-kurangnya dua liter air sehari.
-Berhenti merokok.
-Makan ubat selepas mendapat nasihat doktor. Paling penting, elakkan ubat yang tidak perlu termasuk ubat untuk menguruskan badan.
-Kekalkan berat badan seimbang.
-Bersenam setiap hari sekurangnya-kurangnya 30 minit.

ShoutMix chat widget